Return to site

4 Aneka Resepi Ikan Siakap Stim yang Menyihatkan

www.kasturihijau.com

· MENU VIRAL
broken image

Adakah anda tercari-cari resepi yang menyihatkan, anda boleh cuba resepi ikan siakap stim dengan aneka cara masakan. Dalam artikel kali ini, kami kongsikan 4 resepi ikan siakap stim dengan cara masakan yang berbeza-beza iaitu:

  • Resepi Ikan Siakap Stim Berkuah
  • Resepi Ikan Siakap Masak Stim Ala Thai
  • Resepi Ikan Siakap Stim Halia
  • Resepi Ikan Siakap Stim Serai Wangi

Keunikan Resepi Ikan Siakap Stim

  • Ikan siakap masak stim terkenal dengan keunikan rasa yang segar dan lembut. Proses stim mengekalkan kelembutan tekstur ikan dan menonjolkan rasa semulajadi ikan tanpa memerlukan banyak perasa. Dengan tambahan bahan seperti halia, bawang putih, dan sos soya, hidangan ini menawarkan gabungan rasa manis, masin, dan pedas yang seimbang.
  • Dari segi kesihatan, ikan siakap masak stim rendah lemak dan kalori, serta kaya dengan protein dan asid lemak omega-3 yang baik untuk jantung. Proses stim juga mengurangkan penggunaan minyak, menjadikannya pilihan yang lebih sihat berbanding kaedah memasak lain seperti menggoreng.

 

 

Resepi Ikan Siakap Stim Berkuah

Bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak resepi ikan siakap stim berkuah adalah:

  • 1 ekor ikan siakap bersaiz kecil (anggaran saiz selebar 3 - 4 jari orang dewasa)
  • 1 inci halia yang dihiris nipis
  • 2 ulas bawang putih yang diketuk
  • 1 pokok kecil daun bawang
  • Sedikit garam dan lada sulah

Bahan-bahan penyediaan kuah kicap:

  • 1 ulas bawang putih yang dicincang halus
  • 1/2 camca besar sos tiram Jalen
  • 2 camca besar kicap lemak manis Jalen
  • Beberapa titis minyak bijan
  • 1/4 camca teh lada sulah
  • 1/2 cawan air

Bahan-bahan yang digunakan untuk hiasan adalah seperti:

  • Sedikit lobak merah yang dipotong halus
  • Sedikit cili merah dan hijau yang dimayang halus
  • Sedikit halia yang dimayang halus
  • 1 pokok daun bawang yang dimayang halus

Cara Penyediaan Resepi Ikan Siakap Stim Berkuah

  1. Ikan siakap disiang dan cuci bersih,
  2. Kemudian, ikan siakap diperap dengan jus limau nipis selama 15 minit,
  3. Selepas itu, cucikan bersih dan lap kering ikan siakap dengan tisu dapur yang bersih.
  4. Selepas itu, kelarkan sedikit ikan tadi.
  5. Kemudian, sediakan bekas tahan panas, dan susun beberapa keping halia pada dasar bekas.
  6. Ikan siakpa digaul dengan sedikit garam dan lada sulah.
  7. Susun ikan siakap tadi dalam bekas beralaskan halia.
  8. Selepas itu,masukkan sedikit hirisan halia, bawang putih dan daun bawang dalam perut ikan.
  9. Kemudian, baki hirisan halia dan bawang putih disusun atas ikan.
  10. Lakukan kukus selama 10 - 12 minit, bergantung pada saiz ikan.
  11. Untuk penyediaan kicap, panaskan 1 camca teh minyak masak, tumis bawang putih cincang sehingga harum, dan masukkan sos tiram, kicap lemak manis dan lada sulah.
  12. Kemudian, kacau rata dan tuangkan air.
  13. Masakkan dengan api kecil sehingga pekat.
  14. Selepas itu, masukkan minyak bijan, kacau dan matikan api.
  15. Setelah tamat kukusan ikan tadi, keluarkan ikan dan buang halia dan bawang putih pada bahagian atas ikan dan buankan lebihan air pada ikan semasa kukus tadi.
  16. Tuang kuah kicap panas-panas yang anda sediakan tadi di atas ikan kukus.
  17. Kemudian taburkan bahan-bahan hiasan tadi.
  18. Sedia untuk dihidangkan.

Credit: Tiffinbiru

broken image

 

 

 

 

Resepi Ikan Siakap Masak Stim Ala Thai

Bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan ikan siakap masak stim ala Thai:

  • 1 ekor ikan siakap yang dibelah depan
  • 2 batang serai diketuk-ketuk
  • 1 biji bawang besar dihiris
  • 4 ulas bawang putih dihiris
  • 8 biji cili padi diketuk
  • 2 inci halia muda dihiris panjang
  • 1 kiub pati ikan bilis
  • 3 biji limau kasturi/nipis dihiris dan juga perahkan jus
  • 5 helai daun limau purut dibuang urat dan dihiris kasar
  • 2-3 biji bawang putih jeruk dibuang kulit
  • 1/2 batang saderi dihiris nipis

Bahan-bahan penyediaan sos:

  • 2 sudu besar sos ikan
  • 1 sudu besar kicap cair
  • 3-4 sudu besar sos tiram
  • Sedikit air

Bahan-bahan lain yang diperlukan:

  • 1 sudu besar tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air
  • Garam
  • Gula dan serbuk perasa
  • Daun ketumbar dan daun bawang yang dihiris
  • 1 biji cili merah dihiris

Cara-cara Penyediaan Resepi Ikan Siakap Masak Stim Ala Thai

  1. Panaskan air dalam pengukus sehingga mendidih dan masukkan kesemua bahan hiris dan bahan sos ke dalam pinggan pengukus.
  2. Letakkan bahan yang dihiris sebahagian di bawah ikan.
  3. Kukus ikan anggaran dalam 5-10 minit atau sehingga ikan masak.
  4. Masukkan pula air bancuhan tepung dan garam serta gula. Rasakan dulu masinnya, sebelum garam ditambah.
  5. Sambung kukus lagi dalam 1 minit.
  6. Selepas itu, tutupkan api dan taburkan cili merah dan daun ketumbar.
  7. Sedia untuk dihidangkan.

Kredit: Azie Kitchen

broken image

 

 

 

Resepi Ikan Siakap Stim Halia

Bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak resepi ikan siakap stim halia adalah:

  • 1 ekor ikan siakap yang dibersih dan dikelar sedikit
  • 2 inci halia yang dihiris halus
  • 3 biji bawang merah yang dihiris halus
  • 2 ulas bawang putih yang dihiris halus
  • 10 biji cili padi yang dipotong atau dititik
  • Daun ketumbar yang dihiris
  • Daun bawang
  • 1/2 batang lobak merah yang dihiris memanjang
  • 2-5 cendawan shitake yang dihiris halus
  • 1 biji air limau nipis
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu kecil gula
  • 4 sudu besar air

Cara penyediaaan resepi ikan siakap stim halia adalah seperti berikut:

  1. Bersihkan ikan dan letakkan ikan di atas pinggan yang bujur.
  2. Masukkan semua bahan lain dalam mangkuk dan gaulkan sehingga rata.
  3. Tuangkan di atas permukaan ikan dan ratakan.
  4. Kukus ikan bersama bahan tadi selama 20-25 minit.
  5. Hiaskan dengan daun bawang dan cili merah.
  6. Siap untuk dihidangkan.

Kredit: Owner Resepi

broken image

 

Resepi Ikan Siakap Stim Serai Wangi

  • 1 ekor ikan siakap yang bersaiz sederhana
  • 1/2 camca teh garam
  • 1 camca teh tepung jagung
  • 1/2 camca teh lada sulah yang dikisar

Bahan-bahan untuk dicampurkan:

  • 3 camca besar jus limau kasturi
  • 1 camca besar minyak jagung
  • 1 setengah camca teh gula
  • Setengah camca teh garam
  • 10 biji cili padi yang dihiris halus
  • 2 batang serai yang diambil bahagian putih dan dihiris halus
  • 1 kuntum bunga kantan yang dihiris halus
  • 1 helai daun limau purut yang dihiris halus
  • Setengah inci halia yang dicincang halus
  • 2 ulas bawang putih yang dicincang halus
  • Setengah kiub pati ikan bilis yang hancurkan

Cara Penyediaan Resepi Ikan Siakap Stim Serai Wangi

  1. Mula-mula siang ikan siakap, cuci dan gaul dengan sedikit tepung gandum dan jus limau nipis.
  2. Perap ikan dan campuran tadi selama 15 minit, kemudian cuci bersih dan lap kering dengan tisu dapur.
  3. Sementara itu masukkan semua bahan-bahan untuk dicampurkan ke dalam mangkuk dan dikacau rata sehingga rata dan ketepikan.
  4. Panaskan kukus dan sediakan bekas tahan panas.
  5. Ambil sedikit minyak jagung pada bekas tadi dan sapukan pada bekas.
  6. Ikan siakap perlu dikelar sedikit, kemudian lumurkan dengan garam, serbuk lada sulah dan tepung jagung. Rata-ratakan bahan tadi sehingga bahagian dalam perut ikan.
  7. Letakkan ke dalam bekas tahan panas.
  8. Tuang bahan-bahan yang disatukan atas ikan, dan ratakan termasuk di bahagian dalam perut ikan.
  9. Mula kukus selama 10 minit, atau sehingga isi ikan bertukar putih.
  10. Sedia untuk dihidangkan.

Kredit: Chef Florence Tan

 

 

 

 

broken image

Berikut yang kami kongsikan tadi cara masakan berbeza ikan siakap stim yang menyihatkan. Anda boleh cuba resepi ini untuk dijamu kepada ahli keluarga dan jiran-jiran. Selamat mencuba.