Return to site

Lafaz Talqin Selepas Pengebumian Jenazah dan Bacaan Doa Selepas Talqin

kasturihijau.com

· AGAMA
Lafaz Talqin Selepas Pengebumian Jenazah dan Bacaan Doa Selepas Talqin

Pernahkah anda menghadiri upacara pengebumian ahli keluarga, saudara mara atau sahabat handai anda? Jika pernah, pasti anda pernah mendengar bacaan talqin yang dibaca oleh Imam atau Bilal selepas upacara pengebumian dijalankan. Bacaan talqin ini mengandungi maksud yang tersendiri dan hukumnya adalah sunat. Kandungan talqin adalah sangat menginsafkan dan ia juga ditujukan kepada jenazah dan orang yang masih hidup. Jenazah yang sudah meninggal samada sudah dikebumikan atau belum, boleh mendengar suara atau doa orang yang masih hidup seperti dalam hadis sahih iaitu;

Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :

إِنَّ الْمَيِّتَ إِذَا وُضِعَ فِي قَبْرِهِ إِنَّهُ لَيَسْمَعُ خَفْقَ نِعَالِهِمْ إِذَا انْصَرَفُوا

Maksudnya: “Bahawasanya mayat setelah diletakkan di dalam kubur maka dia mendengar bunyi geseran kasut orang yang mengebumikannya ketika mereka berjalan pulang.” (Hadith Muslim)

Justeru itu, dalam artikel ini kami ingin kongsikan kandungan bacaan talqin yang sangat menginsafkan dan juga doa yang dibaca selepas talqin untuk jenazah.

 

Apakah itu Talqin?

  • Talqin berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu Laqqana (لَقَّنَ) yang bermaksud mengajar ataupun memberi peringatan.
  • Dalam kamus Dewan, talqin bererti memberi petunjuk atau peringatan tentang soal jawab di dalam kubur kepada jenazah orang Islam selepas selesai pengebumian.
  • Hakikatnya, talqin merupakan peringatan dan pengajaran bagi orang yang hadir semasa upacara pengkebumian.
  • Talqin bertujuan untuk menyedari bahawa kematian itu adalah pasti dan janji-janji Allah SWT itu juga pasti.
  • Dengan kehendak Allah SWT, jenazah yang berada di dalam kubur itu juga mendengar peringatan yang disampaikan.
  • Kandungan bacaan talqin adalah melibatkan peringatan, amaran, pengajaran dan kesedaran bahawa kehidupan dunia tidak akan kekal, akhirnya semua makhluk akan menemui Khaliqnya iaitu Allah SWT.

 

Apakah Hukum Talqin?

Hukum membaca talqin selepas dilakukan pengebumian jenazah Islam adalah sunat. Inilah yang tertulis di dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafie.

  • Imam Nawawi umpamanya menyatakan dalam kitabnya berjudul al-Majmu’:

قال جماعات من أصحابنا يستحب تلقين الميت عقب دفنه ثم قال ممن نص على استحبابه القاضي حسين والمتولي والشيخ نصر المقدسي

Maksudnya: “Telah menyatakan oleh ramai para ulama dari mazhab Syafie bahawa disunatkan talqin pada mayat selepas mengebumikannya. Antara yang menyatakan hukum sunat itu ialah al-Qadi Husain, al-Mutawalli dan Syeikh Nasr al-Maqdisi.”

  • Katanya lagi:

وسئل الشيخ أبو عمرو بن الصلاح رحمه الله عنه فقال: التلقين هو الذي نختاره ونعمل به

Maksudnya: “Telah ditanya kepada Syeikh Ibnu as-Solah mengenai talqin, maka beliau menjawab bahawa amalan talqin merupakan pilihan kita (mazhab Syafie) dan kami beramal dengannya.”

  • Imam Abu Qasim al-Rafie menyatakan dalam kitabnya yang berjudul Fath al-Aziz Bi Syarh al-Wajiz:

ويستحب أن يُلقن الميت بعد الدفن فيقال: يا عبد الله بن أمة الله

Maksudnya: “Digalakkan dan disunatkan mentalqin mayat selepas mengebumikannya dan dibaca, “Wahai hamba Allah bin hamba Allah.”

 

Teks Susunan Talqin Untuk Jenazah Selepas Dikebumikan

 

broken image

Maha Suci Allah Tuhan yang Maha Gagah, tunggal dengan kekuasaan dan kekal selama lamanya. Allah yang telah menggagahi hamba hamba-Nya dengan mati dan binasa untuk menilai kedudukan amal bakti mereka jika ada sesiapa di antara kamu yang lebih berjasa dan berjaya. Sesungguhnya amal dan usaha kamu itu kelak pada hari akhirat akan diperlihatkan oleh Allah SWT.

Segala sesuatu pasti akan binasa, hanya sahaja yang tidak binasa dan tetap kekal hanyalah dzat Allah tuhan yang Maha Esa, bagi-Nya segala bentuk hukuman dan kepada-Nya kamu semua akan berbicara.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 185:

broken image

 

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada api neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

Daripada tanah Kami telah jadikan kamu, ke dalam tanah Kami akan kembalikan kamu dan dari dalam tanah pula Kami akan keluarkan kamu nanti pada suatu ketika.

Daripada tanah, Kami telah jadikan kamu iaitu untuk mencari ganjaran dan pahala. Ke dalam tanah, Kami akan kembalikan kamu iaitu untuk habuan ulat ulat dan tanah juga.

Dengan nama Allah dan dengan keagungan Allah, berpunca daripada Allah dan berbalik kepada Allah dan di atas agama Nabi Muhammad Rasulullah . Inilah yang dinamakan Kiamat iaitu sesuatu yang telah dijanjikan oleh Allah dan sungguh benarlah rasul-rasul itu bahawa tiadalah kiamat itu melainkan tempikan yang sekali sahaja, maka sekonyong konyong manusia itu semuanya mati.

Wahai hamba Allah, anak daripada dua hamba Allah, semoga kamu dikurniakan rahmat oleh Allah SWT. Dunia ini telah pergi meninggalkan kamu dan kamu pula telah meninggalkan segala perhiasan, kemewahan dan kesenangan dunia. Sekarang kamu telah berada di alam barzakh iaitu satu daripada beberapa banyak lagi alam bagi menunggu akhirat.

Oleh yang demikian, janganlah kamu lupa ikatan janji taat setiamu yang telah kamu ikrarkan semasa kamu meninggalkan kami sewaktu menuju ke alam akhirat iaitu pengakuan Laa ilaha illallah Muhammadur rasulullah, tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu ialah utusan Allah.

Apabila datang kepadamu dua Malaikat iaitu Munkar dan Nakir yang mana kedua-duanya itu sebagai wakil daripada Allah untuk menyoal kamu dan orang-orang lain yang mati seumpama kamu, maka janganlah kamu menjadi terkejut, merasa gerun dan gentar kerana kedua-duanya itu adalah makhluk Allah jua sama seperti kamu.

 

Apabila tiba kedua-dua Malaikat itu dan bertanya kepadamu:

  1. Man rabbuka – Siapa Tuhanmu?
  2. Man nabiyyuka – Siapa Nabimu?
  3. Ma dinuka – Apa agamamu?
  4. Man imamuka – Siapa imammu?
  5. Ma qiblatuka – Apa kiblatmu?
  6. Man ikhwanuka – Siapa saudara-saudaramu?
  7. Apa keyakinan semasa kamu mati?

Maka jawablah: Allah Tuhanku. Apabila kedua dua Malaikat itu bertanya lagi, maka jawablah: Allah tuhanku dan apabila kedua-dua Malaikat itu bertanya lagi untuk kali yang ketiga iaitu pertanyaan akhir yang menentukan kebaikan, maka jawablah dengan lancar:

Allah Tuhanku, Muhammad nabiku, Islam agamaku, al-Quran imamku, Kaabah kiblatku dan orang-orang Islam seluruhnya adalah saudaraku. Aku telah hidup dan telah pun mati tetapi aku tetap dengan pengakuan Laa ilaha illallah iaitu tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu sebenar benarnya ialah utusan Allah.

Peganglah wahai hamba Allah dengan keterangan ini dan ketahuilah sesungguhnya engkau akan tetap tinggal di alam barzakh ini sehingga ke suatu masa apabila sekalian penghuni kubur akan dibangkitkan bagi berbicara di hadapan Tuhannya.

Justeru itu, apabila ditanya tentang seorang lelaki yang telah dilantik untuk kamu dan makhluk-makhluk yang lain sekaliannya, maka katakanlah bahawa orang itu ialah Nabi Muhammad Rasulullah yang telah mengemukakan kepada kami penjelasan penjelasan yang nyata daripada Tuhannya. Kami telah mengikuti dan percaya kepadanya, malah kami telah memperakui ianya betul dan benar dengan kerasulannya.

Maka, sebaik-baik sahaja masing-masing berundur, katakanlah حَسْبِيَ الله yang bermaksud cukuplah untukku hanya Allah, tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Dia, kepada-Nya aku berserah, Dia-lah Tuhan yang memiliki pemerintahan yang Maha Besar.

Ketahuilah wahai hamba Allah, sesungguhnya mati itu benar, masuk ke liang kubur itu benar, soalan Munkar dan Nakir itu benar, bangkit semula dari kubur itu benar, berbicara kerana mengira buruk atau baiknya amalan yang telah dilakukan adalah benar, timbangan yang menentukan mana yang lebih banyak antara amalan-amalan yang baik daripada amalan-amalan yang buruk juga benar, meniti siratal mustaqim yang menentukan ke syurga atau neraka adalah benar, syurga adalah benar, neraka juga adalah benar dan sesungguhnya Allah akan membangkitkan semula penghuni-penghuni kubur.

Semoga Allah menetapkan kamu dengan perkataan yang tetap (ulang 3 kali).

Ditetapkan oleh Allah akan orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap iaitu kalimah tauhid di dunia mahupun di akhirat.

 

 

Firman Allah berbunyi:

broken image

"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tenteram. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku! (Surah al-Fajr: 27-30)"

Justeru itu, sekalian yang hadir marilah sama sama kita memanjatkan doa ke hadrat Allah agar dengan limpah kurnia-Nya, Allah memberikan keampunan, kebaikan dan rahmat kepada almarhum /almarhumah ini. Semoga Allah menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beruntung dan berbahagia. Armin, amin ya Rabbal ‘alamin, al-Fatihah.

 

Doa Selepas Talqin Untuk Lelaki dan Perempuan

Seusai membaca talqin, digalakkan upacara pengkebumian diakhiri dengan bacaan doa buat jenazah sebelum meninggalkan tanah perkuburan. Doa ini adalah untuk jenazah lelaki atau wanita.

  • Berikut doa yang boleh dibaca di atas kubur untuk jenazah lelaki:
broken image
  • Berikut adalah doa untuk jenazah wanita:
broken image

Kredit: akuislam.com

Maksud Doa:

  • "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah, telah diserahkan si mati kepada-Mu oleh orang-orang yang mempunyai rasa kasih sayang kepadanya iaitu dari kalangan anaknya, isterinya, kaum kerabatnya dan saudara-maranya.
  • Si mati telah berpisah dengan orang-orang yang mencintainya dan keluar dari keluasan rumah tangga dan kemewahan hidup menuju ke liang kubur yang gelap dan sempit. Dia telah menuju kepada-Mu ya Allah sedangkan Engkau sebenarnya adalah sebaik-baik tempat yang ditujui.
  • Jika Engkau menyeksa si mati ini, maka itu adalah kerana dosanya. Tetapi, jika Engkau mengampuninya, maka hanya Engkau sahaja yang berhak mengampuninya. Ya Allah, Engkau terkaya daripada menyeksakannya padahal si mati benar benar berhajat kepada limpah rahmat-Mu.
  • Ya Allah, limpahkanlah kebaikan buat si mati, ampunilah dosa-dosanya, kurniakan syafaat jemaah kami ini padanya. Ampunilah dosanya, luaskanlah kubur untuknya, lindungilah dia daripada azab seksa kubur.
  • Masukkanlah ke dalam kuburnya itu rasa ketenteraman dan kerehatan, lepaskanlah dia dari setiap halangan yang menghalanginya untuk menuju ke syurga. Tingkatkanlah darjatnya di dalam syurga illiyyin dengan rahmat-Mu ya Allah, Tuhan yang Maha Pengasih daripada segala pengasih."

 

Secara kesimpulannya, setelah selesai urusan pengebumian dan talqin maka selesailah urusan orang yang masih hidup ke atas jenazah yang telah meninggal dunia. Maka tamatlah segala yang diusahakan oleh seseorang apabila dia telah meninggal dunia, termasuk urusan amal dan kebaikan. Bagaimanapun, Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:

"Apabila mati seseorang, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya" (Riwayat Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasa’i)

Kredit: akuislam.com & JAKIM

Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada para pembaca kasturihijau.com. Semoga Allah swt senantiasa memperingati kita bahawa kehidupan di dunia adalah sementara, manakala kehidupan akhirat adalah kekal selama-lamanya serta kita mendapat pengakhiran yang baik di sisi Allah swt.