Bulan Rejab, salah satu daripada empat bulan Haram yang dimuliakan dalam Islam, kini semakin hampir menghampiri kita. Sebagai bulan ketujuh dalam kalendar Hijrah, bulan Rejab bukan sahaja dikenali sebagai bulan yang penuh keberkatan, malah menjadi peluang istimewa untuk memperbaiki amalan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalam sejarah Islam, bulan Rejab sering dikaitkan dengan penghormatan dan kemuliaan, di mana umat Islam digalakkan untuk meningkatkan amal ibadah seperti berpuasa, berdoa, dan memperbanyakkan istighfar.
Kedatangan bulan ini juga menjadi tanda awal bagi umat Islam untuk mula mempersiapkan diri secara rohani sebelum memasuki Syaaban dan menyambut bulan Ramadhan yang barakah. Maka, tidak hairanlah bulan Rejab sering dianggap sebagai titik permulaan untuk menyemai amal kebaikan, menyucikan hati, dan menguatkan hubungan dengan Pencipta. Dalam artikel ini, kami kongsikan maklumat berkaitan doa, puasa dan amalan bulan Rejab yang boleh diamalkan dan dimanfaatkan bersama.
Apakah Bulan Rejab?
Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Perkataan jama’ bagi Rejab ialah Arjab (أرجاب), manakala gabungan antara bulan Rejab dan Sya’ban disebut sebagai *Rajaban* (رجبان). (Rujuk: Mukhtar as-Shihah). Rejab juga merupakan bulan ketujuh dalam kalendar Hijrah dan termasuk dalam salah satu daripada bulan Haram. Bulan Haram ini diberkati dan diharamkan sebarang peperangan atau pembunuhan sebagai tanda penghormatan dan keamanan.
إنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati…”[Surah at-Taubah 36]
Daripada Sayidina Abi Bakrah r.a, Nabi SAW bersabda:
الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
“Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (ZulKaedah, ZulHijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.”(HR al-Bukhari)
Puasa Sunat Bulan Rejab
- Tarikh 1 Rejab 1446H bersamaan 2025 Masihi jatuh pada hari Rabu, 1 Januari 2025. Bulan Rejab bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib pada Selasa, 31 Disember 2024.
- Sultan Ulama, Syeikh Izzuddin Ibni Abdissalam dan al-Hafiz Ibnu Solah sepakat bahawa berpuasa pada bulan Rejab adalah amalan yang digalakkan.
Al-Hafiz Ibnu Solah dalam kitab Fatawa menyatakan: “Memang tiada hadis khusus yang menetapkan kelebihan puasa Rejab. Namun, perkara ini tidak boleh dijadikan alasan untuk meninggalkan puasa tersebut, kerana terdapat banyak hadis lain yang menggalakkan puasa secara umum. Hadis Abu Dawud dan hadis-hadis lain yang menggalakkan puasa pada bulan-bulan haram sudah mencukupi untuk mendorong amalan ini.”
Syeikh Izzuddin Ibni Abdissalam turut menegaskan: “Golongan ahli hadis yang melarang puasa pada bulan Rejab sebenarnya adalah jahil. Tidak halal untuk mentaqlid (mengikut) pandangan mereka.”
Abu Bakar al-Warraq rahimahullah pula berkata: “Bulan Rejab adalah bulan untuk bercucuk tanam, bulan Syaaban adalah bulan untuk menyiram tanaman, dan bulan Ramadhan adalah bulan untuk menuai hasilnya.” (Rujuk: Lathaif al-Ma’arif).
Berikut adalah puasa sunat yang boleh diamalkan semasa bulan Rejab:
- Puasa sunat 1 Rejab
- Puasa Isnin dan Khamis dalam bulan Rejab
- Puasa Hari Putih iaitu 13, 14 dan 15 Rejab
- Puasa sunat 1 bulan di bulan Rejab
Sumber Kalendar: Bahagian Dakwah, Jakim
Doa Bulan Rejab
Berikut adalah doa pada malam bulan Rejab yang sunat diamalkan:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
Maksudnya: "Ya Allah, berkahilah umur kami di bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah (umur) kami ke bulan Ramadan." (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Amalan Sunat Di Bulan Rejab
Al-Habib Umar bin Hafidz memberikan panduan amalan untuk mendapatkan keutamaan bulan Rejab
- Menghidupkan malam pertama di bulan rejab dengan melakukan amal soleh (Qiamullail, Membaca Quran, Istighfar)
- Memperbanyak istighfar di dalamnya setiap hari sekurang-kurangnya 70× selepas Subuh dan Isyak
- Memperbanyak doa:
أللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَان
Maksudnya: Ya Allah, berkahilah umur kami di bulan Rajab dan Syaban, serta sampaikanlah (umur) kami hingga ke bulan Ramadhan.
- Bersungguh-sungguh dalam bertaubat kepada Allah S.W.T
- Bertanya khabar keluarga, saudara-mara, jiran dan sahabat
- Bersedekah setiap hari walau sedikit tetapi istiqomah
- Berpuasa sekurang-kurangnya tiga hari di awal di tengah dan di akhirnya Rejab
- Dianjurkan menyembelih kambing bagi sesiapa yang mampu dan megagihkan dagingnya
- Bulan Rejab bulan Istighfar dan di sini kita menanam benih, pada bulan Sya'ban kita akan membaja, dan bulan Ramadhan kita menuai hasilnya.
Bulan Rejab adalah peluang istimewa yang dianugerahkan Allah SWT untuk kita memperbaiki diri, meningkatkan amalan soleh, dan mendekatkan diri kepada-Nya. Sebagai salah satu daripada bulan Haram yang dimuliakan, Rejab memberi ruang untuk kita memperbanyakkan ibadah seperti berpuasa, berdoa, berzikir, dan memohon keampunan. Ia juga menjadi persediaan rohani yang penting menjelang Syaaban dan Ramadhan, dua bulan yang turut dipenuhi rahmat dan keberkatan.
Justeru, marilah kita bersama-sama menghayati keistimewaan bulan ini dengan mengisi setiap saatnya dengan amalan kebaikan. Jangan biarkan bulan Rejab berlalu tanpa meninggalkan jejak amal yang bermanfaat untuk diri kita di dunia dan akhirat. Semoga Allah SWT menerima segala usaha dan amal ibadah kita serta mengizinkan kita untuk bertemu dengan Ramadhan yang penuh keberkatan. Amin.