Kita telah sampai ke penghujung akhir zaman yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw pada 1400 tahun dahulu iaitu di akhir zaman nanti akan berlaku pembunuhan yang dahsyat. Sabda Nabi Muhammad SAW: “Menjelang kiamat nanti, hari banyak dipenuhi dengan al-Harj. Saat itu ilmu menjadi hilang dan kejahilan tersebar di mana-mana. Abu Musa berkata: ‘al-Harj bermaksud pembunuhan menurut dialek orang Habsyi." (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Jadi, apakah perisai kita untuk menghadapi tanda-tanda kiamat ini? Doa adalah satu senjata orang Islam paling kuat dan tajam. Berdoalah seikhlas hati mengharapkan belas kasihan daripada Allah swt, Maha Pencipta kita yang yang memiliki seluruh bumi dan alam semesta ini di dalam genggamanNya. Dikongsikan di sini senarai doa memohon perlindungan diri daripada kezaliman dan kerosakan akibat tangan-tangan manusia yang zalim.
Apakah itu Doa Pelindung Diri?
Perkataan doa adalah berasal daripada bahasa Arab (دعا) yang bermaksud seru dan panggil. Doa adalah lafaz yang disebutkan oleh seorang hamba untuk memohon bantuan dan rintihan kepada Tuhan. Doa juga adalah satu wasilah untuk menzahirkan kebergantungan seorang hamba dan penyerahan jiwa sepenuhnya kepada Allah swt. Apabila seseorang itu berdoa maka dia menyerahkan segala kebergantungannya kepada Maha Pencintanya.
Doa pelindung diri pula bermaksud doa-doa yang diucapkan bagi memohon perlindungan daripada segala bahaya, fitnah, gangguan dan kejahatan makhluk (manusia, haiwan, jin, dan lain-lain) yang boleh memberi ancaman kepada diri seseorang semasa di dunia sama ada ancaman bunuh, keselamatan, penculikan, dan segala kejahatan dan keganasan secara zahir dan batin serta perlindungan di akhirat daripada seksa api neraka dan fitnah dajjal.
Allah SWT menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. (Surah Ghafir; 60)
Daripada Abi Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW pernah bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا
Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahmi, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menjauhkan darinya kejelekan.” [Riwayat Ahmad (11133)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah baik]
Koleksi Doa Pelindung Diri dan Elak Musibah Besar
Doa Pelindung Diri 1
Doa ini adalah daripada Surah Al-Baqarah ayat 255 (1x), Surah Al-Ikhlas (3x), Surah Al-Falaq (3x) dan Surah An-Nas (3x). Amalkan setiap hari sebelum keluar rumah, dan sebelum pergi bekerja serta setiap kali selepas solat fardhu subuh, asar dan sebelum tidur.
Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)”.
Doa Pelindung Diri 2
Doa ini sesuai untuk dibaca selepas menunaikan setiap solat fardu lima waktu. Doa ini dibaca memohon agar dijauhkan daripada bala bencana.
Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada ujian yang berat, ditimpa kecelakaan, buruknya takdir dan kegembiraan para musuh (atas ujian dan kecelakaan yang menimpaku). Ya Allah, aku juga berlindung kepada-Mu daripada hilangnya nikmat yang Engkau berikan, berubahnya kesihatan yang Engkau kurniakan, daripada bala bencana yang datang secara tiba-tiba serta daripada segala perkara yang Engkau murkai. Tiada tuhan melainkan Engkau dan sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang yang zalim.
Doa Pelindung Diri 3
Doa ini sesuai untuk dibaca selepas menunaikan setiap solat fardu lima waktu. Amalkan doa ini setiap hari agar dijauhkan daripada bala bencana.
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang mana dengan nama-Nya sesuatu yang berada di bumi dan di langit tidak boleh mendatangkan mudarat. Dia Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Doa Pelindung Diri 4
Doa ini sesuai untuk dibaca selepas menunaikan setiap solat fardu lima waktu. Amalkan doa ini setiap hari agar dijauhkan daripada kejahatan manusia yang berhati kejam dan godaan syaitan.
MaksudNya: “Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna dari murka-Nya, kejahatan para hamba-Nya, dan godaan setan. Aku pun berlindung kepada-Nya dari kepungan setan itu.”
Doa Pelindung Diri 5
Doa ini dibaca untuk memohon kepada Allah agar dikurniakan bantuan dari-Nya demi menghadapi bencana dan kesusahan. Amalkan setiap kali selepas solat fardhu.
Maksudnya: “Ya Allah, dengan rahmat-Mu aku berharap. Janganlah Engkau biarkan urusanku pada diriku sendiri walau sekadar sekelip mata dan perbaikilah seluruh urusanku. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.”
Doa Pelindung Diri 6
Doa ini sesuai untuk dibaca selepas menunaikan setiap solat fardu lima waktu. Amalkan doa ini setiap hari untuk mengelak bencana.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada musibah keruntuhan bangunan (ke atas diriku). Aku berlindung dengan-Mu daripada bencana jatuh dari tempat yang tinggi. Aku berlindung dengan-Mu daripada bencana banjir lemas, kebakaran dan keburukan pada usia terlalu tua. Aku berlindung dengan-Mu daripada tipu daya dan gangguan syaitan ketika kematianku. Aku berlindung dengan-Mu daripada kematian ketika melarikan diri dari jalan-Mu (jihad). Aku berlindung dengan-Mu daripada kematian disebabkan sengatan haiwan berbisa.”
Doa Perlindung Diri 7
Doa ini sesuai untuk dibaca selepas menunaikan setiap solat fardu lima waktu. Amalkan doa ini setiap hari agar dapat berlindung daripada takdir yang buruk.
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari susahnya bala (bencana), hinanya kesengsaraan, keburukan qadha’ (takdir), dan kegembiraan para musuh. (HR Bukhari dan Muslim).
Doa Pelindung Diri 8
Doa ini sesuai untuk dibaca selepas menunaikan setiap solat fardu lima waktu. Amalkan dia ini setiap hari agar dijauhkan daripada melakukan maksiat.
MaksudNya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan pendengaranku, kejahatan pandanganku, kejahatan kata-kataku, kejahatan hatiku dan kejahatan kemaluanku.”
Doa Pelindung Diri 9
Doa ini sesuai untuk dibaca selepas menunaikan setiap solat fardu lima waktu. Amalkan dia ini setiap hari agar dijauhkan daripada kejahatan manusia.
Maksudnya: “Ya Allah, segala puji bagi-Mu atas segalanya, ya Allah, tiada yang menahan apa yang Engkau lepaskan, dan tiada yang boleh mendekatkan orang yang Engkau jauhkan, dan yang boleh menjauhkan orang yang Engkau dekatkan, dan tiada yang boleh memberi orang yang telah Engkau halang dan tiada yang boleh menghalang orang yang Engkau berikan.”
Doa Pelindung Diri 10
Doa ini sesuai untuk dibaca selepas menunaikan setiap solat fardu lima waktu. Amalkan dia ini setiap hari agar diberkati hidup dan nikmat berterusan.
Maksudnya: “Ya Allah, mudahkanlah ke atas kami daripada keberkatan-Mu, rahmat-Mu, kelebihan-Mu dan rezeki-Mu. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu nikmat yang berkekalan yang tidak hilang dan berterusan.”
Mengapa Kita Perlu Berdoa kepada Yang Maha Agung?
Pengajaran daripada berdoa adalah antaranya:
1. Doa Boleh Mengubah Takdir
Kekuatan dan ketajaman sesuatu doa adalah sangat luar biasa kerana doa dikatakan boleh mengubah takdir.
Dijelaskan dari Tsauban RA, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Tidak ada yang dapat mencegah takdir, kecuali doa. Tidak ada yang dapat menambah umur, kecuali kebaikan. Dan seseorang benar-benar akan dihalangi dari rezeki, disebabkan oleh dosa yang diperbuatnya.” (HR. Al-Hakim).
2. Doa Merupakan Satu Ibadah
Doa adalah satu bentuk yang mana jika anda melakukannnya anda akan mendapat pahala, seperti ibadah lain iaitu solat, puasa, zakat dan lain-lain.
Rasulullah saw bersabda, “Do’a adalah ibadah.” (HR. Abu Daud, At Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad).
3. Diberikan Kekuatan Menghadapi Musuh
Doa boleh memberi kekuatan kepada hati anda untuk menempuhi musuh dan sesiapa yang ingin menzalimi anda. Teruskan berdoa memohon pertolongan Allah swt.
4. Doa Akan Dimakbulkan Allah swt
Doa-doa yang dipohon kepada Allah swt tidak akan pernah ditolak. Doa yang kita panjatkan sama ada akan dimakbulkan terus, disimpan di akhirat kelak atau doa tersebut menghindarkan kita daripada kehinaan. Berdasarkan dari Abu Sa’id: “Tidaklah seorang muslim memanjatkan doa pada Allah selama tidak mengandung dosa dan memutuskan silaturahim melainkan Allah akan beri padanya tiga hal: Allah akan segera mengabulkan doanya, Allah akan menyimpannya baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menghindarkan darinya kehinaan.”
5. Memperoleh Rahmat dari Allah swt
Berdoalah kalian kerana ia akan mendatangkan rahmat (kasih sayang) dari Allah Ta’ala. Seseorang yang selalu berdoa maka kehidupannya akan terasa lebih mudah. Sebagaimana dijelaskan dalam Al-Quran:
“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan Berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah Amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” (QS. Al-A’raf : 55-56)
Baca Lagi:
Berikut tadi dikongsikan senarai doa pelindung diri untuk diamalkan seharian. Semoga kita terlindung daripada bala bencana yang tidak diingini di dunia dan di akhirat.
Sumber dan Kredit: Mufti WP dan Ustaz Wadi Annuar