Pada 18 Oktober 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga merangkap Menteri Kewangan Malaysia telah membentangkan Belanjawan 2025 yang bertemakan 'Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera'. Pembentangan belanjawan ini adalah yang terakhir dibuat oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lagi lima tahun.
Belanjawan Malaysia 2025 membawa berita baik kepada golongan pekerja apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji minimum. Langkah ini sejajar dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Kenaikan ini diharapkan dapat memberi impak positif bukan sahaja kepada pekerja, tetapi juga kepada ekonomi secara keseluruhan.
Intipati Menarik Belanjawan 2025
Antara intipati menarik yang memberi impak besar kepada penjawat awam dan rakyat Malaysia adalah:
- Kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
- Bantuan Khas RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan diberi Februari 2025
- Selaras dengan SSPA, pelarasan pencen juga akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan pelarasan peratusan ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing termasuklah pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
- Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga turut diumumkan untuk belanjawan 2025.
- Kerajaan bersetuju supaya kadar Bantuan Sara Hidup berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) untuk veteran ATM tidak berpencen dinaikkan kepada RM500 sebulan berbanding RM300 pada masa ini
Kenaikan Gaji Minimum kepada RM1700
- Kerajaan telah bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan.
- Kenaikan gaji minimum ini akan berkuat kuasa pada 1 Februari 2025.
- Bagaimanapun, bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 bagi tempoh 6 bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
Kenapa Kenaikan Gaji Minimum Penting?
Gaji minimum yang lebih tinggi adalah salah satu cara utama untuk memastikan golongan pekerja mendapat upah yang lebih setimpal dengan kos sara hidup semasa. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kos barangan asas, perkhidmatan, dan perumahan terus meningkat, meletakkan tekanan kewangan yang besar kepada pekerja berpendapatan rendah. Dengan menaikkan gaji minimum, kerajaan berusaha untuk mengurangkan jurang pendapatan dan memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara. Bagi pekerja, kenaikan gaji minimum ini pastinya membawa peningkatan kuasa beli, membolehkan mereka menampung keperluan harian dengan lebih baik. Selain itu, ia juga memberikan sedikit ruang untuk simpanan dan meningkatkan kualiti hidup.
Lain-lain Bantuan Tunai untuk Belanjawan 2025
Untuk belanjawan tahun 2025, kerajaan akan memberi peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM13 bilion berbanding peruntukan RM10 bilion pada tahun 2024. Peningkatan ini terus memberi manfaat kepada 9 juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara. Antara bantuan tunai Belanjawan 2025 adalah berikut:
1. Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi kategori bujang dinaikkan RM600
2. Bagi penerima SARA, bantuan diperluaskan kepada 4.1 juta penerima kategori STR isi rumah akan dikreditkan sebanyak RM100 sebulan. Bantuan akan dikreditkan ke dalam MyKAD bermula April 2025 bagi membeli keperluan asas.
3. Kadar Bantuan Warga Emas dinaikkan ke RM600 sebulan berbanding RM500.
4. Kadar bantuan kanak-kanak keluarga termiskin;
- Kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah mendapat RM250
- Kanak-kanak berusia 7 sehingga 18 tahun mendapat RM200
Kredit Foto: Ecentral.my
Secara keseluruhannya, Belanjawan 2025 menunjukkan keprihatianan Kerajaan Madani kepada rakyat Malaysia di pelbagai peringkat. Kenaikan gaji minimum dalam Belanjawan Malaysia 2025 mencerminkan usaha kerajaan untuk menyeimbangkan keperluan ekonomi dan sosial negara. Dengan adanya bantuan dan sumbangan tunai diharap dapat membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran ekonomi masa depan dengan lebih yakin.