Sebagai seorang muslim, kehidupan di dunia hanyalah sementara, dan kehidupan akhirat adalah kekal selamanya. Dunia ini adalah pentas ujian dan tempat untuk kita mempersiapkan diri menuju negeri abadi. Mempersiapkan diri itu dalam erti kata beramal sebanyak mungkin dengan melaksanakan ketaatan yang penuh keikhlasan dan meninggalkan segala kemungkaran dan dosa. Sebaik-baik kematian menjemput seseorang, jenazah akan dipindahkan ke suatu alam yang dipanggil alam kubur. Kubur itu gelap, sempit dan panas. Bagaimanapun, terdapat 5 amalan yang boleh kita lakukan ketika masih hidup di dunia ini yang mana amalan tersebut akan menjadi penerang di dalam kubur.
5 Amalan yang Boleh Menerangi dan Melapangkan Kubur
Amalan-amalan yang boleh menerangi kubur seseorang adalah seperti berikut:
1. Menjaga solat lima waktu dan solat sunat.
Solat dalah penting kerana solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab. Apatah lagi perintah solat itu diterima oleh Baginda Rasulullah SAW secara terus daripada Allah SWT tanpa perantaraan Jibril AS. Amalan tahajud dapat menerangi kubur pengamalnya.
2. Bersedekah.
Ada sedekah yang wajib seperti zakat dan ada pula yang sunat seperti derma dan wakaf. Zakat itu perlulah ditunaikan setelah memenuhi syarat-syarat wajibnya. Manakala derma dan wakaf adalah sunat tetapi tetap menjanjikan ganjaran yang sangat besar. Bersedekah boleh dalam bentuk wang ringgit, harta benda, dan ilmu yang bermanfaat.
3. Membaca al-Quran.
Amalkan membaca Al-Quran setiap hari dan bukannya menunggu kesempatan masa. Kita sendirilah yang perlu menyempatkan diri untuk membacanya.
4. Berzikir dan bertasbih.
Membiasakan diri dengan bertasbih, berzikir dan beristigfar serta bersolawat setiap hari. Lazimi mulut dan hati berzikir sama ada dalam pemanduan ke tempat kerja dan dalam kesesakan lalu lintas, ketika memasak, ketika menulis dan apa-apa aktiviti kita. Lazimi menyebut kalimah 'LAA ILAHA ILLALLAH' kerana kalimah ini melepaskan seseorang daripada siksa kubur.
5. Menjaga Silaturrahim.
Sebagai muslim kita harus menjaga hubungan silaturrahim sesama kita. Menjaga silaturrahim adalah satu ibadah dan memberikan pahala untuk kita. Selain itu, dengan menjaga silaturrahim, ia akan meluaskan kubur seseorang apabila dia sudah tiada kelak.
Surah Al-Mulk Menyelamat Daripada Siksa Kubur
Sememangnya surah al-Mulk mempunyai kelebihan apabila dibaca pada setiap malam dapat menyelamatkan daripada siksa kubur. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ سُورَةً فِي الْقُرْآنِ ثَلاَثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِصَاحِبِهَا حَتَّى غُفِرَ لَهُ : تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ
Maksudnya: Sesungguhnya surah dalam al-Quran padanya 30 ayat, dapat memberi syafaat kepada seorang lelaki sehingga diampunkan. Ia adalah surah al-Mulk (Riwayat Ibn Majah (3786)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ : إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.”
Surah Al-Mulk boleh menjadi penyelamat daripada siksa kubur, ia berdasarkan daripada hadis Rasulullah saw. Bukan untuk diamalkan sendiri sahaja, malah jika dibacakan untuk orang yang telah meninggal dunia juga mendapat kelebihan yang sama. Apabila diniatkan surah Al-Mulk kepada si mati, maka ada pendapat yang menyatakan sampai pahala tersebut. Kami cadangkan agar disertai dengan doa kepada si mati yang mana ia sudah pasti akan diperolehi oleh si mati
Sumber: Mufti WP
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk kehidupan dunia dan akhirat para pembaca sekalian.