Khasiat bawang putih adalah sangat tinggi. Anda harus mengambil bawang putih setiap hari sama ada dikunyah begitu sahaja, dipotong, dimasak atau digoreng, paras gula darah dan kolesterol anda akan dapat dikawal. Artikel ini menerangkan kajian luar negara berkaitan bawang putih yang diberi dalam diet pesakit, yang menunjukkan kesan positif kepada kesihatan mereka.
Kenali Bawang Putih
- Bawang putih atau nama saintifiknya adalah Allium sativum merupakan sejenis tumbuhan dari genus bawang sama seperti bawang besar, bawang merah, bawang perai, dan kucai.
- Daun bawang putih adalah panjang dan bahagian bawang berada dalam tanah.
- Bawang putih dipercayai berasal dari tengah pergunungan Asia iaitu di Tajikstan, Turkmenia, Uzbekistan dan utara Iran, Afghanistan dan Pakistan.
- Penanaman bawang putih adalah kurang sesuai di Malaysia kerana iklam yang panas dan lembap. Negara pengeluar terbesar bawang putih adalah China dan India.
Penemuan Bawang Putih Mengawal Aras Gula Darah
- Suatu kajian meta-analisis daripada 22 kajian lepas yang merangkumi 29 ujian terkawal rawak yang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Southeast dan Universiti Xizang Minzu di China mengesahkan bahawa pengambilan bawang putih berterusan mengawal paras glukosa dan beberapa jenis molekul lemak.
- Glukosa dan lipid adalah nutrien utama untuk badan, menyediakan tenaga, metabolisme dan asas pembinaan pelbagai blok binaan tisu badan.
- Dalam individu yang sihat, metabolisme glukosa dan lipid harus dikawal dengan betul. Jika terdapat gangguan metabolisme glukosa dan lipid boleh membawa kepada beberapa penyakit kronik, termasuk aterosklerosis, diabetes dan penyakit hati berlemak.
Penemuan Bawang Putih Mengawal Kolesterol Darah
- Bawang putih telah lama dikaitkan secara tradisional dengan kesihatan yang baik, dan sebelum ini telah dikaitkan dengan pengawalan lipid serta paras glukosa dalam kajian berasingan.
- Dalam kajian terkini meta-analisis yang telah dijalankan antara tiga minggu hingga setahun, dan termasuk kajian yang menggunakan beberapa bentuk bawang putih yang berbeza seperti bawang putih mentah, ekstrak bawang putih tua, dan tablet serbuk bawang putih, penyelidik mengesahkan bahawa kesan positif bawang putih masih terbukti berkesan.
- Individu yang memasukkan bawang putih dalam diet harian mereka didapati mempunyai paras glukosa darah yang lebih rendah, menunjukkan pengawalan glukosa jangka panjang yang lebih baik, lebih banyak kolesterol 'baik' dalam bentuk lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL), kurang kolesterol 'jahat' atau lipoprotein berketumpatan rendah (LDL), dan paras kolesterol keseluruhan yang lebih rendah.
- Manakala, paras trigliserida tidak kelihatan terjejas.
- Bagaimanapun, data ini tidak kuat untuk mengurangkan risiko penyakit jantung secara langsung, akan tetapi ia kuat mencadangkan bahawa bawang putih mampu mengawal paras glukosa dan lipid kita.
- Lebih banyak penyelidikan dan kajian yang lebih berfokus pada masa akan datang dapat membantu menjelaskan kesan bawang putih dengan lebih terperinci.
Bahan Aktif daripada Bawang Putih
Terdapat pelbagai bahan aktif yang wujud dalam bawang putih yang membantu dalam pelbagai cara, termasuk:
- bahan aktif organosulfur iaitu flavonoid, adenosin, ajoene, alicin, dan alliin yang memiliki khasiat sebagai bahan terapeutik iaitu antibakteria, antivirus, antitrombotik, antibiotik, antikanser, antioksidan, immunomodulator, antiinflamasi, dan hipoglisemik.
- Allyl tiosulfat, yang berasal dari alliin melalui proses alliinase bertanggung jawab dalam proses penurunan lipid, antikanser, dan antioksidan.
- Alliin, yang sebelum ini telah dikaitkan dengan pengawalan glukosa darah, lipid darah, dan mikrobioma usus, mengurangkan tekanan oksidatif dan keradangan pada sel yang boleh membawa kepada masalah seperti penyakit kardiovaskular.
- Mekanisme antibakteria bawang putih adalah berlaku apabila ailiin pada bawang putih akan ditukar kerana adanya enzim alinase dengan cara bawang putih dipotong atau dihancurkan.
- Ailiin akan menjadi minyak essential, alicin, dan flavonoid.
- Minyak essential akan mengganggu proses pembentukan membran sel bakteria. Sekatan kepada pembentukan sel membran bakteria menyebabkan bakteria akan mengalami lisis dan terjadi kematian bakteria.
- Zat aktif alicin akan menghalang sintesis RNA, DNA dan protein bakteria, sehingga bakteria akan kekurangan RNA, DNA dan protein.
- Proses ini akan menyebabkan bakteria tidak dapat membiak dan akan mati.
Ringkasan Kelebihan Bawang Putih untuk Kesihatan
- Sebagai antibiotik semulajadi
- Membantu menghadaman dan pencernaan
- Mengurangkan risiko serangan jantung
- Merawat jangkitan sakit telinga
- Meningkatkan tahap sistem imun
- Mengawal kadar gula dalam darah
- Mengurangkan tahap kolesterol
- Menstabilkan tekanan darah
- Melegakan batuk dan selsema
- Mencegah kanser
Jelas bahawa diet kita memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi kesihatan kita. Justeru, setelah meneliti maklumat ini, anda harus menambah bawang putih dalam diet harian anda.
Sumber: Nutrients.
Jangan lupa subscribe free www.kasturihijau.com untuk mengetahui informasi yang terbaru dari kami dengan memasukkan alamat emel anda di bawah, dan tekan butang subscribe berwarna hijau di bawah. Terima kasih