Return to site

5 Tabiat Hidup yang Tidak Sihat Mengundang Masalah Mental

kasturihijau.com

· KESIHATAN
tabiat hidup menyebabkan masalah mental

Tahukah anda bahawa penyakit mental adalah isu yang kompleks yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor, baik dalaman mahupun luaran. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan bahawa statistik remaja berusia lebih 15 tahun ke atas yang mengalami kemurungan di negara ini adalah seramai sejuta (4.6 peratus) daripada penduduk Malaysia. Keadaan ini adalah membimbangkan dalam kalangan awal remaja dengan kes bunuh diri menjadi penyebab kematian keempat tertinggi di dunia. Wanita lebih ramai mengalami masalah mental namun lelaki cenderung untuk menjadi ganas, mengambil dadah, dan membunuh diri. Dalam memahami elemen-elemen yang menyumbang kepada kesihatan mental, faktor genetik hingga tekanan persekitaran, punca-punca penyakit mental adalah pelbagai dan rumit. Dalam artikel ini, kami akan berkongsi maklumat mengenai punca masalah mental daripada satu sudut iaitu tabiat gaya hidup.

broken image

 

 

Jenis-jenis Masalah Mental

Penyakit atau masalah mental merangkumi pelbagai masalah daripada segi cara berfikir dan tingkahlaku pesakit iaitu:

  1. Gangguan Depresi
  2. Gangguan Bipolar
  3. Gangguan Kebimbangan Umum (General Anxiety Disorder)
  4. Gangguan Panik (Panic attack)
  5. Gangguan Kebimbangan Sosial (Social Anxiety Disorder)
  6. Skizofrenia
  7. Anoreksia Nervosa
  8. Bulimia Nervosa
  9. Gangguan Pemakanan Berlebihan
  10. Gangguan Personaliti Antisosial (Antisocial Personality Disorder)
  11. Gangguan Personaliti Sempadan (Borderline Personality Disorder)
  12. Gangguan Tekanan Pasca Trauma (Gangguan Tekanan Pasca Trauma)
  13. Gangguan ketagihan (Addiction Disorder)
broken image

 

Tabiat Buruk Mengundang Masalah Mental

Tabiat gaya hidup sangat mempengaruhi risiko untuk menghidap penyakit mental. Penyelidikan daripada institut penyelidikan terkemuka dalam artikel yang berimpak tinggi menekankan beberapa faktor gaya hidup utama yang boleh mendedahkan individu kepada masalah kesihatan mental.

1. Suka Makan Makanan Proses, Tinggi Gula dan Lemak

Kajian sains mendapati bahawa diet yang tidak sihat, terutamanya yang tinggi dalam makanan yang diproses dan rendah dalam buah-buahan dan sayur-sayuran, pengambilan gula dan lemak yang tinggi, sangat berkait rapat dengan peningkatan risiko gangguan mental seperti kemurungan dan kebimbangan. Kajian menunjukkan bahawa tabiat pemakanan yang tidak sihat memberi kesan negatif kepada fungsi otak dan mood, yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental. Sebagai contoh, diet yang tidak sihat adalah seperti berikut:

  • Gula dan karbohidrat diproses contohnya, roti putih, pastri, pasta, biskut, makanan gluten tinggi mempunyai kaitan kuat dengan peningkatan risiko kemurungan, kebimbangan, dan gangguan mental lain. Makanan ini menyebabkan lonjakan 'spike' dan penurunan gula darah, meningkatkan keradangan, dan menyebabkan fungsi sel otak yang tidak menentu dan dikaitkan dengan tingkah laku agresif.
  • Ikan yang mengandungi merkuri yang mengandungi neurotoksin yang diketahui, daripada ikan pemangsa seperti ikan tenggiri besar yang mempunyai merkuri (king mackerel) dikaitkan boleh merosakkan otak dan saraf.
  • Pemanis tiruan seperti aspartame, sakarin, dan sukralosa dikaitkan dengan paras insulin yang tinggi secara kronik, meningkatkan risiko kemurungan, Alzheimer, penyakit jantung, dan gangguan metabolik serta mengganggu koloni bakteria usus, yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental.
  • Pengambilan lemak trans dalam jumlah yang banyak, yang terdapat dalam makanan bergoreng dan produk bakeri, dikaitkan dengan peningkatan risiko kemurungan dan boleh menyumbat arteri.
  • Pengambilan kafein yang terlalu banyak sehingga mengganggu kualiti tidur boleh menyumbang kepada kemurungan.
  • Diet yang tinggi alkohol

Secara ringkas, diet yang tinggi gula, karbohidrat terproses, merkuri, pemanis tiruan, alkohol dan lemak trans serta rendah omega-3, selenium, vitamin D, dan antioksidan boleh mengundang masalah kesihatan mental secara signifikan.

 

 

2. Tidak Aktif dan Tidak Bersukan

  • Seseorang yang tidak aktif, tidak suka bersukan, suka duduk di rumah atau gaya hidup yang sangat sedentari boleh menyebabkan peningkatan tekanan, kebimbangan, dan gejala kemurungan. Penyelidikan menunjukkan bahawa individu dengan penyakit mental yang teruk adalah kurang aktif, dan kurang beraktiviti berbanding orang lain.

3. Kualiti Tidur Terganggu

  • Gangguan masa tidur dan tidur yang tidak berkualiti sering terjadi kepada seseorang yang mengalami masalah kesihatan mental. Jika tidur anda tidak mencukupi, fungsi kognitif dan pengawalan emosi akan terganggu dan lalu menyebabkan kerentanan yang lebih tinggi terhadap tekanan dan kebimbangan.
  • Apabila seseorang mendapat kualiti tidur yang baik, maklumat emosi dalam otak dapat diproses dengan baik. Tidur yang tidak mencukupi mengurangkan keupayaan otak untuk menilai dan mengingati pengalaman emosi yang positif, yang boleh membawa kepada gangguan perasaan seperti kemurungan dan kebimbangan.
  • Keadaan seperti apnea tidur obstruktif (OSA), yang mengganggu tidur, lebih kerap berlaku di kalangan individu dengan gangguan psikiatri.
  • Kualiti tidur individu yang mempunyai kronotip pagi (morning chronotype) atau seseorang yang senang bangun pagi dan lebih produktif pada waktu pagi lebih baik daripada individu kronotip petang iaitu individu yang bangun lambat, dan lebih produktif sebelah petang dan tidur lewat malam.

4. Penggunaan Bahan Terlarang

Tahap penggunaan alkohol dan penyalahgunaan 'ubat' secara konsisten dikaitkan dengan peningkatan masalah kesihatan mental. Bahan-bahan ini boleh memburukkan masalah kesihatan mental yang sedia ada dan menyumbang kepada permulaan gangguan baru, termasuk kemurungan dan kebimbangan.

 

5. Cara Pengurusan Tekanan yang Tidak Betul

  • Individu yang tidak mengamalkan teknik pengurusan tekanan yang sihat mungkin lebih mudah terdedah kepada gangguan kebimbangan dan kemurungan.
  • Tekanan kronik menyebabkan peningkatan tahap kortisol, hormon ini jika sentiasa tinggi boleh melemahkan sistem imun dan menyumbang kepada masalah kesihatan mental. Teknik pengurusan tekanan yang berkesan seperti teknik pernafasan, aktiviti riadah, rekreasi dan bersukan dapat membantu menurunkan tahap kortisol, dengan itu mengurangkan keterukan gejala kesihatan mental.
  • Teknik pengurusan tekanan, seperti senaman yang kerap dan diet yang sihat, bukan sahaja meningkatkan kesihatan fizikal tetapi juga meningkatkan kesejahteraan mental.
  • Senaman menghasilkan endorfin, yang merupakan pengangkat mood semula jadi, manakala diet yang seimbang menstabilkan mood dan tahap tenaga.
  • Dapatkan sistem sokongan dengan melibatkan rangkaian sokongan yang penting untuk kesihatan mental. Berkongsi pengalaman dan perasaan dengan rakan, keluarga, atau kumpulan sokongan dapat mengurangkan rasa terasing dan memberikan sokongan emosi.

 

broken image

 

 

Secara kesimpulannya, mengamalkan gaya hidup yang sihat termasuk diet seimbang, aktiviti fizikal yang kerap, tidur yang mencukupi, dan pengurusan tekanan yang berkesan dapat mengurangkan risiko penyakit mental dengan ketara. Sebaliknya, pilihan gaya hidup yang tidak sihat, seperti diet yang buruk, ketidakaktifan, penyalahgunaan bahan, dan tidur yang tidak mencukupi, dikaitkan dengan insiden masalah kesihatan mental yang lebih tinggi. Menangani faktor-faktor gaya hidup ini adalah penting untuk pencegahan dan pengurusan keadaan kesihatan mental.

Rujukan dan Sumber:

  1. MKN & KKM
  2. https://www.amenclinics.com/blog/6-toxic-foods-that-increase-mental-health-problems/
  3. https://bloom.insure/list-of-foods-that-are-good-and-bad-for-mental-health/