Kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah memperkenalkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebagai salah satu inisiatif untuk membantu mangsa yang terkesan akibat bencana, terutamanya banjir. Bantuan ini disediakan untuk memastikan kebajikan rakyat terjamin ketika menghadapi kesulitan akibat bencana alam, seperti yang sering berlaku semasa Monsun Timur Laut. Dalam artikel ini, kami kongsikan cara mohon bantuan wang ihsan untuk mangsa banjir.
Apakah itu Bantuan Wang Ihsan (BWI) Untuk Mangsa Banjir?
Bantuan Wang Ihsan (BWI) adalah salah satu inisiatif oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu mangsa yang terkesan akibat bencana, terutamanya banjir. Bantuan ini disediakan untuk memastikan kebajikan rakyat terjamin ketika menghadapi kesulitan akibat bencana alam, seperti yang sering berlaku semasa Monsun Timur Laut.
Syarat-syarat Memohon Bantuan Wang Ihsan (BWI)
Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:
- Bantuan ini merangkumi bencana alam utama seperti banjir, tanah runtuh, ribut atau taufan, gempa bumi, dan tsunami, serta lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), berdasarkan tafsiran kejadian bencana yang ditetapkan dalam Arahan NADMA No. 1.
- Bantuan ini hanya diberikan sekali sahaja apabila ditimpa bencana semasa musim Monsun Timur Laut (MTL).
- Bagi kejadian bencana di luar musim MTL, bantuan ini hanya diberikan sekali sahaja dalam tempoh tiga (3) bulan ditimpa bencana.
- Pemohon mestilah warganegara Malaysia yang berpindah/berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Bagi kejadian bencana ribut, pemohon mestilah berdaftar dengan JPBD sekiranya tiada PPS dibuka.
- Pemohon mestilah merupakan Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa bencana yang menduduki rumah kediaman persendirian ketika kejadian bencana berlaku.
- Rumah kediaman persendirian bertingkat juga layak menerima bantuan ini sekiranya terdapat unit yang didiami dan rumah tersebut tidak terjejas sama sekali atau terjejas pada unit-unit rumah yang terletak di tingkat bawah bangunan tersebut.
- Bantuan ini diberikan bagi kejadian bencana yang berlaku berdasarkan jumlah bilangan ketua isi rumah (KIR) yang didaftarkan sebanyak sepuluh (10) KIR dan ke atas dalam setiap kejadian bencana. Sekiranya terdapat kurang daripada sepuluh (10) KIR yang terjejas, bantuan ini boleh dipertimbangkan dengan kelulusan Ketua Pengarah NADMA atau pihak berkuasa pengurusan bencana.
Cara Permohonan Bantuan Wang Ihsan
- Pemohon diminta untuk mencetak dan mengisi Borang Akuan Permohonan Bantuan Wang Ihsan (Pemohon) sebelum dikemukakan kepada petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
- Download atau muat turun borang: Borang Akuan BWI
- Sekiranya terdapat sebarang permasalahan, pemohon boleh merujuk kepada Pejabat Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Cara Permohonan Bantuan Wang Ihsan Kematian (Pemohon)
- Pemohon diminta untuk mencetak dan mengisi Borang Akuan Permohonan Bantuan Wang Ihsan Kematian (Pemohon) sebelum dikemukakan kepada Ketua Masyarakat dengan dokumen-dokumen berkaitan seperti bukti kematian iaitu Sijil Kematian atau Laporan Polis atau Laporan Kematian yang disahkan oleh Pegawai Perubatan serta bukti pertalian keluarga terdekat dengan mangsa bencana sebagai suami/isteri, ibubapa, anak dan adik-beradik iaitu Surat Nikah, Sijil Perkahwinan, Sijil Kelahiran dan lain-lain.
- Download atau muat turun borang: Borang Akuan BWI Kematian (Pemohon)
- Sekiranya terdapat sebarang permasalahan, pemohon dan ketua masyarakat boleh merujuk kepada Pejabat Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Cara Permohonan Bantuan Wang Ihsan Kematian (Ketua Masyarakat)
- Pemohon diminta untuk mencetak Borang Akuan Pengesahan Permohonan Bantuan Wang Ihsan Kematian (Ketua Masyarakat) sebelum dikemukakan kepada Ketua Masyarakat dengan dokumen-dokumen berkaitan seperti bukti kematian iaitu Sijil Kematian atau Laporan Polis atau Laporan Kematian yang disahkan oleh Pegawai Perubatan serta bukti pertalian keluarga terdekat dengan mangsa bencana sebagai suami/isteri, ibubapa, anak dan adik-beradik iaitu Surat Nikah, Sijil Perkahwinan, Sijil Kelahiran dan lain-lain.
- Download atau muat turun borang: Borang Akuan BWI Kematian (Ketua Masyarakat)
- Sekiranya terdapat sebarang permasalahan, pemohon dan ketua masyarakat boleh merujuk kepada Pejabat Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Jumlah Nilai Bantuan yang Diberikan
Jumlah bantuan yang akan diberikan adalah sebanyak RM1000 untuk setiap Ketua Isi Rumah, tanpa mengambil kira bilangan ahli isi rumah atau keluarga. Dengan RM1,000 yang diberikan kepada setiap KIR, wang ini boleh digunakan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan barangan lain yang diperlukan untuk memulakan semula kehidupan selepas bencana. Bagi mangsa yang kehilangan tempat tinggal, bantuan ini juga boleh digunakan sebagai dana permulaan untuk mencari tempat berteduh sementara.
Pertanyaan Lanjut
- Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut mengenai BWI, anda boleh kemukakan pertanyaan melalui Pejabat Daerah yang berhampiran dengan rumah kediaman.
- Atau boleh rujuk di portal rasmi NADMA melalui pautan berikut: https://www.nadma.gov.my/
Sumber: NADMA