Solat merupakan tali komunikasi antara hamba dengan Tuhannya kerana ibadat solat secara langsung berlaku interaksi antara kedua-duanya. Bagi yang mahu berbicara dengan Tuhan, maka dirikanlah solat, bagi yang mahu Allah swt berbicara dengannya, maka bacalah al-Quran. Artikel ini menerangkan tatacara solat tahajud sebagai tali penghubung hamba dengan Tuhannya.
Pengenalan Solat Tahajud
Solat tahajud adalah solat sunat yang dilakukan pada waktu malam selepas waktu isyak sehingga sebelum subuh. Solat tahajud ini mempunyai banyak kelebihan dan manfaat terutamanya kepada kesihatan. Antara tujuan solat tahajjud adalah sebagai tanda penghambaan kepada Allah SWT dan dekatkan diri kepada penciptanya dan juga sebagai tanda kesyukuran.
Antara dalil berkaitan dengan kelebihan solat tahajud adalah antaranya:
1. Allah swt telah berfirman mengenai kelebihan solat tahajud iaitu:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji (Surah al-Isra’: 79)
2. Rasulullah SAW bersabda:
“Puasa yang paling utama setelah puasa bulan Ramadhan adalah puasa bulan Muharam, dan solat yang paling utama setelah solat fardhu adalah solat pada waktu malam.” (Riwayat Muslim)
3. Rasulullah SAW bersabda:
“Keadaan paling dekat seorang hamba dari Rabbnya adalah ketika dia dalam keadaan sujud, maka perbanyak doa (di dalamnya).” (Riwayat Muslim)
4. Rasulullah SAW bersabda lagi:
“Solat tahajud dapat menghapus dosa, mendatangkan ketenangan dan menghindarkan dari penyakit”. (Riwayat Tarmizi)
Tatacara Mendirikan Solat Tahajud
- Waktu mengerjakan solat tahajud adalah antara waktu selepas isyak sehingga waktu subuh dan waktu yang paling afdal adalah antara pukul 1.30 pagi sehingga subuh.
2 waktu yang digalakkan solat tahajud:
- Bersolat setelah tidur terlebih dahulu.
- Dilakukan selepas solat Isya’.
- Afdal dilakukan secara bersendirian dan disarankan sebagai amalan tambahan seharian umat Islam.
Cara solat tahajud adalah sama solat dua rakaat sunat yang lain. Cara mendirikan solat tahajud adalah berikut:
1. Niat mengerjakan solat tahajud seperti berikut:
أُصَلِّيَ سُنَّةَ التَّحَجُّدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Lafaz rumi: “Usolli sunatan Tahajudi rak’ataini lillahi Ta’ala”
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat tahajud dua rakaat kerana Allah taala.”
2. Rakaat pertama: Baca Surah Al Fatihah dan Surah Al-Kaafirun.
3. Rakaat kedua: Baca Al fatihah dan Surah Al Ikhlas.
4. Memberikan salam.
5. Berdoa
Doa Selepas Solat Tahajud
Doa selepas solat sunat tahajud adalah seperti berikut.
Maksudnya: Ya Allah, bagi Mu segala puji, Engkaulah penegak langit dan bumi serta segala isinya. Bagi Mu lah segala puji, Engkau raja penguasa langit dan bumi. Bagi Mu lah segala puji, pemancar cahaya langit dan bumi. Bagi Mu lah segala puji, Engkaulah yang benar, Engkaulah yang benar, janji Mu adalah benar, perjumpaan Mu itu adalah benar, firman Mu adalah benar, syurga adalah benar, neraka adalah benar, para nabi adalah benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar. Ya Allah, kepada Mu lah aku berserah diri, kepada Mu lah aku kembali, kepada Mu lah aku rindu, dan kepada Engkaulah aku berhukum. Ampuni aku atas kesalahan yang telah aku lakukan dan yang sebelumnya, baik yang aku sembunyikan mahupun yang dinyatakan. Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan (kekuasaan) Allah.
Kelebihan Solat Tahajud dari Sudut Kesihatan Mental
Kajian perubatan sains telah menunjukkan banyak kelebihan solat tahajud dari sudut kesihatan mental. Antaranya kelebihan solat tahajud daripada kesihatan mental:
- Kajian yang dilakukan oleh Prof Dr Mohammad Sholeh pada tahun 2006 bahawa solat tahajud yang dilakukan secara rutin, ikhlas dan khusyuk dapat menurunkan kadar hormon kortisol dalam darah.
- Solat tahajud pada waktu tengah malam sebelum subuh dapat memberikan ketenangan maksimum dalam keadaan ini, otak merembeskan hormon serotonin dan endorfin yang menyebabkan seseorang merasakan rasa nyaman, tenang, bahagia (Sumber: Mustofa, 2007).
- Hormon melatonin banyak dirembeskan pada tengah malam sesuai untuk menenangkan diri dan amat sesuai untuk melakukan tahajud di mana dengan mendekatkan diri dengan pencipta, seseorang akan memperoleh ketenangan (Sumber: Kuniasih, 2008).
- Proses meditasi seperti solat tahajud akan mengurangkan masalah tekanan perasaan di mana aras hormon adrenalin dan kortisol akan menurun dan digantikan dengan endorphin dan enkafalin yang membuatkan seseorang tenang (Sumber: Cahyono, 2011).
- Solat merupakan terapi psikologi yang membantu jiwa menjadi lebih tenang dan menghilangkan tekanan perasaan yang disebabkan oleh pelbagai masalah kehidupan (Sumber: Aziz, 2011).
- Dr Fidelma OLeary, Phd Neuroscience dari St Edwards University memperoleh hasil kajian berkaitan kelebihan sujud di mana terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah dan urat tersebut akan dimasuki darah pada saat manusia sujud, justeru, sujud yang lama, berguna untuk menambah bekalan darah untuk kepala (Sumber: Mujahidah Rapi, 2015).
Sumber: Mufti Kuala Lumpur
Secara kesimpulannya, besar manfaat mendirikan solat tahajud pada setiap malam dari sudut kesihatan mental dan kerohanian, dan lain-lain. Bagi individu yang sudah biasa mengamalkan solat tahajud, pasti anda akan merasakan kemanisan tahajud.
Jangan lupa subscribe free www.kasturihijau.com untuk mengetahui informasi yang terbaru dari kami dengan memasukkan alamat emel anda di bawah, dan tekan butang subscribe berwarna hijau di bawah. Terima kasih