Return to site

Monkeypox: Kecemasan Kesihatan Global dan Gejala-gejala Awal Penyakit

kasturihijau.com

· KESIHATAN
Monkeypox: Kecemasan Kesihatan Global dan Gejala-gejala Awal Penyakit

Penyakit yang kini menjadi kecemasan global bermula tahun 2022 adalah Monkeypox. Dengan kehadiran varian baru Clade Ib dikatakan adalah varian virus Mpox paling berbahaya daripada Republik Congo. Varian virus ini telah termutasi daripada Clade I yang mana telahpun membunuh 10% daripada total individu yang dijangkiti. Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan maklumat penting tentang penyakit yang sedang menjadi hot topic waktu ini.

broken image

 

Pengenalan Monkeypox

  • Monkeypox (Mpox) atau dikenali dengan cacar monyet adalah berasal daripada suatu virus Monkeypox daripada genus Orthopoxvirus dalam keluarga Poxviridae. Mpox mempunyai dua jenis virus iaitu Clade I dan Clade II. Clade I adalah lebih berbahaya daripada Clade II. Baru-baru ini di Republik Congo saintis telah menemui varian baru iaitu Clade Ib Mpox. 
  • Cacar monyet asalnya jarang menjangkiti manusia, bagaimanapun jangkitan penyakit zoonotik ini meningkat di kalangan manusia adalah disebabkan sentuhan bersemuka dengan ruam, kudis atau cecair badan individu yang dijangkiti dan melalui sentuhan langsung dengan permukaan atau kain yang tercemar dengan virus.
  • Kini penyakit ini telah menjadi perhatian global setelah peningkatan kes yang mendadak di luar kawasan endemik. Baru-baru ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global untuk kedua kalinya dalam tempoh dua tahun. WHO menekankan kebimbangan global yang berterusan terhadap penyakit itu.
  • Demi menyekat penyebaran virus monkeypox ini, WHO sedang giat membuat usaha untuk mengembangkan dan menyebarkan vaksin serta rawatan untuk monkeypox.

Cara Jangkitan Virus Monkeypox

Virus cacar monyet adalah sangat mudah menjangkit dan mampu disebarkan melalui:

  • Sentuhan langsung dengan ruam, kudis atau cecair badan orang yang dijangkiti.
  • Sentuhan secara langsung termasuk sentuhan bersemuka yang berpanjangan, memeluk, mencium, berpegangan tangan dan hubungan seksual.
  • Sentuhan dengan objek, fabrik dan permukaan yang tercemar dengan virus.

 

broken image

 

 

Statistik Monkeypox Dunia dan Malaysia

  • Sejak pengisytiharan kecemasan global, kes monkeypox telah dilaporkan di lebih daripada 116 negara yang sebelum ini tidak pernah mencatatkan kes tersebut. Data menunjukkan lebih daripada 99,176 kes telah dilaporkan di seluruh dunia yang melibatkan lebih 208 kematian dalam tempoh 2 tahun dari 2022 hingga 2024. Penyebaran Mpox ini paling ketara di Afrika, Amerika Utara, Eropah, dan Asia.
  • Di Malaysia, jumlah keseluruhan mpox yang disahkan setakat ini ialah 9 kes dan semua kes mempunyai sejarah menjalankan aktiviti berisiko dan kini sudah pun sembuh serta tiada kematian.
  • Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk membendung penularan.
  • Di negara jiran Indonesia pula, dilaporkan 88 kes Mpox yang telah dilaporkan dari 2022 hingga 2024.

Gejala-gejala Monkeypox

Berikut adalah gejala cacar monyet pada manusia. Penyakit Mpox ini akan bermula dengan simptom berikut:

  1. Demam
  2. Keletihan
  3. Sakit kepala
  4. Sakit otot
  5. Sakit belakang
  6. Sakit sendi
  7. Nodus limfa bengkak
  8. Ruam berlaku selepas 1 hingga 5 hari bermula pada muka sebelum merebak ke bahagian lain. Ruamnya adalah menyakitkan dan gatal.
  9. Simptom akan reda dalam masa 2 hingga 4 minggu.

 

 

broken image

Sumber: CDC

Langkah-langkah Elak Monkeypox

Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk menghindar diri dari jangkitan cacar monyet adalah seperti berikut terutama jika anda merancang untuk melancong ke luar negara:

  1. Amalkan kebersihan tangan yang baik pada setiap masa dengan sabun dan air atau gunakan hand sanitizer.
  2. Jauhkan diri atau elakkan menyentuh pakaian atau peralatan yang telah tercemar dengan virus
  3. Virus ini boleh menjangkiti melalui hubungan kelamin, bincangkan kesihatan seksual anda dengan pasangan.
  4. Elakkan bersentuhan dengan haiwan liar atau haiwan sedang sakit.

Monkeypox kini menjadi kecemasan kesihatan global, jadi semua pihak perlu mengambil prihatin tentang penyakit ini. Walaupun Malaysia masih berada dalam fasa awal penularan, langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan dan masyarakat dapat membantu dalam mengawal wabak ini daripada menjadi lebih buruk. Adalah penting untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi garis panduan kesihatan yang diberikan oleh pihak berkuasa.

Sumber Rujukan: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), CDC