Pada 17 Jun 2024, umat Islam di Malaysia akan melakukan solat sunat hari raya Aidiladha di masjid-masjid seluruh negara. Kita telahpun selesai menjalankan puasa sunat bulan Zulhijjah dan doa Arafah, kini kita akan meraikan hari raya Haji atau Qurban berdasarkan syariat Islam. Bersyukur kita ke hadrat Ilahi atas belas kasihanNya kita semua akan menyambut hari raya Aidiladha. Bagi yang ingin kepastian cara menjalankan solat sunat Aidiladha, anda boleh teliti maklumat dalam artikel ini.
Solat Sunat Hari Raya Aidiladha
Solat sunat Hari Raya Aidiladha atau juga difahami sebagai solat sunat Raya Haji. Solat sunat ini hendaklah dilaksanakan secara berjemaah dan khutbah dibaca oleh khatib selepas solat. Solat ini dijalankan pada hari raya pertama Aidiladha.
Hukum Solat Sunat Hari Raya
Solat sunat hari raya haji (Aidiladha) hukumnya adalah sunat Muakkad (sangat digalakkan). Segala rukun, syarat serta sunatnya adalah sama seperti solat biasa kecuali solat ini mempunyai 7 kali takbir dan tasbih pada rakaat pertama, dan 5 kali takbir pada rakaat kedua.
- Berdasarkan hadis Nabi yang telah diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ فَيَعِظُهُمْ، وَيُوصِيهِمْ، وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ
Maksudnya: “Kebiasaannya Rasulullah SAW pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha keluar menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang Baginda mulakan ialah solat (sunat hari raya), kemudian Baginda berpaling dan berdiri menghadap orang ramai yang sedang duduk di saf-saf mereka lalu Baginda memberikan peringatan, wasiat dan perintah kepada mereka. Sekiranya Baginda ingin mengutuskan pasukan, maka Baginda akan mengutusnya, atau Baginda ingin memerintahkan sesuatu, maka Baginda akan memerintahkannya.”
- Diriwayatkan oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili bahawa menunaikan solat hari raya secara berjemaah itu lebih afdal:
وتشرع صلاة العيد جماعة كما فعلها رسول الله صلى الله عليه وسلم، على كل رجل مكلف بصلاة الجماعة، وتشرع للمنفرد ندبًا، والجماعة أفضل
Maksudnya: “Dan disyariatkan juga solat hari raya (agar dilaksanakan) secara berjemaah sebagaimana yang Rasulullah SAW lakukan, ke atas setiap lelaki yang dituntut untuk mengerjakan solat berjemaah, dan juga disyariatkan ke atas orang yang solat secara bersendirian dengan hukum sunat, namun mengerjakan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih afdhal.”
Waktu Solat Sunat Hari Raya Aidiladha
- Sembahyang sunat Aidiladha dikerjakan pada 10 Zulhijjah.
- Waktu mengerjakannya ialah antara ketika mula terbit matahari sekadar segalah hingga tergelincirnya matahari.
- Solat Aidiladha sunat disegerakan bagi memberi keluasan waktu untuk ibadah korban.
Niat Solat Sunat Hari Raya Aidiladha
Berikut adalah lafaz niat solat sunat Aidiladha (untuk makmum).
اُصَلِّىْ سُنَّةً عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.
Lafaz Tasbih Solat Hari Raya
Berikut adalah tasbih hari raya Aidiladha.
سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلآ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ
Maksudnya: Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah dan Allah Maha Besar.
Tatacara Solat Sunat Hari Raya
Cara Menunaikan Solat Sunat Aidiladha adalah seperti berikut.
Rakaat Pertama
- Mulakan dengan lafaz takbiratul ihram, dengan menyebut Allahu Akbar disertakan dengan niat solat aidiladha di dalam hati.
- Membaca doa iftitah.
- Lafaz takbir tujuh kali diselangselikan dengan bacaan tasbih.
- Membaca surah Al-Fatihah.
- Membaca surah Al-Quran (disunatkan membaca surah Al-A’laa).
- Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama.
Rakaat Kedua
- Mulakan dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua).
- Lafaz takbir lima kali diselangselikan dengan bacaan tasbih.
- Membaca surah Al-Fatihah.
- Membaca surah Al-Quran (disunatkan dalam rakaat kedua membaca surah Al-Ghaasyiyah).
- Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua.
- Memberi salam.
Khutbah Solat Hari Raya Aidiladha
- Khutbah hukumnya adalah sunat. Penyampaian khutbah dan juga mendengarnya termasuk dalam perkara sunat, dan ia bukanlah syarat kepada sahnya solat hari raya. Meskipun begitu, meninggalkan khutbah atau tidak mendengarnya hukumnya adalah makruh.
- Khutbah Aidiladha sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya.
- Sah solat sunat hari raya sekiranya tidak mendengar khutbah raya.
- Namun sunat di mulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.
Disediakan bersama ini teks khutbah Aidiladha tahun 1445 Hijrah/ 2024 Masihi daripada JAKIM. Sila tekan link untuk buka.
Sama-sama kita meningkatkan amalan kita di dunia ini untuk bekalan di akhirat kelak. Selamat beramal. Semoga bermanfaat.