Tahukah anda bahawa kalimah 'tiket masuk syurga' adalah kalimah paling ringan disebut tetapi tidak semua mampu menyebutnya di penghujung nafas. Kalimah tersebut adalah ‘La ilaha illallah’. Sabda Rasulullah SAW;
"Barangsiapa yang akhir perkataannya sebelum meninggal dunia adalah ‘La ilaha illallah’, maka dia akan masuk syurga" (HR. Abu Dawud no. 1621)
Dalam artikel ini, kami akan kongsikan kelebihan kalimah tahlil atau ‘La ilaha illallah’ dan panduan membaca tahlil arwah ringkas.
Apakah itu Tahlil?
Tahlil bererti menyebut kalimah "syahadah" iaitu "La ilaha illa Allah". (Al-Laith dalam kitab lisan al-Arab), Az-Zuhri menyatakan, maksud tahlil adalah meninggikan suara ketika menyebut kalimah thayyibah.
Di Malaysia, majlis tahlil arwah atau kenduri tahlil merujuk kepada suatu upacara di mana ayat-ayat Al-Quran, seperti surah Yasin, dibacakan, diikuti dengan tahlil, zikir, dan doa. Selain itu, majlis ini juga disertai dengan hidangan makanan yang diberikan sebagai sedekah kepada para tetamu. Semua ini dilakukan dengan niat agar Allah SWT memberi manfaat dan ganjaran pahala atas bacaan tersebut serta kebaikan, seperti sedekah makanan kepada tetamu dan mendoakan si mati.
Tujuan utama kenduri tahlil adalah untuk menghiburkan ahli keluarga yang ditinggalkan, memberi pengajaran tentang kematian, serta berharap agar bacaan Al-Quran, doa, dan sedekah yang dilakukan dapat menjadi bekalan bagi si mati di alam kubur dan akhirat.
Hukum Membaca Tahlil Arwah dan Menjamu Makanan Selepas Tahlil
Amalan tahlil merupakan amalan sunat yang melibatkan gabungan antara bacaan ayat dan surah daripada al-Quran, zikir kepada Allah SWT yang merangkumi tasbih, tahmid, takbir dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta memberi makan kepada orang ramai. Amalan-amalan ini merupakan amalan sunat yang disyariatkan di dalam Islam.
- Dalam satu haditih yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Salam RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ، تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ
Maksudnya: Wahai manusia, sebarkanlah salam, jamukanlah makan (kepada orang ramai) dan bersembahyanglah ketika orang sedang tidur, maka kamu akan masuk ke dalam Syurga dengan sejahtera.
- Berdoa kepada mereka yang telah meninggal dunia adalah sesuatu yang digalakkan Islam sepertimana yang disebut oleh al-Quran:
فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا اللَّـهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ
Maksudnya: Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat). (Surah Muhammad : 19)
Rujuk penjelasan daripada video klip Ustaz Azhar Idrus;
Kelebihan Membaca Tahlil
Antara kelebihan membaca tahlil adalah:
1. Dicatatkan 100 kebaikan bagi yang membaca
Jika seseorang membaca kalimah "La ilaha illa Allah" sebanyak 100 kali, maka baginya pahala seperti membebaskan 10 orang hamba, dicatat baginya 100 kebaikan, dihapus baginya 100 kejahatan, dan juga dilindungi dari syaitan pada hari itu hingga petang (Sahih al-Bukhari:6403 dan Muslim: 2691)
2. Merupakan sebaik-baik kalimah
Kalimah "La ilaha illa Allah" adalah sebaik-baik kalimah bagi Rasulullah SAW dan para Nabi sebelum Baginda.
Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sebaik-baik perkataan yang diucapkan oleh aku dan para Nabi sebelumku adalah:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
Tiada Tuhan melainkan Allah, Dia Esa dan tiada sekutu bagi-Nya, Dia memiliki Kerajaan dan segala puji adalah untuk-Nya, dan Allah Maha berkuasa atas segala sesuatu."
3. Memberi manfaat kepada orang yang telah meninggal dunia
Amalan orang yang masih hidup boleh memberi manfaat kepada orang yang sudah meninggal dunia.
- Hadis yang diriwayatkan oleh Ma‘qil bin Yasar RA yang maksudnya:
“Bacakanlah surah Yaasin kepada orang yang akan mati.” (Hadis riwayat Abu Daud)
- Ibnu Rif‘ah Rahimahullahu Ta‘ala berkata dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj:
“Walaupun hadis ini menyuruh kita untuk membacakan surah Yasin kepada orang yang akan mati, namun boleh juga dibacakan ke atas mayat orang yang sudah mati kerana mayat itu masih boleh mendapat berkat daripada bacaan al-Qur’an seperti juga orang yang hidup, (ini kerana) kalaulah mengucapkan salam ke atas ahli kubur diterima maka adalah lebih utama lagi bacaan ayat-ayat al-Qur’an kepada mereka (ahli kubur).”
4. Menjadi kunci syurga
- Kalimah "La ilaha illa Allah" boleh menjadi kunci syurga bagi yang mengamalkannya. Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mati dan dia mengetahui tentang لاَ إِلٰهَ إِلاَّ الله maka dia masuk syurga.”
5. Zikir paling afdal dan dituntut
- Antara kalimah zikir yang paling afdal dan dituntut adalah kalimah "La ilaha illa Allah". Daripada Jabir bin Abdillah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Zikir yang paling mulia adalah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه dan doa yang paling afdhal adalah الْحَمْدُ لِلَّه.”
Panduan Bacaan Tahlil Arwah Ringkas
Jika anda ingin memulakan membaca tahlil arwah, sila ikuti susunan bacaan yang kami kongsikan di bawah. Bacaan tahlil ini boleh dibaca di mana-mana sahaja sama ada di rumah atau di masjid. Jika anda mempunyai ahli keluarga atau saudara mara yang telah meninggal dunia, dianjurkan amalkan tahlil arwah untuk si mati selama tiga hari berturut-turut, dan diikuti pada malam ke-7, ke-40, ke-100, dan setahun (haul) selepas kematian. Menjamu makan para tetamu adalah sunat dan akan mendapat kebaikan dan pahala kepada tuan rumah. Berikut adalah panduan tahlil arwah ringkas:
- Tahlil arwah dimulakan dengan bacaan ayat pembukaan.
- Baca surah Al-Fatihah sebanyak 1 kali dan Surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali diselangi dengan bacaan Tahlil dan Takbir.
- Selanjutnya baca Surah Al-Falaq sebanyak 1 kali dan Surah An-Nas sebanyak 1 kali diselangi tahlil dan takbir.
- Selanjutnya lagi baca Surah Al Fatihah sebanyak 1 kali dan surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5.
- Seterusnya, baca Al-Baqarah ayat 163, ayat Kursi, dan al-Baqarah ayat 284 hingga 286.
- Seterusnya baca Selawat Nabi, istighfar, tahlil sebanyak 33 kali, 70 kali atau 100 kali dan ayat-ayat Quran seperti dalam gambar yang disertakan.
- Diakhiri dengan bacaan surah al-Fatihah sebelum doa tahlil dan doa penutup.
Rujukan: Unisza
Doa Penutup Tahlil
Selepas membaca tahlil, adalah digalakkan untuk membaca doa tahlil seperti berikut. Disertakan doa tahlil untuk rujukan para pembaca sekalian. Tujuan doa tahlil adalah memohon keampunan, rahmat, dan belas kasihan daripada Allah swt kepada si mati dan juga kepada orang yang membaca tahlil.
Rujukan: Unisza dan Mufti WP
Gambar: Fb Atan Mukhris
Secara keseluruhannya, tahlil arwah bukanlah suatu bida'ah. Tahlil arwah membawa banyak kebaikan, baik untuk si mati mahupun yang masih hidup. Bacaan surah Yasin, tahlil, zikir, dan doa yang dilakukan dalam majlis tahlil diharapkan dapat menjadi bekalan pahala kepada si mati, memberi ketenangan di alam kubur dan di akhirat lebih-lebih lagi dibacakan oleh ahli keluarga.
Semoga Allah SWT sentiasa memberi taufiq dan hidayah, serta sentiasa membelas kasihan kepada kita semua dalam mencari redhaNya dan terus-menerus dapat melaksanakan amal soleh dan ketaatan kepada-Nya. Amin ya Rabb. Semoga artikel ini bermanfaat kepada para pembaca sekalian.