Return to site

Pedofilia: Simptom, dan Ciri-ciri Pedofil dari Sudut Psikologi dan Psikopatologi

kasturihijau.com

· KESIHATAN
Pedofilia: Simptom, dan Ciri-ciri Pedofil dari Sudut Psikologi dan Psikopatologi

Kini, kes pedofilia semakin menjadi-jadi di negara kita. Apakah penyebab kepada peningkatan kes pedofilia ini pada kanak-kanak. Pedofilia adalah satu gangguan mental berkait tarikan seksual berulang terhadap kanak-kanak bawah umur. Fenomena ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan moral dan sosial, tetapi juga cabaran dalam bidang psikologi dan kesihatan mental di negara ini. Perbuatan pedofilia merupakan satu kesalahan jenayah terhadap kanak-kanak. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan ciri-ciri dan simptom penghidap pedofilia dari sudut psikologi, personaliti dan psikopatologi.

broken image

 

Apakah itu Pedofilia (Pedophilia)?

  • Gangguan pedofilik (Pedophilic Disorder) atau pedofilia merupakan cabang pecahan daripada gangguan parafilik (Paraphilic Disorder), iaitu tingkahlaku seksual yang abnormal, contohnya terhadap binatang, patung mannequin dan untuk kes pedofilia adalah tingkahlaku seksual abnormal terhadap kanak-kanak.
  • Pedofilia dicirikan oleh tarikan seksual yang berulang terhadap kanak-kanak sebelum baligh. Penyelidikan saintifik mengenai ciri psikologi dan neurobiologi yang berkaitan dengan pedofilia menunjukkan gabungan faktor yang kompleks pada pesakit.
  • Jenis-jenis Chronophilic Disorder (nafsu seks terhadap individu lingkungan umur tertentu) terbahagi kepada tiga iaitu:
  1. Pedofilia – Terhadap kanak-kanak sebelum baligh (bawah 11 tahun)
  2. Hebefilia – Terhadap kanak-kanak selepas baligh (11-14 tahun)
  3. Ephebofilia – Terhadap remaja yang mula masuk dewasa (15-18 tahun)
  • Bagaimanapun, mengikut norma kita sekarang, pedofilia dianggap mana-mana kes jenayah seksual berkaitan kanak-kanak bawah umur 18 tahun.

Simptom-simptom Pedofilia

Simptom-simptom yang hadir pada penghidap ini ialah:

  • Tempoh masa mempunyai perasaan seksual itu berterusan minimum 6 bulan
  • Penghidap mempunyai stress dan tekanan untuk bertindak kepada tindakan tersebut (rasa tidak tenang, asyik terbayang, mahu bertindak tetapi masih dapat bertahan)
  • Tidak semestinya perlu sudah bertindak baru digelar Pedofil
  • Pelaku mesti berumur 16 tahun dan ke atas, mangsa pula minimum 5 tahun berbeza umur

Ada tiga jenis ‘taste’ atau kecenderungan pelaku Pedofilia kepada kanak-kanak:

  1. Exclusive = Hanya bernafsu pada kanak-kanak sahaja
  2. Non-Exclusive = Bernafsu normal pada dewasa DAN abnormal pada kanak-kanak
  3. Incest = Bernafsu pada kanak-kanak yang ada pertalian darah
broken image

 

Ciri-ciri Psikologi, Personaliti dan Psikopatologi Pedofil

1. Kurang keyakinan diri: Pedofil sering menunjukkan harga diri yang rendah, perasaan rendah diri, dan gangguan sosial. Ciri-ciri ini boleh menyebabkan tingkah laku interpersonal yang kurang, dan mendorong sesetengah individu untuk mendekati kanak-kanak sebagai rakan yang kurang berbahaya berbanding orang dewasa.

2. Gangguan Kognitif: Ramai pedofil mungkin melihat dorongan seksual mereka sebagai ego-sintonik (selari dengan imej diri mereka) dan membenarkan tindakan mereka dengan meminimumkan bahaya dengan mentakrifkan semula tingkah laku yang berbahaya sebagai ungkapan cinta.

3. Sangat Introvert: Pedofil mungkin menghadapi kesukaran dalam hubungan interpersonal jadi mereka lebih tertarik pada kepada kanak-kanak.

4. Mempunyai ciri psikopati (gangguan mental): Kajian menunjukkan bahawa sesetengah pedofil mempamerkan ciri-ciri yang berkaitan dengan psikopati, seperti kekurangan empati dan tingkah laku yang manipulatif.

5. Ada masalah mental lain: Pedofilia sering berlaku bersama dengan masalah kesihatan mental lain seperti kemurungan, gangguan kebimbangan, dan gangguan personaliti.

6. Kerosakan Lobus Frontal Otak: Ciri neuropati pada lobus frontal otak yang penting untuk pengawalan impuls. Gangguan ini boleh menjejaskan keupayaan untuk mengawal dorongan seksual terhadap kanak-kanak.

7. Pengaruh Genetik dan Persekitaran: Faktor persekitaran seperti trauma atau penderaan semasa kanak-kanak juga merupakan penyumbang penting kepada pelaku pedofilia.

 

Rawatan Untuk Pesakit Pedofilia

Antara rawatan untuk penghidap pedofilia adalah seperti berikut:

1. Menggunakan ubat

  • Melalui ubatan tertentu, tujuannya untuk rendahkan pembuatan hormon testosteron. Ini bertindak untuk merendahkan libido, iaitu sexual drive seseorang itu.

2. Kaunseling dan psikoterapi

Pelaku melalui sesi terapi bersama psikiatris atau psikologis untuk memulihkan ganggual mental mereka. Rawatan ini lebih efektif apabila ia melalui sukarela oleh pelaku (bukan paksaan atau arahan mahkamah) dan digabungkan bersama antara perubatan dan psikoterapi.

 

broken image

 

 

Cara-cara Mencegah Risiko Pedofilia

  • Ibubapa atau penjaga harus ajar anak-anak mengenai Personal Safety, iaitu sentuhan tidak selamat dan langsung tidak boleh disentuh oleh orang lain ialah bibir, dada, punggung dan kemaluan.
  • Sering mengambil berat tentang perhubungan anak-anak dengan orang lain, dan memberitahu mereka bahawa perbuatan dilakukan oleh pedofil itu merupakan perbuatan salah dan satu jenayah.
  • Jangan upload gambar anak-anak sesuka hati di media sosial, terutama gambar tidak berpakaian, gaya duduk yang tidak sopan atau sebagainya.
  • Ibubapa dan penjaga harus ambil tahu kes dan profil penjenayah pedofil yang ada di Malaysia dan di kawasan sekeliling tempat tinggal. Ini bertujuan menjaga isu keselamatan kanak-kanak.
  • Buat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya kita syaki seseorang itu pedofilia.

Pedofilia Adalah Satu Jenayah

  • Jenayah pedofilia tidak semestinya berlaku persetubuhan antara pemangsa dan mangsa, tetapi tindakan menyentuh bahagian terlarang itu juga sudah dikira jenayah pedofilia.
  • Termasuklah memandang (dengan bernafsu), membuka pakaian, menyentuh dan menyuruh sentuh.
  • Pemangsa biasanya orang yang dikenali (atau berautoriti) dan rapat dengan keluarga. Mereka ini seperti ayah, abang, pakcik, datuk, saudara-mara.
  • Mereka pandai berselindung dan tidak disyak apa-apa oleh ahli keluarga lain.
  • Kesan pedofilia adalah memberi trauma sepanjang hayat kepada kanak-kanak.

Secara kesimpulannya, pedofilia adalah keadaan gangguan mental yang berlaku kepada orang dewasa terhadap kanak-kanak bawah umur. Sekiranya seseorang merasa dirinya ada ciri-ciri kecelaruan mental ini, dapatkan bantuan segera daripada kaunselor, psikologis klinikal atau psikiatris. Pedofilia adalah tindakan yang tidak bermoral dan merupakan satu jenayah terhadap kanak-kanak.

Kredit & Sumber: Aiman Psikologi & https://www.psychiatrictimes.com/

 

Diharap perkongsian ini bermanfaat untuk para pembaca sekali.