Return to site

Sah atau Tidak Ceraikan Isteri Melalui Whatsapp atau Media Sosial

www.kasturihijau.com

· AGAMA
hukum cerai melalui whatsapp

Kes penceraian di negara ini adalah pada tahap membimbangkan. Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar perceraian menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada 43,936 kes kepada 62,890 kes masing-masing pada tahun 2021 dan 2022 iaitu peningkatan sehingga 43.1 peratus. Golongan muda antara usia 30-39 tahun adalah pasangan yang paling ramai bercerai. Lebih membimbangkan lagi, media sosial menjadi medium untuk bercerai bagi sesetengah pasangan. Banyak kes yang menceraikan isteri melalui sms, whatsapp, facebook, tiktok, email dan sebagainya. Namun, apakah hukum di sebalik penceraian melalui media sosial ini? Dalam artikel ini kami kongsikan maklumat tentang hukum talak daripada beberapa Mufti dan Peguam Syarie yang pakar dalam hukum undang-undang keluarga Islam.

Pengertian Talak

  • Talak berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud melepaskan atau membuka ikatan.
  • Talak dari segi syarak ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan perkataan yang jelas (sarih) atau kinayah (sindiran).

Hadis Berkaitan Talak

Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak dan rujuk.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, at-Tirmizi & Ibnu Majah)

Kata Imam al-Baijuri : “Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat, iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak dihtimal kepada selain daripada talak.” [Lihat: Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263]

 

Jenis-jenis Talak

  • Lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu lafaz sarih dan kinayah.
  • Lafaz sarih adalah lafaz talak yang jelas maksudnya dengan terdapat perkataan seperti talak atau cerai, lepas, dan pisah.
  • Jika seorang suami melafazkan talak kepada isterinya secara sarih (jelas), walaupun tanpa niat, talak telah jatuh. Perkataan itu adalah cerai, pisah dan lepas.
  • Contoh lafaz sarih, "Aku ceraikan kamu", ''Aku lepaskan kamu!” atau “Aku berpisah dari engkau”
  • Tiada pengecualian di dalam syarak jika talak berkenaan disebutkan ketika waktu normal, bergaduh mahupun bergurau-senda, walau tanpa niat, talak tetap jatuh.
  • Lafaz kinayah bermaksud semua lafaz yang boleh ditafsirkan sebagai talak atau selain talak.
  • Contohnya, ‘kamu bebas dari aku’, ‘kembalilah kepada keluargamu’, ‘pergilah ke mana yang kamu suka’ dan lain-lain. Semua lafaz ini boleh ditafsirkan sebagai talak dan juga boleh ditafsirkan sebagai bukan talak.
  • Bagi lafaz kinayah, talak tidak jatuh melainkan jika suami berniat menjatuhkan talak.

Berdasarkan kata Ibnu al-Qasim al-Ghazzi:

“Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” [Lihat: Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264]

 

broken image

 

Rukun Talak

Di dalam Kitab Iaanah al-Taalibin, menyatakan 5 rukun talak :

  1. Suami
  2. Isteri
  3. Lafaz yang digunakan
  4. Qasad (Niat)
  5. Wilayah (kuasa suami)

Menjawab persoalan diatas, fokus utama adalah dari segi lafaz yang dibuat oleh suami sama ada lafaz itu sarih (jelas) atau lafaz kinayah (tidak jelas).

broken image

 

Lafaz Talak Melalui Whatsapp atau Media Sosial

  • Bagi talak yang diberikan dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui sms, whatsapp, email,faksimile, tiktok dan sebagainya adalah termasuk dalam talak kinayah dan ia dikira sah sekiranya disertai dengan niat. Hukum ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-59.
  • Hukum penceraian melalui Whatsapp adalah sah dan jatuh talaknya jika menepati syarat-syarat berikut:
  1. Pengirim Whatsapp itu adalah dari suami
  2. Penerima Whatsapp adalah isteri
  3. Whatsapp itu dibaca oleh penerima
  4. Suami memang berniat untuk menceraikan isteri

Bagaimanapun, semua perceraian hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah syariah untuk mensabitkan lafaz talak berkenaan sah atau tidak. Pihak Mahkamah Syariah perlu menyiasat lafaz tersebut terlebih dahulu sebelum memutuskan apa-apa keputusan.

Sumber: Mufti WP, Mufti Terengganu, Peguam Syarie Luqman Hakim

Semoga perkongsian tentang hukum penceraian ini bermanfaat dan menjadi maklumat asas kepada anda bagi yang ingin berumahtangga atau sedang mengalami fasa-fasa penceraian. Semoga dikurniakan perkahwinan yang sakinah mawaddah warahmah kepada para pembaca kasturihijau.com.