Bulan Rejab, salah satu bulan yang mulia dalam kalendar Islam dan sentiasa menjadi detik yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Dengan kedatangan 1 Rejab 1446 Hijrah, kita disuruh untuk meningkatkan amalan kebaikan dan amal ibadat. Rejab adalah salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan oleh Allah SWT, di mana amalan baik dilipatgandakan ganjarannya. Di samping itu, bulan ini juga membuka tirai kepada persiapan menyambut Ramadhan, bulan penuh rahmat dan keampunan. Ia adalah masa untuk bermuhasabah, memperbanyakkan doa, zikir, dan sedekah, serta memohon keampunan kepada Allah SWT. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan tarikh-tarikh penting dalam bulan Islam dan kelebihan bulan Rejab.
Tarikh-tarikh Penting dalam Kalendar Islam 1446H
Berikut adalah tarikh-tarikh penting dalam kalendar Hijrah untuk 1446H.
- 1 Rejab 1446H: 1 Januari 2025 (Rabu)
- 1 Syaaban 1446H: 31 Januari 2025 (Jumaat)
- 1 Ramadhan 1446H: 2 Mac 2025 (Ahad)
- 1 Syawal 1446H: 31 Mac 2025 (Isnin)
- 1 Zulkaedah 1446H: 29 April 2025 (Selasa)
- 1 Zulhijjah 1446H: 29 Mei 2025 (Khamis)
- 1 Muharram 1447H: 27 Jun 2025 (Jumaat)
- 1 Safar 1447H: 26 Julai 2025 (Sabtu)
- 1 Rabiulawal 1447H: 25 Ogos 2025 (Isnin)
- 1 Rabiulakhir 1447H: 23 September 2025 (Selasa)
- 1 Jamadilawal 1447H: 23 Oktober 2025 (Khamis)
- 1 Jamadilakhir 1447H: 22 November 2025 (Sabtu)
- 1 Rejab 1447H: 22 Disember 2025 (Isnin)
Tarikh-tarikh dan Peristiwa Penting dalam Kalendar Hijrah:
- Israk Mikraj: 27 Rejab 1446H (27 Januari 2025, Isnin)
- Nisfu Syaaban: 15 Syaaban 1446H (14 Februari 2025, Jumaat)
- Permulaan Puasa: 1 Ramadhan 1446H (2 Mac 2025, Ahad)
- Nuzul Al-Quran: 17 Ramadhan 1446H (18 Mac 2025, Selasa)
- Hari Raya Aidilfitri: 1 Syawal 1446H (31 Mac 2025, Isnin)
- Hari Raya Aidiladha: 10 Zulhijjah 1446H (7 Jun 2025, Sabtu)
- Awal Muharram (Tahun Baru Islam): 1 Muharram 1447H (27 Jun 2025, Jumaat)
- Hari Asyura: 10 Muharram 1447H (6 Julai 2025, Ahad)
- Maulidur Rasul: 12 Rabiulawal 1447H (5 September 2025, Jumaat)
Apakah itu Bulan Rejab?
- Bulan Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar Hijriah (Islam). Ia merupakan salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan dalam Islam, sebagaimana disebutkan dalam Al-Quran:
"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram."
(Surah At-Taubah: 36)
- Empat bulan haram yang dimaksudkan ialah Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram, dan Rejab. Dalam bulan-bulan haram ini, Allah SWT melarang umat Islam daripada melakukan perbuatan dosa atau kezaliman, kerana nilai keburukan dosa dan ganjaran kebaikan akan dilipatgandakan.
- Bulan tersebut juga dinamakan bulan haram kerana bulan-bulan ini diharamkan peperangan, iaitu lanjutan daripada pegangan orang-orang arab sebelum Islam. Islam mengakui pegangan tersebut dengan mengharamkan orang-orang Islam memulai peperangan dan diharuskan apabila mereka diancam atau diserang.
Hadis Berkaitan Bulan Rejab
- Kelebihan Rejab disebutkan oleh Ibn Abbas RA yang menjelaskan setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan haram ini, dosanya lebih besar berbanding bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan pada bulan ini adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan yang lain. (Tafsir Ibn Kathir, 4:130)
- Hadis Rasulullah saw: "Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..." (Imam Hibbatullah bin Mubarak).
- Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyifatkan Nabi SAW sendiri pernah menegaskan Rejab itu adalah bulan Allah. Iaitu bulan Ahlullah. Dan dikatakan penduduk (Mukmin) Tanah Haram itu Ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka. (al-Qurtubi, Jami' Ahkam al-Qur'an, hlm 326 juz 6)
- Dari Anas bin Malik RA bahawa apabila tibanya Rejab, Baginda mendoakan: "Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan." (al-Thabrani, Mu'jam al-Ausath, 1415H, Dar al-Haramain: Qaherah, hlm 189 juz 4, no hadis: 3939)
- Dari Uthman bin Hakim al-Ansari beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr RA mengenai puasa Rejab. Said RA menjawab: "Aku mendengar Ibn Abbas RA mengatakan: "Rasulullah SAW berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa." (Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim,t.th, Dar Ihya Thuras al-Arabi : Beirut, hlm 811 juz 2)
- Dari Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: "Di dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi SAW menggalakkan kita untuk berpuasa di bulan haram. Dan Rejab adalah salah satu darinya." (Abu Thayyib al-'Azhim, Aun al-Ma'bud bi Syarh Sunan Abi Daud, 1415H, Cetakan Kedua, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah: Beirut, hlm 60 juz 7)
Sumber: Penulis Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Kelebihan Bulan Rejab
1. Salah Satu Bulan Haram
Rejab adalah salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan oleh Allah SWT. Dalam bulan ini, dosa dan kebaikan dilipatgandakan ganjarannya, dan umat Islam dianjurkan menjauhi kezaliman serta memperbanyakkan amalan soleh.
2. Persediaan Menyambut Ramadhan
Bulan ini menjadi peluang untuk mempersiapkan rohani, seperti berpuasa sunat, meningkatkan ibadah, dan melatih diri untuk menyambut bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.
3. Dikaitkan dengan Peristiwa Isra’ dan Mi’raj
Peristiwa penting ini dipercayai berlaku dalam bulan Rejab, memperingati perintah solat lima waktu yang diterima Rasulullah SAW sebagai anugerah istimewa umat Islam.
4. Ganjaran Puasa Sunat yang Besar
Amalan puasa sunat di bulan Rejab sangat dianjurkan, dengan ganjaran yang besar menurut riwayat, menjadikannya kesempatan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
5. Peluang Memperbanyakkan Doa dan Amalan Soleh
Bulan ini adalah waktu mustajab untuk berdoa dan meningkatkan amalan seperti zikir, sedekah, solat sunat, membaca Al-Quran, dan memohon keampunan (istighfar).
Semoga kita menggunakan kesempatan ini untuk meningkatkan amal ibadat di bulan yang mulia ini.