Berikutan fenomena La Nina yang dijangka muncul September ini, keadaan cuaca lebih lembap, suhu air laut menurun, dan sejuk serta taburan hujan akan meningkat. Fenomena La Nina ini boleh bertahan antara lima hingga 18 bulan. Jika fenomena La Nina bersama monsun timur laut yang mana kebiasaannya bermula pada bulan November berlaku, keadaan ini akan menyebabkan cuaca lembap di sepanjang pantai timur Semenanjung sehingga Mac tahun depan. Ribut tropika juga dijangka lebih aktif di barat Lautan Pasifik semasa tempoh La Nina yang mengakibatkan cuaca lembap di sepanjang pantai barat Sabah dan utara Sarawak. Semasa fenomena La Nina ini, beberapa kawasan negeri di Lembah Klang, Baling, Kedah pernah mengalami banjir yang teruk tahun 2021-2022. Dalam artikel lepas, kami telah kongsikan persiapan menghadapi banjir, manakala untuk artikel kali ini pula kami akan kongsikan doa-doa untuk mengelak banjir dan musibah akibat banjir.
Adab Berdoa Ketika Memohon Banjir Surut dan Elak Musibah Banjir
- Ada sebuah hadis berkenaan adab Rasulullah saw ketika berdoa kepada Allah swt. Sesungguhnya Baginda tidak meminta agar diberhentikan hujan, tetapi Baginda memohon kepada Allah agar mengangkat segala mudarat dan bahaya daripada terkena ke atas rumah-rumah kediaman, jalan-jalan penghubung dan sumber kemudahan pada waktu itu. Hal ini supaya para penduduk setempat dan orang yang menggunakan jalan berada dalam keadaan selamat.
- Dalam masa yang sama, Rasulullah juga memohon kepada Allah agar mengekalkan hujan turun di kawasan-kawasan yang memerlukan hujan.
- Ketika hujan terlalu lebat, jalan-jalan juga terputus dan tidak boleh berhubung lagi, Rasulullah pun mengangkat kedua-dua belah tangannya, lalu berdoa:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
“Ya Allah turunkanlah hujan ini berjauhan daripada kami, bukan tepat di atas kami. Ya Allah turunkanlah hujan ini di atas bukit-bukit, anak-anak gunung, lembah-lembah dan kawasan hutan."
- Saidina Anas bin Malik Radhiyallahu 'Anhu bercerita bahawa tidak lama kemudian hujan terus berhenti. Hadis ini menceritakan adab berdoa yang diperlukan untuk mengelak musibah akibat banjir dan hujan yang berlarutan. Untuk mendapatkan doa yang makbul, seseorang perlu mengamalkan adab berdoa yang betul. Rujuk artikel berkenaan adab berdoa menurut cara Imam Al-Ghazali.
Baca Lagi:
Koleksi Doa Memohon Banjir Cepat Surut
Doa 1
Dipetik daripada Ibnul Qayyim, bahawa Rasulullah saw membaca doa berikut apabila hujan semakin lebat.
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلَا عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الْآكَامِ وَالْجِبَالِ وَالْآجَامِ وَالظِّرَابِ وَالْأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Maksud : Ya Allah turunkan hujan ini mengelilingi kami dan bukan menimpa di atas kami. Ya Allah curahkanlah hujan ini di atas tempat-tempat tinggi, gunung-ganang, bukit-bukit, lembah-lembah dan tempat tumbuhnya pepohonan.
Doa 2
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Maksudnya: “Ya Allah Kau jadikanlah curahan hujan ini sebagai curahan yang bermanfaat.” (HR Bukhari, hadis sahih)
Kredit: Ustazah Asma' Harun
Doa 3
يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ
Maksudnya: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. (Surah Hud: 44)
Doa 4
اللَّهُمَّ عَلَى ظُهُورِ الْجِبَالِ وَالْآكَامِ وَبُطُونِ الْأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Maksudnya: "Ya Allah turunkanlah di puncak-puncak gunung, perbukitan, jurang-jurang yang dalam dan tempat-tempat tumbuhnya pepohonan." (HR. Bukhari)
Doa 5
وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ وَقُضِيَ الْأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ ۖ وَقِيلَ بُعْدًا لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Dan diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang yang zalim”. (Surah Hud: 44)
Doa 6
يَا حَىُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ
Maksudnya: ”Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri dan tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat-Mu aku minta pertolongan).” (HR Tirmidzi)
Doa 7
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
Maksudnya: “Tiada sembahan yang hak selain Allah Yang Maha Agung dan Maha Penyantun. Tiada Tuhan selain Allah, Tuhan Penguasa arasy yang agung. Tiada sembahan yang hak selain Allah, Tuhan langit dan bumi serta Tuhan arasy yang mulia.” (HR Muslim, hadis sahih)
Berikut yang telah dikongsikan tadi adalah doa-doa yang boleh dipanjatkan kepada Allah swt untuk memohon agar banjir surut dan mengelakkan musibah banjir. Mohonlah doa selepas setiap kali solat, dan waktu-waktu mustajab berdoa. Sesungguhnya Allah swt pernah berfirman:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ
Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu (Surah Ghafir; 60).
Sumber: JAKIM, Mufti WP, Ustazah Asma' Harun
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk para pembaca kasturihijau.com sekalian.