Tahukah anda bahawa tidur adalah suatu kematian kecil. Kita dianjurkan melakukan sunnah dan amalan seperti Rasullullah saw sebelum tidur. Dalam artikel ini kami kongsikan amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah saw sebelum menghadapi kematian kecil.
Tidur Adalah Kematian Kecil
Tidur merupakan satu proses istirahat manusia dan ia sangat penting untuk kesihatan tubuh manusia. Tidur juga bermaksud saat kematian kecil mengikut pendapat Ulama'. Ini kerana tidur mempunyai ciri-ciri yang sama dengan kematian. Tidur itu adalah suatu kematian, maka terjaga daripada tidur adalah kebangkitan.
Ini berdasarkan ayat al-Quran di bawah:
وَهُوَ الَّذِي يَتَوَفَّاكُمْ بِاللَّيْلِ وَيَعْلَمُ مَا جَرَحْتُمْ بِالنَّهَارِ ثُمَّ يَبْعَثُكُمْ فِيهِ لِيُقْضَى أَجَلٌ مُسَمًّى ثُمَّ إِلَيْهِ مَرْجِعُكُمْ ثُمَّ يُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
"Dan Dialah yang mematikan kamu di malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari, kemudian Dia membangunkan kamu pada siang hari untuk disempurnakan umur yang telah ditentukan, kemudian kepada Allah kamu kembali, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang dahulu kamu kerjakan. [Al-An’am : 60]"
Al-Imam Ibn Kathir menyatakan:
فذكر الوفاتين: الصغرى ثم الكبرى. وفي هذه الآية ذكر الكبرى ثم الصغرى؛
Allah swt menyebutkan tentang dua kematian: Iaitu kematian kecil kemudian kematian besar (dalam ayat surah Al-An’am, 60-61), dan dalam ayat ini (az-Zumar, 42), Allah menyebutkan tentang kematian besar kemudian kematian kecil.
وقال بعض السلف [رحمهم الله] (2) يقبض أرواح الأموات إذا ماتوا، وأرواح الأحياء إذا ناموا
Sebahagian ulama salaf berkata: Allah swt memegang roh-roh orang yang ketika mereka mati, dan memegang roh-roh orang hidup ketika mereka tidur.
Bagaimanapun, Rasulullah SAW telah mengajar kita adab-adab dan amalan sebelum tidur. Amalan dan sunnah ini perlu dipraktikkan dan diamalkan sebelum tidur.
Sunnah Sebelum Tidur
Berikut adalah sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad sebelum tidur adalah:
1. Mulakan dengan berwudhu
Rasulullah SAW mengajarkan untuk berwudhu sebelum tidur seperti yang diriwayatkan dalam hadis berikut:
إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ
Maksudnya: “Jika engkau hendak mendatangi tempat tidurmu, hendaklah engkau berwudhu seperti wudhu untuk shalat, lalu berbaringlah pada sisi kanan badanmu….” (HR. Al-Bukhari no. 247 dan Muslim no. 2710).
2. Membersihkan Kawasan Tempat Tidur
Rasulullah SAW menyuruh kita untuk membersihkan kawasan tempat tidur dan mengibas katil atau kawasan tempat tidur sebanyak tiga kali.
Dalam hadis Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Jika salah seorang di antara kamu hendak mendatangi tempat tidurnya, hendaknya ia mengibas kawasan tempat tidurnya (katil) dengan kain sarungnya kerana ia tidak mengetahui apa yang ada padanya, kemudian mengucapkan:
بِاسْمِكَ رَبِّ وَضَعْتُ جَنْبِي وَبِكَ أَرْفَعُهُ إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Dengan nama-Mu Wahai Tuhanku, aku baringkan badanku dan atas nama-Mu aku mengangkatnya, dan jika Engkau menahan diriku (matikan aku), maka rahmatilah daku, dan jika Engkau melepaskannya, maka jagalah sebagaimana Engkau menjaga hamba-Mu yang soleh.” (HR. Bukhari no. 247 dan Muslim no. 2710).
3. Membaca Doa dan Zikir Sebelum Tidur
Jika ingin tidur, baca doa dan zikir seperti bacaan di bawah, dan kemudian hendaklah tidur mengiring ke kanan. Jika seseorang meninggal dunia setelah berbuat demikian, maka dia meninggal dalam keimanan kepada Allah swt.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Bila kamu tidur, berwudhulah seperti kamu lakukan untuk solat, berbaring di atas kananmu dan katakan: ‘Ya Allah! Aku menyerah kepada-Mu dan aku serahkan segala urusanku kepada-Mu dan aku bergantung pada-Mu untuk keberkatan-Mu kedua-duanya dengan harapan dan ketakutan kepada-Mu. Tiada dapat melarikan diri daripada-Mu ya Allah! Aku percaya kepada Kitab-Mu yang telah Engkau wahyukan kepada Nabi-Mu yang telah Engkau hantar’. Dan jika kamu meninggal dunia pada malam itu, kamu akan meninggal dalam keimanan. Jadikan kata-kata di atas kata-kata terakhirmu (sebelum tidur).” (HR Bukhari Muslim).
Baca doa tidur seperti berikut dan diikuti dengan amalan zikir seperti di bawah.
Amalan Doa dan Zikir Sebelum Tidur
Berikut ini adalah doa dan zikir yang boleh diamalkan sebelum tidur sesuai anjuran Rasulullah SAW :
1. Membaca Surat Al-Ikhlas Sebanyak Tiga Kali
Membaca surat Al-Ikhlas sebanyak tiga kali akan memberikan pahala yang sama besarnya seperti mengkhatamkan Al-Quran. Rasulullah saw menganjurkan kita untuk melakukan amalan tersebut.
Berikut ini adalah bacaan surat Al-Ikhlas.
قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدُ. اللَّهُ الصَّمَدُ. لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ. وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ
Bacaan Rumi: Qul huwa Allahu ahad, Allahu samad, lam yalid wa lam yulad, wa lam yakun lahu kufuwan ahad.
Maksudnya: "Katakanlah, 'Dia-lah Allah Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan, tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia." (QS. Al-Ikhlas: 1-4)
2. Berselawat untuk Nabi Muhammad SAW
Rasulullah menyuruh kita berselawat ke atasnya sebelum tidur, kerana Baginda adalah pemberi syafaat di akhirat nanti.
Bacaan panjang selawat adalah seperti berikut:
اللّهمّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللّهمّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
Maksudnya: "Ya Allah, berikanlah sholawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan sholawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya Allah, berikanlah berkah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberi berkah kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia." (H.R. Bukhari)
Atau anda boleh amalkan bacaan solat yang lebih pendek.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Rumi; Allahumma sholli ala muhammad wa ala ali muhammad
Maksudnya: "Ya Allah, berikanlah sholawat kepada Nabi Muhammad dan keluarganya."
3. Beristighfar Kepada Allah SWT
Rasulullah menganjurkan kita beristighfar dan memohon ampun kepada Allah swt untuk diir sendiri, keluarga dan seluruh kaum muslimin.
4. Terakhir adalah Membaca Tasbih
Kita dianjurkan untuk membaca kalimat tasbih berikut ini sebelum tidur.Rasulullah SAW menjelaskan bahawa membaca tasbih adalah sama pahalanya dengan ibadah umrah atau haji.
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَٰهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
Rumi: Subhanallah walhamdulillah wa laa ilaaha illallooh walloohu akbar
Maksudnya: "Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar."
Sumber: Mufti WP
Telah dikongsikan kepada anda tentang amalan dan sunnah Rasulullah saw sebelum tidur atau menghadapi kematian kecil. Sebagai seorang muslim, sebaiknya kita menuruti amalan sebelum tidur sesuai anjuran Rasulullah SAW di atas. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda semua.