Return to site

Pengertian Tasawuf dan Maqam Ihsan untuk Membentuk Peribadi Seorang Mukmin

kasturihijau.com

· AGAMA
broken image

Sebagai seorang Muslim, kita bukan sahaja wajib melaksanakan rukun Islam dan rukum Iman. Malah, setiap Muslim juga mesti mencapai maqam 'ihsan' iaitu 'dia menyembah‏ ‏Allah seolah-olah melihat-Nya dan sekiranya dia tidak dapat ‎melihat-Nya, maka dia perlu merasai bahawa Allah sentiasa melihatnya'. Ketiga-tiga ini iaitu Islam, iman dan ihsan adalah kesempurnaan agama Islam bagi setiap Muslim baligh dan berakal. Realiti semasa dunia pada hari ini seolah-olah menunjukkan ramai yang tidak memberi perhatian terhadap pencapaian maqam ihsan ini untuk membentuk muslim sejati. Dalam artikel ini, kami kongsikan maklumat yang kami kumpulkan berkenaan ilmu tasawuf untuk mencapai maqam ihsan.

Apakah Maksud Tasawuf?

  • Kalimah tasawuf adalah daripada kata akar 'al-suf' daripada pendapat kebanyakan ahli tasawuf (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, 2/550-551; al-Ta’aruf li Mazhab Ahl al-Tasawwuf, m. 28-35). Manakala definisi tasawuf dari sudut bahasa pula mempunyai pelbagai pendapat, iaitu Syeikh Ahmad Zarruq berkata, istilah tasawuf telah dihuraikan dengan dua ribu definisi. Ini kerana ketulusan untuk menghadapkan diri kepada Allah SWT dapat dicapai dengan pelbagai kaedah. (Lihat Qawa’id al-Tasawwuf, m. 2). Walaupun begitu, semua definisi menjurus kepada pengertian yang sama iaitu ilmu penyucian jiwa.
  • llmu tasawuf mempunyai displin ilmu tersendiri yang memfokuskan secara langsung aspek-aspek pembersihan dan penyucian perbuatan-perbuatan atau amalan-amalan hati dan amalan-amalan anggota zahir untuk menyampaikan seseorang ke maqam ihsan.
  • Seseorang yang ingin mendalami ilmu tasawuf mesti mempunyai guru mursyid. Jika ilmu tasawuf dipelajari dan diamalkan tanpa guru mursyid, maka mereka akan mendapat sifat kecelaan iaitu riak, ujub, takabbur, hasad, kasihkan dunia dan maksiat batin.
broken image

Kredit: Blog Kalam Hikmah

Apakah Maksud Tarekat?

  • Pengertian umum tarekat ialah “jalan agama Allah” iaitu jalan Islam itu sendiri.
  • Pengertian khusus bagi tarekat pula ialah tatacara yang khusus atau himpunan adab-adab dan ajaran-ajaran yang diamalkan oleh sesuatu kumpulan ahli tasawuf (Abu al-`Ula`Afifi,1963: 121-122).
  • Dalam hal ini al-Jurjani (1938;183) mentakrifkan tarekat sebagai perjalanan yang khusus bagi para salik yang menuju kepada Allah dengan menempuh dan melalui berbagai peringkat (manzilah) dan meningkat dalam berbagai maqam.
  • Hasil amalan tarekat Tasawuf ialah bersih hati atau makrifah tentang perkara-perkara ghaib secara zawq dan wujdan, dan dapat kemenangan di akhirat serta kejayaan mendapat keredaan Allah, kebahagiaan yang abadi, terang hati dan suci bersih sehingga terbuka hijab tentang perkara-perkara yang amat rahsia dan berharga, dapat musyahadah perkara-perkara yang menakjubkan dan dapat melihat dengan jelas perkara-perkara yang tidak dapat dipandang oleh pandangan mata hati (basirah) orang lain.
  • Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

“Adakah orang yang hatinya mati lalu Kami hidupkan dan kami jadikan dalam hati yang hidup itu cahaya (dengan hati yang bercahaya dan dapat memahami kebenaran Allah) dan menyampaikannya kepada manusia, (adakah orang ini) sama dengan orang yang hatinya mati yang berada dalam berbagai-bagai kegelapan yang tidak boleh keluar daripada kegelapan itu?” (Surah al-An’am, ayat:122)

 

Apakah pengertian Maqam Ihsan?

  • Sebagai muslim kita bukan sahaja wajib melaksanakan Rukun lslam yang lima iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan haji sekiranya mampu.
  • Tambah lagi, kita wajib meyakini Rukun lman yang enam iaitu beriman kepada Allah SWT, Malaikat-Nya, kitab-Nya, ‎Rasul-Nya, hari kiamat dan qadar baik serta buruk.
  • Tanggungjawab utama setiap Muslim juga adalah mesti mencapai 'maqam ihsan' iaitu 'dia menyembah‏ ‏Allah seolah-olah melihat-Nya dan sekiranya dia tidak dapat ‎melihat-Nya, maka dia perlu merasai bahawa Allah sentiasa melihatnya'. 
  • Seorang muslim perlu memiliki iman, islam, dan ihsan, yang mana ketiga-tiga ini adalah kesempurnaan agama bagi setiap Muslim yang sudah baligh dan berakal.‎
  • Seseorang yang ingin memiliki 'maqam ihsan' perlu bersih hati dari sifat-sifat tercela (al-takhalli) dan terhias dengan sifat-sifat terpuji (al-tahalli) iaitu apa yang disebut sebagai al-`ubudiyyah. Kemuncak kebersihan batin manusia itu ialah terhapus perkara yang menyekutukan Allah dalam hati dan ternyata kebenaran Allah di cermin hati itu (al-tajalli). Kebersihan batin ini yang membawa kepada tercapainya maqam ihsan.

 

Elemen-elemen Penting dalam Tasawuf

Antara elemen utama yang membentuk tasawuf itu ialah kesucian diri (safa’) dan penyaksian hati, peribadatan, akhlak dan kezuhudan.

1. Kesucian Diri dan Penyaksian Hati

  • Kesucian diri bermaksud sucinya diri daripada pelanggaran terhadap hukum syariat, sifat-sifat kecelaan, pegangan atau keyakinan yang batil dan juga tumpuan, tilikan serta pergantungan hati kepada sesuatu yang lain daripada Allah. Kesucian diri ini akan membawa kepada penyaksian hati terhadap kebenaran ketuhanan Allah, keagungan, keindahan dan kesempurnaanNya.
  • Elemen kesucian diri ini dapat dilihat dari takrifan antaranya kesufian, yang mana Al-Kharraz telah ditanya tentang sufi lalu menjawab bahawa sufi ialah orang yang tuhannya telah membersihkan hatinya sehingga hatinya dipenuhi dengan cahaya hidayah dan orang yang berada dalam kelazatan dengan mengingati Allah.
  • Al-Jilani pula menjelaskan bahawa asal perkataan sufi ialah orang yang bersih daripada penyakit-penyakit nafsu, bebas (bersih) daripada sifat-sifat kecelaannya, melalui jalan-jalan kesufian yang terpuji, berpegang dengan hakikat-hakikat kebenaran dan tidak cenderung hatinya kepada makhluk.

2. Kesungguhan Ibadat

  • Tasawuf juga mengandungi elemen ibadat iaitu kesungguhan, ketekunan, ketertiban dan keikhlasan dalam melaksanakan amal ibadah. Ini bererti sufi itu ialah orang yang menekuni amal ibadah dan bersungguh-sungguh melaksanakannya dalam bentuk yang lebih sempurna, teratur dan istiqamah. Elemen peribadatan dalam tasawwuf menurut Imam al-Ghazali ialah mencampakkan diri dalam `ubudiyyah (perhambaan diri kepada Allah) dan bergantung hati dengan rububiyyah (ketuhanan Allah).

3. Ketinggian Akhlak

  • Ketinggian akhlak bererti orang yang berakhlak mulia dan bersih daripada akhlak yang keji.
  • Abu Bakr al-Kattani berkata berkenaan akhlak, sesiapa yang melebihi engkau pada akhlak, maka sesungguhnya dia melebihi engkau pada kejernihan rohani.
  • Begitu juga Ahmad al-Jariri di mana tasawuf itu menurut beliau ialah bersifat dengan semua akhlak yang murni dan bersih daripada semua akhlak yang hina.

4. Kezuhudan

  • Kezuhudan iaitu ketidakcenderungan hati kepada perkara keduniaan, bukan semata-mata meninggalkan perkara keduniaan.
  • Samnun berkata bahawa engkau tidak memiliki sesuatu dan tiada sesuatu yang memiliki engkau.
  • Ma`ruf al-Karakhi berkata berpegang dengan hakikat dan berputus-asa (tidak berkeinginan) terhadap apa yang ada pada tangan (milik) makhluk.

Elemen-elemen tadi perlu ada pada seseorang untuk membentuk ciri-ciri kesufian.

 

broken image

 

Amalan-amalan Tasawuf untuk Mencapai Maqam Ihsan

Antara amalan tasawuf untuk mencapai maqam ihsan adalah seperti berikut:

1. Zikir

  • Allah meletakkan orang-orang yang suka zikir sentiasa dalam kedudukan istimewa. Mereka yang mempunyai pengetahuan dan kesedaran mendalam adalah orang yang sentiasa zikir kepada Allah sambil berdiri, duduk dan sambil berbaring merenungi ciptaan langit dan bumi. Mereka dikenali sebagai Ulul-Albab.

2. Membaca Al-Quran

  • Bagi kaum sufi membaca Al-Quran merupakan antara cara-cara utama dalam bertafakur dan berzikir akan Allah. Tarekat merangkumi zikir dan tafakur. Oleh itu, tasawuf dan tarekat tidak boleh dipisahkan. Setiap orang yang bertasawuf mengambil tarekat tertentu yang tujuan akhirnya menjadi hamba Allah yang sangat rapat. Selain itu, tarekat tertumpu kepada penyucian batin dan amalan soleh.

3. Uzlah

  • Amalan seterusnya ialah uzlah. Menurut pandangan Yusuf Muhammad Taha Zaydan menyatakan bahawa uzlah merujuk kepada peningkatan seorang hamba dari alam fana menuju Allah yang Maha Kekal dengan keluar daripada kelalaian, cinta dunia, dan mengabaikan ketaatan kepada cinta Allah SWT.
  • Uzlah terbahagi kepada dua iaitu uzlah secara dalaman dengan hati dan peribadi dan uzlah bersama tubuh jasmani tanpa meninggalkan hubungan sesama manusia.

4. Muraqabah

  • Muraqabah adalah merasa dirinya sentiasa diawasi oleh Allah SWT. Menurut Syeikh Ibrahim bin Kawwas bahawa muraqabah merupakan amalan yang suci samada secara tersembunyi atau terang-terangan. Sebabnya adalah orang yang menyedari bahawa Allah SWT sedang mengawasi sudah tentu menjaga setiap tindakan dan perilaku tidak kira di mana berada.

5. Suluk

  • Amalan bersuluk merupakan tradisi dalam kehidupan tarekat. Menurut al-Aziz, suluk ialah perjuangan melepaskan diri daripada hawa nafsu dengan beberapa cara untuk mencapai makrifat kepada Allah SWT. Boleh disimpulkan bahawa amalan-amalan tasawuf membawa kepada penyucian hati dari lalai dengan dunia.

Sumber Rujukan:

  1. Dr. Abdull Rahman Mahmood, Konsep Tasawwuf dan Tarekat Menurut Ahli Sunnag WalJamaah
  2. Prof. Dr. Jamil Hashim, Amalan Tasawuf dan Signifikan dalam Pe,mbentukan Peribadi Mukmin
  3. JAKIM
  4. Mufti WP

Semoga ilmu agama yang dikongsikan tadi bermanfaat sebagai rujukan para pembaca sekalian.