Dalam usaha meringankan beban kewangan keluarga dan memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif, kerajaan telah memperkenalkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sejak tahun 2012. Menerusi kesinambungan dasar ini, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus komited untuk meneruskan pemberian BAP sebanyak RM150 untuk seorang murid pada tahun 2025. Bantuan ini akan diagihkan kepada murid-murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5, termasuk yang setaraf dengannya, tanpa mengambil kira status pendapatan ibu bapa atau penjaga. Dalam artikel ini, kami kongsikan informasi mengenai bantuan awal persekolahan 2025 yang akan diagihkan bermula tahun hadapan 2025.
Apakah itu Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2025?
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif serta meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga. Bantuan ini telah menjadi inisiatif penting sejak diperkenalkan pada tahun 2012 dan diteruskan hingga kini dengan beberapa pembaharuan agar relevan dengan situasi semasa.
BAP pada asalnya diperkenalkan dengan matlamat utama untuk membantu keluarga yang menghadapi kos tinggi ketika menyediakan keperluan sekolah anak-anak, terutamanya pada awal tahun persekolahan. Selain itu, ia bertujuan memastikan semua kanak-kanak mempunyai peluang yang sama untuk bersekolah tanpa halangan kewangan. Sokongan ini juga meliputi pelbagai keperluan penting seperti pakaian seragam, buku, alat tulis, dan yuran tambahan, menjadikannya satu bentuk bantuan yang menyeluruh bagi meringankan beban ibu bapa.
Peruntukan untuk Bantuan BAP
- Terdapat peningkatan peruntukan BAP dari tahun 2023 hingga 2025 setiap tahun bagi memastikan lebih ramai murid mendapat manfaat daripada bantuan ini.
- Pada tahun 2023, jumlah peruntukan adalah sebanyak RM765,337,350 dengan manfaat kepada 5,102,249 orang murid. Pada tahun 2024, peruntukan meningkat kepada RM788,130,000, memberi manfaat kepada 5,254,200 orang murid. Untuk tahun 2025, jumlah peruntukan dinaikkan lagi kepada RM791,250,000 yang dijangka memberi manfaat kepada 5,275,000 orang murid.
- Kenaikan berterusan ini menggambarkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan akses pendidikan dan meringankan beban kewangan keluarga, terutamanya pada awal sesi persekolahan.
Syarat dan Kriteria Penerima Bantuan BAP
Pemberian BAP kepada murid-murid dibuat berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
- Murid warganegara Malaysia
- Murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya bagi Sesi Persekolahan 2025/2026
- Murid bersekolah di sekolah:
- Sekolah Kerajaan (SK)
- Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK)
- Sekolah Agama
- Sekolah Swasta Persendirian yang berdaftar dengan Kerajaan
- Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih
- Sekolah Integriti
- Sekolah Henry Gurney
Kaedah Pembayaran Bantuan BAP
- Mulai tahun 2025, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperluas kaedah pembayaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan memperkenalkan kaedah kredit terus ke akaun bank ibu bapa atau penjaga yang sah.
- KPM tidak menetapkan sebarang bank tertentu untuk tujuan agihan ini, memberikan fleksibiliti kepada penerima dalam menggunakan akaun bank mereka yang sedia ada.
- Bantuan ini akan disalurkan secara berperingkat melalui dua saluran utama:
- Akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah
- Akaun Khas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi sekolah yang tidak mempunyai Akaun KWK.
- Selepas itu, pengagihan kepada murid dibuat sama ada secara tunai atau disalurkan terus ke akaun bank murid, bergantung kepada keperluan dan situasi setiap sekolah.
- Pendekatan ini bertujuan memastikan proses penyaluran lebih teratur, telus, dan memudahkan penerima dalam mendapatkan bantuan.
- Penyaluran bantuan adalah seawal 10 Januari 2025.
Tarikh Penyaluran BAP 2025
- Tempoh agihan bagi murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 sesi persekolahan 2024/2025 ialah 30 hari dari tarikh surat makluman penyaluran peruntukan dikeluarkan oleh Bahagian Kewangan, KPM.
- Manakala tempoh agihan bagi murid Tahun 1 sesi perseklahan 2025/2026 ialah 30 hari dari tarikh sesi persekolahan bermula.
Borang Bantuan BAP
- Kaedah pembayaran bantuan BAP kepada setiap murid akan ditetapkan oleh pihak sekolah.
- Pemberian BAP ini adalah berdasarkan data pendapatan ibu bapa dalam APDM (Aplikasi Pangkalan Data Murid).
- Ibu bapa tidak perlu membuat permohonan kerana semua murid adalah layak secara automatik.
- Umumnya, pihak sekolah hanya akan mengedarkan borang pengesahan tertentu dan pihak ibu bapa perlulah mengisi borang-borang yang diedarkan oleh pihak sekalah murid.
Pertanyaan Lanjut
Untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan Bantuan Awal Persekolahan 2025 (BAP), anda boleh layari pautan berikut:
- Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia : https://www.moe.gov.my/
- Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia : https://www.facebook.com/KemPendidikan