Pendapatan isi rumah (household income) merupakan salah satu penentu utama dalam menilai kesejahteraan ekonomi sesebuah keluarga dan kestabilan sesebuah negara. Di Malaysia, pendapatan isi rumah sering menjadi asas kepada pelbagai dasar kerajaan, termasuk bantuan kewangan, subsidi, dan perancangan pembangunan. Pendapatan isi rumah memainkan peranan penting dalam menentukan tahap keupayaan sesebuah keluarga untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan, dan kesihatan. Dengan mengenal pasti corak dan jurang pendapatan, pihak kerajaan dapat merangka strategi yang lebih berkesan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mengurangkan ketidakseimbangan sosioekonomi dalam kalangan rakyat. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan pengkelasan pendapatan isi rumah yang terdapat di Malaysia, dan cabaran yang dilalui oleh setiap golongan.
Kategori Pendapatan Isi Rumah
Di Malaysia, pendapatan isi rumah dikategorikan kepada tiga kumpulan utama iaitu:
1. B40 – Kategori B40 merujuk kepada isi rumah berpendapatan terendah di negara ini. Secara purata, pendapatan bulanan mereka adalah kurang daripada RM4,850.
2. M40 – Merangkumi isi rumah dengan pendapatan pertengahan, iaitu sekitar RM4,851 hingga RM10,970 sebulan.
3. T20 – Terdiri daripada isi rumah yang berpendapatan tertinggi, dengan purata pendapatan melebihi RM10,971 sebulan.
Apakah Golongan T15?
Golongan T15 adalah golongan yang berpendapatan isi rumah RM13,000 ke atas. Golongan T15 termasuk dalam kategori golongan T20 tetapi mempunyai pendapatan isi rumah lebih tinggi daripada T20.
Kriteria Penentuan Golongan T15
Terdapat beberapa kriteria yang digunakan untuk menentukan golongan ini, berdasarkan aspek pendapatan dan kedudukan sosioekonomi:
1. Pendapatan Bulanan: Golongan T15 merangkumi isi rumah yang berada dalam lingkungan 15% tertinggi dari segi pendapatan bulanan di Malaysia. Biasanya, mereka berpendapatan lebih tinggi daripada purata keseluruhan rakyat. Purata pendapatan bulanan T15 biasanya melebihi RM13,000 atau lebih, bergantung kepada tahun kajian dan perubahan ekonomi semasa.
2. Pemilikan Aset dan Pelaburan: Selain daripada pendapatan, golongan T15 juga cenderung memiliki aset seperti hartanah, pelaburan dalam pasaran saham, dan simpanan yang lebih besar berbanding golongan berpendapatan sederhana atau rendah. Ini memberi mereka kelebihan dalam menambah kekayaan dan kestabilan kewangan dalam jangka panjang.
3. Taraf Pendidikan dan Pekerjaan: Golongan T15 biasanya terdiri daripada individu dengan kelayakan akademik yang lebih tinggi dan menduduki jawatan profesional atau pengurusan di sektor korporat, kerajaan, atau perniagaan swasta. Taraf pendidikan yang lebih tinggi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dan peluang pertumbuhan kerjaya yang lebih besar.
4. Kualiti Hidup: Mereka dalam golongan T15 biasanya mempunyai akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan gaya hidup yang lebih mewah. Kualiti hidup yang dinikmati oleh mereka juga mencerminkan status sosioekonomi yang lebih tinggi berbanding golongan lain.
5. Lokasi Geografi: Isi rumah yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Selangor mungkin lebih cenderung berada dalam golongan T15, kerana kos sara hidup yang tinggi di kawasan ini biasanya juga dikaitkan dengan pendapatan yang lebih tinggi.
Sumber: X.Thevesh
Berdasarkan daripada graf pendapatan isi rumah bagi setiap negeri, pengkelasan jumlah pendapatan isi rumah adalah berbeza-beza mengikut lokasi berbeza. Jika anda lihat pendapatan isi rumah di Wilayah Persekutuan Putrajaya, M40 berpendapatan anggaran RM8,000 ke atas, manakala pendapatan golongan M40 di Kelantan pula agak rendah iaitu anggaran RM3000 ke atas. Selain itu, pendapatan isi rumah bagi T15 di wilayah Persekutuan Putrajaya adalah melebihi RM20,000 sebulan, manakala di negeri Kelantan pula pendapatan T15 adalah anggaran RM7,000. Ini menunjukkan penentuan pendapatan isi rumah adalah berbeza-beza mengikut lokasi dan faktor-faktor tertentu walaupun pengkelasan yang diberikan adalah sama.
Kredit & Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia
BACA LAGI:
Cabaran Sosioekonomi Golongan B40 di Malaysia
- Golongan B40 di Malaysia iaitu golongan isi rumah dengan pendapatan rendah menghadapi pelbagai cabaran sosioekonomi yang memberi kesan kepada kehidupan harian mereka. Salah satu cabaran utama adalah kos sara hidup yang meningkat, terutama di kawasan bandar. Kenaikan harga barang keperluan seperti makanan, perumahan, dan perkhidmatan asas menjadikan golongan ini sukar menampung keperluan harian, terutamanya dengan pendapatan yang terhad.
- Golongan B40 juga berdepan akses yang terhad kepada pendidikan dan peluang pekerjaan berkualiti. Di samping itu, kemudahan kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan lebih pantas juga menjadi cabaran bagi B40, di mana kos rawatan perubatan sering kali melebihi kemampuan kewangan mereka. Akhir sekali, ketidaktentuan ekonomi seperti kehilangan pekerjaan atau kenaikan harga minyak, memberi impak besar kepada B40, kerana mereka tidak mempunyai simpanan atau aset yang mencukupi untuk menghadapi situasi kecemasan.
Impak Golongan T15 kepada Ekonomi Negara
- Golongan T15 memberi kesan ketara kepada ekonomi Malaysia melalui perbelanjaan, pelaburan, dan sumbangan cukai yang besar. Mereka merupakan pemacu utama permintaan barangan mewah, hartanah, dan perkhidmatan premium. Perbelanjaan tinggi mereka dalam sektor ini membantu merangsang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya dalam sektor pelancongan, pendidikan premium, dan perniagaan mewah.
- Selain itu, golongan T15 mempunyai keupayaan besar dalam pelaburan, menyumbang kepada pasaran saham, hartanah, dan perniagaan. Ini membantu memperkukuhkan sektor kewangan negara dan menyokong pembangunan projek infrastruktur dan teknologi. Dari segi cukai, golongan ini menyumbang jumlah besar kepada kutipan cukai pendapatan negara. Dana ini digunakan oleh kerajaan untuk membiayai pelbagai program pembangunan sosial dan ekonomi, seperti kesihatan, pendidikan, dan infrastruktur.
Kredit Foto: Bernama
Bagaimanapun kerajaan kini telah dan sedang melakukan pelbagai usaha dan dasar yang lebih inklusif untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang adil dan mengurangkan jurang pendapatan antara golongan B40 dan T15. Dalam Belanjanwan 2025, kerajaan telah mengumumkan iaitu;
- Subsidi petrol RON 95 bakal dipotong sebanyak RM 8 bilion untuk golongan T15.
- Subsidi pendidikan dikurangkan secara berperingkat bagi golongan T15, penjimatan akan dimanfaatkan bagi menambah baik prasarana SBP dan IPTA.
- Golongan T15 dikenakan kenaikan yuran sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Sains atau Universiti Awam (UA).
Pada masa yang sama juga, golongan B40 turut mendapat pelbagai manfaat seperti:
- Sumbangan Tunai Rahmah (STR)
- Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
- Bantuan Tunai di bawah JKM
- Payung Rahmah
- Program Peluang Kedua (PEKA)
- Rebat Bil Elektrik dan pelbagai lagi bantuan telah diumumkan pada Belanjawan 2025.
Sebagai rakyat Malaysia, kita harus memahami kelas pendapatan dengan betul dan peka dengan bantuan dan manfaat yang diberikan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2025 untuk memastikan kita tidak ketinggalan dan sama-sama dapat memperbaiki ekonomi isi rumah untuk kesejahteraan bersama.