Return to site

Mudah! Cara Tanam Pokok Lidah Buaya Dalam Polibag di Rumah

kasturihijau.com

· INFORMASI
cara tanam aloe vera di rumah

Tahukah anda pokok lidah buaya mempunyai banyak khasiat pada kesihatan? Antara khasiat pokok lidah buaya adalah merawat luka, keradangan, bengkak, masalah kulit, rambut gugur dan macam-macam lagi. Untuk membeli krim lidah buaya yang original mungkin agak mahal, jadi lebih baik kita cuba untuk tanam pokok ini di dalam polibag atau pasu dalam kawasan rumah. Berikut adalah cara untuk tanam pokok lidah buaya di rumah.

Pengenalan Pokok Lidah Buaya (Aloe Vera)

Pokok lidah buaya atau nama botaninya adalah Aloe vera, asalnya wujud di Afrika Timur dan Selatan. Kemudian, pokok ini dibawa masuk ke kawasan lain seperti ke Hindia Barat dan ke negara-negara tropikal dan juga negara-negara Mediterania. Lidah buaya sejenis pokok yang tahan terhadap kemarau, ia tergolong dalam famili Xanthorrhoeaceae. Namun, terdapat 250 spesies Aloe vera di seluruh dunia, namun yang terkenal dan banyak ditanam adalah Aloe barbadensis Miller dan Aloe aborescens.

 

 

Di Malaysia, pokok ini mudah ditanam di kawasan rumah dan di dalam polibag atau pasu. Aloe vera dikatakan mempunyai khasiat yang tinggi di mana ia mempunyai kepadatan air yang tinggi (99-99.5%), manakala bahan pepejal (0.5-1.0%) yang mengandungi lebih daripada 200 sebatian aktif, termasuk vitamin, mineral, enzim, polisakarida kompleks dan mudah, sebatian fenolik, dan asid organik. Antara manfaat pokok lidah buaya adalah merawat luka-luka kecil, keradangan kulit, merawat kerengsaan kulit kecil, termasuk luka bakar, lebam, dan melecet serta agen antiinflamasi yang baik.

broken image

 

Cara Penanaman Lidah Buaya dalam Polibag atau Pasu

1. Sediakan Polibag Yang Sesuai

Anda perlu pilih polibag yang sesuai dengan saiz yang sederhana hingga besar. Disarankan iuntuk memilih polibag dengan ukuran diameter sekitar 20 cm. Saiz polibag yang anda gunakan akan mempengaruhi saiz pokok lidah buaya yang akan tumbuhan

2. Sediakan tanah yang sesuai

Anda harus sediakan tanah yang kering, yang agak berbeza dengan tumbuhan yang lain yang memerlukan tanah yang lembap. Anda juga boleh menggunakan tanah campuran yang kering. Sediakan media tanah campuran dengan nisbah (1:1:1) yang mengandungi batu kerikil, tanah dan pasir dan masukkan ke dalam polibag atau pasu sehingga 3/4 penuh, serta elakkan takungan air yang berlebihan. Masukkan tanah ke dalam polibag. Campuran tanah yang baik untuk lidah buaya adalah campuran yang memudahkan air mengalir dengan cepat dan tidak menyimpan kelebihan air sehingga tanah menjadi lembap atau kuyup berpanjangan.

 

 

 

 

3. Pilih anak pokok yang sesuai

Menggunakan kaedah konvesional, ambil anak pokok daripada pokok yang telah matang. Biasanya, anak pokok daripada induk akan muncul pada umur 5-6 bulan. Dengan mengambil anak pokok dari induk yang sihat, peratus untuk anak pokok terus hidup adalah lebih tinggi. Anak pokok haruslah segera ditanam tanpa sebarang semaian pada peringkat awal. Tanam di dalam pasu atau polibag yang telah disediakan dan elakkan takungan air yang banyak kerana akan menyebabkan akar pokok membusuk. Timbuskan dengan batuan-batuan kecil seperti kerikil bagi memenuhi ruangan pasu untuk tujuan membekalkan pengudaraan bagi pertumbuhan akar yang baik.

4. Penyiraman Pokok Lidah Buaya

Tidak perlu lakukan penyiraman pada pokok untuk 5 hari pertama untuk proses pengadaptasian akar. Jangan memberi air yang terlalu banyak kepada pokok, kerana ia akan merosakkan akar. Lakukan siraman selepas hari ke 5 untuk sekadar membasahi tanah.

5. Pembajaan Pokok

Pokok lidah buaya tidak memerlukan pembajaan, kerana ia boleh merosakkan pertumbuhan pokok. Cukup sekali memberikan baja organik sekali setahun.

6. Pengawalan Penyakit dan Makhluk Perosak

Kebiasaannya, tumbuhan ini tidak mengalami penyakit dan serangan makhluk perosak yang teruk. Namun, aloe vera boleh diganggu dengan kulat dan bakteria dengan tanda-tanda kekuningan pada daun aloe vera. Bagaimanapun, serangan kulat dan bakteria boleh dielakkan dengan menyediakan suhu, cahaya, dan air yang cukup.

7. Cara Penuaian Lidah Buaya

Pokok boleh dituai apabila sudah mencapai ketinggian hampir 2 kaki. Caranya dengan memilih daun yang sudah tua dan matang dengan menggunakan pisau atau gunting tanpa melukakan pokok. Pemotongan daun haruslah dilakukan dengan bersih untuk merangsang pertumbuhan semula daun baru. Daun yang dituai kebiasaannya adalah untuk mengambil gel untuk tujuan rawatan dan kecantikan, atau lain-lain.

 

 

broken image

 

Penggunaan Meluas Aloe Vera Sebagai Sumber Ekonomi

  • Aloe vera merupakan sejenis tanaman herba yang semakin mendapat perhatian di kalangan usahawan
  • Nilai pasaran dunia mengenai produk daripada lidah buaya bernilai jutaan ringgit setahun dengan beberapa negara yang menjadi pengeluar terbesar iaitu Australia, Cuba, Republik Dominica, Mexico, China, India, Sepanyol dan Jamaica.
  • Penggunaan aloe vera penting dalam industri farmasi dan kesihatan iaitu menghasilkan produk sebagai antiinflamasi, antioksidan, laksatif, antimikrobial dan molusisidal, antikanser,dan imunomodulator
  • Produk aloe vera juga telah dipatenkan oleh negara maju iaitu dengan paten CART 1000, CARN 750, Polymannoacetate, Aliminase, Alovex dan Carrsyn.
  • Aloe vera juga penting dalam industri kosmetik dimana lidah buaya sesuai digunapakai sebagai bahan asas dalam membuat lotion, krim, lipstik, shampo dan kondisioner.
  • Lidah buaya juga penting dalam industri pertanian iaitu untuk dijadikan baja, suplemen hidroponik, suplemen untuk media kultur jaringan dan bahan penambah nutrisi makanan untuk ternakan.

 

broken image

Kredit Photo: Nacqris Backyard Garden

Baca lagi:

Berikut dikongsikan cara penanaman aloe vera di kawasan rumah. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk para pembaca kasturihijau.com sekalian.

 

Ditulis oleh,

Dr. Kasturi,

Kuala Lumpur, Malaysia.