Berita baik kepada pendeposit Tabung Haji yang mana Lembaga Tabung Haji (TH) telah memulakan pengeluaran surat tawaran kepada seramai 31,600 bakal jemaah haji bagi musim haji tahun 2025/1446 Hijrah, bermula pada Isnin, 16 Disember 2024 lalu. Sehubungan itu, pendeposit yang telah mendaftar haji disarankan untuk membuat semakan secara berkala melalui portal rasmi THiJARI kerana tawaran haji akan dikeluarkan secara berperingkat.
Bantuan Kewangan Haji bagi musim 1446H/2025M dianggarkan berjumlah RM261 juta, sekali gus meningkatkan jumlah terkumpul kepada lebih RM2.8 bilion dalam tempoh 25 tahun. Bantuan ini memberikan kesan langsung terhadap kemampanan kewangan Tabung Haji (TH) serta pulangan yang mampan kepada para pendeposit. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan cara semak tawaran haji bagi bakal jemaah haji tahun 2025.
Apakah itu Tawaran Haji Tahun 2025?
- Tawaran Haji Tahun 2025 merujuk kepada surat tawaran rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) kepada bakal jemaah haji untuk menunaikan ibadah haji pada musim haji tahun 2025 bersamaan 1446 Hijrah.
- Tawaran ini mula dikeluarkan secara berperingkat bermula pada Isnin, 16 Disember 2024, dan diberikan kepada pendeposit yang telah mencapai giliran berdasarkan sistem pendaftaran haji yang berpandukan prinsip "siapa dahulu, dia didahulukan."
- Pendeposit yang terpilih disarankan untuk membuat semakan tawaran melalui portal rasmi THiJARI secara berkala, memandangkan proses pengeluaran surat tawaran akan dilakukan secara berperingkat.
- Keutamaan diberikan kepada bakal jemaah yang giliran hajinya tiba pada tahun semasa, diikuti oleh mereka yang dijadualkan untuk tahun seterusnya.
- Tawaran ini membolehkan pendeposit membuat persediaan awal bagi menunaikan ibadah haji, termasuk menyelesaikan urusan pembayaran dan persediaan dokumen yang diperlukan.
Bayaran Kos Tawaran Haji 2025 Bagi Kumpulan B40, M40 dan T20
Bayaran Kos Tawaran Haji 2025 Bagi B40
Bakal Jemaah Haji Muassasah daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) akan menerima Bantuan Kewangan Haji TH sebanyak RM17,300 seorang, ditambah dengan bantuan kerajaan berjumlah RM1,000 seorang. Ini menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM18,300, iaitu kira-kira 55% daripada keseluruhan kos haji. Dengan bantuan ini, bakal jemaah hanya perlu membayar RM15,000 sahaja seorang.
Bayaran Kos Tawaran Haji 2025 Bagi M40
Bagi kumpulan berpendapatan sederhana (M40), bakal jemaah haji Muassasah akan menerima Bantuan Kewangan Haji TH berjumlah RM9,800 seorang, iaitu kira-kira 2% daripada keseluruhan kos haji. Namun, tidak seperti B40, kumpulan ini tidak menerima bantuan kerajaan tambahan. Oleh itu, mereka hanya perlu membayar sebanyak RM23,500 sahaja seorang.
Bayaran Kos Tawaran Haji 2025 Bagi T20
Sementara itu, bakal jemaah haji Muassasah dari kumpulan berpendapatan tertinggi (T20) yang berpendapatan sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan, perlu menjelaskan bayaran penuh kos haji sebanyak RM33,300 seorang. Ini selaras dengan prinsip penyasaran bantuan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Cara Semak Tawaran Haji Untuk Tahun 2025
Berikut dikongsikan cara membuat semakan tawaran menunaikan haji bagi bakal jemaah tahun 2025 / 1446H.
- Tunggu surat tawaran daripada Lembaga Tabung Haji. Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengeluarkan surat tawaran untuk menunaikan ibadah haji bagi tahun 2025/1446 Hijrah secara berperingkat.
- Semak melalui portal THiJARI mulai 16 Disember 2024. Bakal Haji boleh menyemak tawaran haji melalui portal THiJARI. Pendeposit yang telah mendaftar disarankan untuk membuat semakan dari semasa ke semasa melalui portal tersebut.
- Semak SMS sekiranya nombor telefon yang didaftarkan masih aktif
Cara Semakan Tawaran Haji Melalui THiJARI
Semua bakal haji Malaysia boleh menyemak dan menjawab tawaran haji melalui laman web rasmi portal THiJARI dengan langkah berikut:
- Daftar Pengguna THiJARI
- Gunakan telefon pintar, komputer atau laptop dan pergi ke laman sesawang https://www.thijari.com.my
- Pendeposit hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan dan nombor akaun TH.
- Memasukkan nombor telefon bimbit yang telah didaftarkan serta maklumat peribadi.
- Sebaik selesai, pendeposit boleh mula menggunakan perkhidmatan THiJARI untuk semak tawaran haji.
- Pilih Menu PERKHIDMATAN HAJI
- Klik SEMAK TAWARAN HAJI
- Anda akan dimaklumkan sekiranya mendapat panggilan haji bagi tahun 2025.
Kredit: Lembaga Tabung Haji dan ecentral.my
Pertanyaan Lanjut
Untuk pertanyaan lebih lanjut mengenai tawaran haji tahun 2025, sila lawati https://www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.