Return to site

Fiqh Solat Semasa Banjir: Hukum Solat Dalam Air dan Atas Perahu

kasturihijau.com

· AGAMA
Fiqh Solat Semasa Banjir: Hukum Solat Dalam Air dan Atas Perahu

Kini, negara Malaysia memasuki musim tengkujuh yang mana musim ini sering mengakibatkan kejadian banjir, terutamanya apabila berlaku pertembungan hujan berterusan dengan paras air laut yang tinggi. Disebabkan Malaysia merupakan negara yang dikelilingi lautan, sudah tentu kebanyakan negeri dijangka mengalami banjir. Banjir akan merosakkan harta benda dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Namun, mangsa banjir pasti akan mengalami kesukaran untuk menjalankan aktiviti harian, terutamnya menjalankan ibadah solat ketika banjir. Apakah hukum solat di dalam air ketika musim banjir? Dalam artikel ini, kami akan kongsikan berkaitan hukum solat menggunakan pakaian berlumpur, hukum solat di atas perahu, hukum solat di dalam air, dan hukum solat jamak dan qasar di musim banjir.

Hukum Solat Dalam Musim Banjir

  • Hukum solat adalah wajib walaupun dalam musim banjir. Kewajipan solat fardu tidak gugur walaupun seseorang itu berada dalam situasi banjir dan bencana alam.
  • Namun dalam situasi banjir, Islam memberikan keringanan dan kelonggaran kepada umat Islam tanpa mengabaikan kewajipan asas dalam menunaikan solat.
  • Berkenaan pelaksanaan solat ketika banjir ini, umat Islam tetap perlu menunaikannya mengikut keadaan dan kadar kemampuan individu masing-masing.
  • Berdasarkan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.” (Surah al-Taghabun: 16)

  • Begitu juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain RA katanya: aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.” (Riwayat al-Bukhari)

 

broken image

 

Hukum Solat dengan Berpakaian Berlumpur

  • Berdasarkan dalil dan hadis Rasulullah saw, hukum seseorang yang mendirikan solat dengan pakaiannya yang berlumpur dan basah disebabkan oleh air banjir adalah sah selagi mana pakaian tersebut tidak terkena najis. Kenyataan ini adalah berdasarkan dalil berikut;

Rasulullah SAW bersabda:

 

وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًاً فَإيما رجل مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةَ فَلْيُصَلِّ

Maksudnya: “Dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, di mana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.” Riwayat al-Bukhari (438)

 

  • Air banjir adalah masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).
  • Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT.
  • Air banjir kebiasaannya adalah limpahan air daripada air sungai, air laut, air hujan atau seumpamanya, yang termasuk dalam kategori air yang boleh digunakan untuk bersuci sebagaimana telah disebutkan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).
  • Selagi tidak jelas kenajisannya, air banjir adalah suci. Ini berdasarkan dalil;

 

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).

  • Maka, jika seseorang solat dengan berpakaian lumpur atau basah tanpa membersihkannya, maka solat tersebut adalah sah.

Maka, kami katakan kepada kamu: “Sesungguhnya hukum asal bagi air adalah suci bersih dan atas sebab itulah, kamu tidak diwajibkan untuk membersihkan pakaian kamu daripadanya.” (Lihat Syarh Manzumah al-Qawaid al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/3).

Sumber: Maktabah Al Bakri

broken image

 

Hukum Solat Di atas Sampan atau Perahu

  • Hukum solat di atas perahu atau sampan adalah sah dengan syarat menghadap kiblat dan dalam keadaan berdiri sekadar mampu.
  • Mengambil wuduk ketika di atas perahu dengan menggunakan air banjir adalah dibolehkan.
  • Air banjir adalah air mutlak merupakan air yang boleh digunakan untuk bersuci serta dapat menghilangkan hadas kecil bagi menyempurnakan solat.
  • Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan: “air yang suci dan menyucikan ialah air hujan, air laut, air sungai air telaga, air mata air dan air salji”. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/37)

Syarat-syarat sah solat di atas perahu adalah mengambil wudu' yang sempurna dan menghadap kiblat. Dengan menunaikan kewajipan seperti menghadap ke arah kiblat seperti mana firman Allah SWT:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Maksudnya: Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, (Surah al-Baqarah, 150).

  • Begitu juga dengan kewajipan untuk berdiri sekiranya tidak terdapat sebarang keuzuran dan halangan. Firman Allah SWT:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّـهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk, (Surah al-Baqarah, 238).

  • Selain itu, hadis yang diriwayat Imran bin Hussain mempunyai penyakit buasir. Lalu Beliau bertanya kepada Baginda SAW berkenaan dengan solat. Sabda Nabi SAW:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah secara berdiri, dan sekiranya tidak mampu maka duduklah, dan sekiranya tidak mampu solat secara berbaring, Riwayat Bukhari (1117)

Sumber: Mufti WP

Hukum Solat Di Dalam Air

  • Hukum solat dalam air banjir adalah sah sekiranya tidak terdapat kawasan daratan untuk menunaikan solat sekiranya tiada perkara yang menghalangnya seperti paras air yang terlalu tinggi dan seumpamanya.
  • Jika terdapat halangan untuk sujud, maka memadai sujud dengan isyarat dan isyarat sujud mestilah lebih rendah daripada isyarat rukuk.
  • Bagaimanapun, faktor-faktor keselamatan di musim banjir perlu diambil kira juga agar sebarang kejadian yang tidak diingini dapat dihindari.
  • Namun, jika tidak terdapat perkara menghalanginya untuk mengerjakan rukun-rukun solat dengan sempurna seperti berada pada paras air yang cetek dan tiada sesuatu yang dikhuatiri membawa bahaya pada diri seseorang jika ia bersujud pada tempat tersebut, maka wajib orang yang solat tersebut menyempurnakan rukun-rukun solatnya.
  • Jika situasi paras air yang mencecah bahagian yang melepasi paras lutut, pinggang dan seumpamanya, maka solat fardu perlu ditunaikan itu mengikut kemampuannya kerana mengambil kira faktor keselamatan dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti arus deras, lemas dalam air, terkena jangkitan kuman dan lain-lain.
  • Solat tersebut perlu dilakukan menghadap kiblat, kerana ia adalah salah satu syarat sah solat.

Berdasarkan kenyataan Imam al-Khatib Syirbini:

وَلَو عجز عَن السُّجُود إِلَّا أَن يسْجد بِمقدم رَأسه أَو صُدْغه وَكَانَ بذلك أقرب إِلَى الأَرْض وَجب ‌فَإِن ‌عجز عَن ذَلِك أَوْمَأ ‌بِرَأْسِهِ وَالسُّجُود أَخفض من الرُّكُوع

Maksudnya: “Jika seseorang tidak mampu untuk sujud kecuali dengan menggunakan bahagian dahi dan pelipisnya supaya dengan itu dia lebih hampir dengan tanah, maka dia wajib sujud sedemikian. Namun, jika dia tidak mampu melakukannya, maka dia boleh memberi isyarat dengan kepalanya dan isyarat untuk sujud hendaklah lebih rendah daripada rukuk”.

  • Adapun situasi seseorang yang tidak mampu menghadap kiblat dan tidak mampu menyempurnakan rukun terutama rukuk dan sujud ketika solat dalam air maka memadai baginya memenuhi rukun solat mengikut kemampuan dan situasi yang sedang dihadapi dan wajib menggantikan solat tersebut pada waktu lain.

Menurut Imam Nawawi ketika beliau menjelaskan perihal solat dalam keadaan lemas dan sakit:

فِي مَسْأَلَةِ الْغَرِيقِ وَالْمَصْلُوبِ وَالْمَرِيضِ وغيرهم مِمَّنْ عَجَزَ عَنْ الْقِبْلَةِ وَإِتْمَامِ الْأَرْكَانِ أَنَّهُ يَجِبُ الصَّلَاةُ فِي الْحَالِ بِحَسَبِ الْإِمْكَانِ وَتَجِبُ الْإِعَادَةُ

Maksudnya: “Dalam permasalah orang yang sedang lemas, disalib, sakit dan perkara yang seumpamanya yang menyukarkan untuk menghadap kiblat serta menyempurnakan rukun-rukun solat, wajib dia solat mengikut keadaan tempat tersebut dan wajib mengulanginya”.

Sumber: Mufti WP

 

Hukum Jamak Qasar Solat Semasa Musim Banjir

  • Merujuk kepada Maktabah Albakri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, tidak dibolehkan untuk melakukan solat jamak dan qasar sekiranya mangsa banjir ditempatkan di dalam penempatan sementara seperti dewan orang ramai dan sekolah.
  • Di tempat pengumpulan itu, mereka boleh melaksanakan solat berjemaah pada setiap solat fardu.
  • Mazhab Syafie juga tidak membolehkan solat jamak dilakukan kerana banjir kecuali darurat tetapi terdapat sebahagian ulama fiqh yang membenarkannya.
  • Solat jamak boleh dilakukan jika rumah sedang dinaiki air hingga tiada tempat untuk solat, semasa sedang menyelamatkan diri dan harta ketika banjir dan saat darurat semasa menunggu untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara.
  • Pendapat Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya, Fatwa Mu’asiroh yang mana beliau mengharuskan jamak dalam keadaan uzur dan darurat sahaja sebagaimana contoh diberikan tadi.
  • Semasa banjir, mangsa atau petugas banjir dibolehkan solat jamak ketika situasi mendesak atau darurat seperti menyelamatkan diri dan juga harta.
  • Mulakan jamak taqdim dahulu sebab risau ada kesukaran semasa jamak takhir, maka digalakkan untuk solat jamak taqdim.

Sumber: Maktabah Albakri

Rujuk video klip pencerahan Ustaz Azhar Idrus berkaitan hukum solat dalam air.

Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada para pembaca kasturihijau.com.