Kesalahtanggapan sesetengah orang tentang penggunaan MyDigital ID menggantikan kad pengenalan harus diperbetulkan. MyDigital ID adalah satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri yang digunakan secara digital atau atas talian sahaja. Penggunaan sistem ini masih tertumpu kepada beberapa aplikasi kerajaan seperti MyJPJ, MySejahtera, HrMIS dan MyGov di atas talian sahaja dan tidak sama sekali menggantikan kad pengenalan secara fizikal. Bagaimanapun, ia adalah satu inisiatif kerajaan yang sangat baik dan harus disokong. Dalam artikel ini, kami kongsikan tentang MyDigital ID, kelebihan dan cara-cara mendaftarkan dalam telefon pintar anda.
Pengenalan Tentang MyDigital ID
- MyDigital ID adalah suatu sistem pengenalan diri yang sah dan selamat untuk kegunaan dalam talian sahaja (secara digital) bukan fizikal. MyDigital ID tidak menggantikan MyKad atau mana-mana dokumen pengenalan diri lain.
- MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data biometrik pengguna. MyDigital ID hanya boleh digunakan melalui telefon pintar. Sistem ini dibina bertujuan untuk memudahkan individu mengakses dan melaksanakan urusan transaksi dalam talian. Sistem ini adalah berbeza dengan pengkalan data PADU yang mengandungi profil penduduk warganegara dan pemastautin tetap yang menetap di Malaysia.
- MyDigital ID dibangun dan diselenggara oleh MIMOS, dengan penggunaan bakat tempatan sepenuhnya. MIMOS adalah sebuah agensi strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Sistem MyDigital ID mematuhi piawaian ESG (Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus Korporat).
Objektif Pembangunan Sistem MyDigital ID
- Sebagai wadah pengesahan pengenalan diri secara digital (dalam talian) yang diwujudkan untuk keselamatan dan kecekapan urusan dalam talian.
- Meningkatkan keselamatan, kecekapan, dan keselesaan perkhidmatan dalam talian dan transaksi digital
- Memperkukuhkan keyakinan dalam landskap digital di Malaysia
- Memperkasa Kerajaan digital pintar berteraskan data
- Mendukung pertumbuhan ekonomi digital Malaysia ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi
Apakah Kelebihan MyDigital ID?
- Selamat: MyDigital ID hanya mengenal pasti identiti pengguna dan tidak menyimpan sebarang data peribadi.
- Mudah: Dengan MyDigital ID, tiada keperluan log masuk berbilang untuk pelbagai urusan dalam talian.
- Pantas: Hanya beberapa saat diperlukan untuk mengesahkan identiti individu.
- Pintar: MyDigital ID mengurangkan risiko penipuan dengan mengesahkan identiti tanpa melibatkan perkongsian dokumen.
- Tepat: MyDigital ID memperoleh rujukan dan maklumat terkait daripada pangkalan data Kerajaan.
- Utuh: MyDigital ID adalah sistem tersulit dilengkapi lapisan keselamatan yang teguh dan sukar digodam.
- Unik: Seorang individu, satu identiti digital untuk mengakses pelbagai perkhidmatan dalam talian.
- Dipercayai: MyDigital ID adalah inisiatif yang dilaksana, disokong dan diiktiraf Kerajaan
Pengiktirafan Harta Intelek
Sistem MyDigital ID telah dibangunkan oleh MIMOS sejak 2016 dan sebanyak 32 paten telah didaftarkan dibawah projek Mydigital ID merangkumi pelbagai domain teknikal termasuk inovasi terkini seperti pengesahan, kawalan capaian, penandatanganan transaksi yang selamat, Kawalan kunci dan pengesahan fizikal kripto.
Apakah Kegunaan MyDigital ID?
Setakat ini kegunaan sistem MyDigital ID tertumpu sebagai pengenalan diri digital untuk aplikasi MyJPJ, MySejahtera, MyHrMIS dan portal MyGov. Untuk keempat aplikasi ini, pengguna boleh masuk menggunakan MyDigital ID yang telah diintegrasi dalam ke dalam keempat-empat aplikasi tadi. Dengan ini, pengguna tidak lagi perlu mengingati banyak password untuk beberapa aplikasi yang berbeza-beza, yang mana cukup sekadar menggunakan MyDigital ID untuk login ke semua aplikasi.
Setakat ini sistem ini, telah berjaya didaftar oleh lebih 1.4 juta penjawat awam di Malaysia. Bagaimanapun, masih ramai lagi rakyat Malaysia belum siap mendaftarkan sistem ini. Buat masa ini rakyat tidak diwajibkan mendaftar. Walau bagaimanapun, rakyat disarankan untuk mendaftar dan menggunakan MyDigital ID untuk menjamin keselamatan dari ancaman siber, dan juga memudahkan akses ke aplikasi-aplikasi yang digunakan.
Cara Pendaftaran MyDigital ID
Langkah-langkah pendaftaran MyDigital ID adalah seperti berikut:
A) Muat turun aplikasi MyDigital ID dalam telefon pintar
Anda boleh memuat turun aplikasi MyDigital ID secara percuma ke dalam telefon pintar anda menerusi pautan berikut:
- Google Play Store : https://play.google.com/store/apps/details?id=my.mimos.signetclient&pcampaignid=web_share
- Apps Store: https://apps.apple.com/my/app/mydigital-id/id1435289143
- AppsGallery Huawei : https://appgallery.huawei.com/#/app/C101839717
B) Hadir di kiosk berhampiran untuk lengkapkan pendaftaran
Cara Buat Pendaftran Melalui Kiosk:
- Lakukan carian kiosk yang berhampiran (Link Kiosk) dan hadirkan diri di kiosk
- Muat turun dan pasangkan aplikasi MyDigital ID di telefon pintar anda.
- Sediakan MyKad.
- Masukkan MyKad, dan letakkan ibu jari di pengimbas. Jangan alihkan sehingga selesai imbasan.
- Pastikan segala maklumat anda adalah tepat.
- Keluarkan MyKad anda.
- Pengesahan berjaya.
C) Imbaskan QR kod pada paparan skrin di kiosk
- Buka aplikasi MyDigital ID dan imbas QR yang terpapar di kios.
- Teruskan pendaftaran di telefon pintar.
- Masukkan kata laluan (8 aksara).
- Jawab “Ya” untuk menyimpan identiti digital.
- Identiti digital anda telah berjaya disimpan ke dalam aplikasi MyDigital ID.
Sumber: Jabatan Pendaftaran Negara dan laman web mydigital-ID
Berikut yang dikongsikan tadi adalah satu inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia dalam berhadapan dengan teknologi digital yang makin canggih dan mencabar. Bagaimanapun, sistem ini masih baru dan perlu penambahbaikkan dari semasa ke semasa. Semoga perkongsiaan ini bermanfaat untuk para pembaca kasturihijau.com.