Return to site

Loghat Melaka: Kenali Perkataan yang Jarang Didengari Berserta Maksud

kasturihijau.com

· INFORMASI
Loghat Melaka: Kenali Perkataan yang Jarang Didengari Berserta Maksud

Betulkah bahasa orang Melaka agak kasar berbanding bahasa orang dari negeri lain? Sebagai orang Melaka, penulis ingin menerangkan bahawa orang Melaka hanya bercakap agak kasar dengan orang yang sudah dikenali lama. Jika seseorang itu baru sahaja dikenali, kebiasaannya orang Melaka akan cakap dengan bahasa Malaysia yang biasa, lembut dan semua orang boleh memahami. Jadi, penulis tidak bersetuju jika ada orang dari negeri lain mengatakan bahawa bahasa orang Melaka ini kasar-kasar belaka. Bagaimanapun, masih ada orang Melaka yang sudah terbiasa dengan bahasa yang agak kasar, dan sering menggunakan bahasa kasar kepada orang yang baru dikenali. Namun, jangan bimbang, kebanyakkan orang Melaka ini walaupun agak kasar tetapi hatinya baik dan peramah belaka. Dalam artikel ini, penulis ingin berkongsi beberapa loghat Melaka yang berlainan daripada negeri lain dan mungkin tidak pernah didengari di negeri selain Melaka.

Apakah itu Loghat Melaka?

  • Loghat Melaka merupakan salah satu dialek yang unik dalam kepelbagaian bahasa di Malaysia. Dengan pengaruh sejarah yang kaya dari pedagang luar, terutamanya dari Jawa, India, dan China, loghat ini berkembang menjadi bentuk komunikasi yang tersendiri di kalangan masyarakat tempatan. Dialek ini bukan sahaja mencerminkan identiti masyarakat Melaka, tetapi juga memperkaya budaya bahasa negara. Gaya pertuturan yang ringkas, lantang, dan penuh dengan unsur kelakar menjadikan loghat Melaka begitu dikenali dan disukai, bukan sahaja di negeri itu, tetapi di seluruh Malaysia.
  • Contohnya loghat Melaka yang dianggap kasar adalah perkataan ‘lahabau’ dan ‘hawau’. Perkataan ini tidak boleh dipisahkan daripada loghat orang Melaka kerana dua perkataan ini ada sejarahnya tersendiri yang menjadikan ia sangat unik. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘lahabau’ ditakrifkan sebagai kata makian yang bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap atau ‘haprak.’
  • Namun begitu, perkataan lahabau sebenarnya juga adalah berasal daripada perkataan Arab pasar yang dibawa oleh pedagang Timur Tengah ke Melaka semasa zaman silam. Perkataan ‘lahabau’ adalah perkataan Arab ‘La Khabar’ yang bermaksud lama tidak dengar khabar.

 

broken image

Loghat Melaka dan Berserta Maksud

Berikut adalah senarai loghat Melaka berserta maksud yang mungkin anda jarang dengar:

Loghat Melaka: Maksud

  1. Koweng: comot
  2. Gebau: Selimut
  3. Kensal: Tuala mandi
  4. Beledi: Baldi
  5. Cebok: Gayung
  6. Gobok: Almari
  7. Lemari: Almari
  8. Kahau: Cakap Kasar, cakap besar
  9. Reti: Pandai, boleh
  10. Lahabau: Apa khabar (La' Khabar) Hawau: Menunjukan rasa kecewa
  11. Godak: Kacau
  12. Mencekik, Mentekedarah, Berbokoh: Makan
  13. Kepau: Sepah
  14. Bongkang: Tidur
  15. Kumbah: Selerak
  16. Dak: Kata panggilan sebelum nama seseorang
  17. Lopak: Kotak pensil
  18. Membongkah: Kuat makan
  19. Membongkang/membuta: Tidur
  20. Lebang: Pemalas
  21. Melohau: Besar sangat
  22. Sakau: Merampas, Mencuri atau mengambil hak orang
  23. Nau: Benar, Sangat
  24. Melanguk: Melepak
  25. Handau: Terlepas atau Tak dapat
  26. Canguk: Tak bermaya
  27. Be: Panggilan untuk orang yang tidak dikenali
  28. Piau: Asli/pure
  29. Tegak: Lurus
  30. Balai: Khemah
  31. Tiak: Panggil
  32. Nyaut: Sahut
  33. Ghumah: Rumah
  34. Bongkau: Beredar
  35. Sengkuap: Serambi Rumah
  36. Ghoboh: Roboh atau musnah
  37. Mengkewan: Bilik Air
  38. Muai: Banyak
  39. Menonong: Jalan tak pandang kiri dan kanan
  40. Semenggah: Senonoh
  41. Bakau Darah: Menyakitkan hati
  42. Mangkuk hayun: Bodoh
  43. Esbok: Peti Ais/aisbox
  44. Rebas @ Ghebas: Hujan renyai-renyai
  45. Bandau: Bandar
  46. Gebeh, Londeh: Nak jatuh atau runtuh
  47. Berkenan: suka, setuju
  48. Pe'el: Perangai
  49. Deras: Cepat
  50. Madang: Seringkali
  51. Lorat: Menganggu/menyebok
  52. Pak'kal: Nasib baik
  53. Belo/bingai: Bodoh
  54. Mengeras: menghafal
  55. Tuang: Isi
  56. Air pesam: Air Suam
  57. Lemau: Lemah / tak bersemangat / letih
  58. Latam, Lencak: Lanyak
  59. Kepam: Berbau dan kotor
  60. Peghoi atau Peroi: Hancur
  61. Sangap: Menguap
  62. Belal: Besen @ Tong
  63. Pijau: Pijar
  64. Dedau: Gigil/takut/rasa mcm nak demam
  65. Bulau: Juling (mata)
  66. Kot: Mungkin
  67. Basah lokos, basah lencun: Basah kuyup
  68. Godok/Rodok: Tikam
  69. Ketiau: Ikhtiar
  70. Berlenging: Tidak pakai baju
  71. Jantan Kelepir: Lelaki lembik.
  72. Begau: Degil/gila-gila (perangai)
  73. Upau: Tali pinggang wanita yang diperbuat daripada kain untuk mengikat kain batik mereka.
  74. Kopek: Merujuk kepada perbuatan membuka sesuatu
  75. Ikan Betok: Ikan Puyu
  76. Kuih telinga batak atau kuih telinga layau: Kuih denderam atau Kuih telinga keling
  77. Telinga Layau: Telinga capang
  78. Serun: Takut/gerun
  79. Berposak-posak: Bersusah payah
  80. Keje kawen: Kenduri kahwin
  81. Kang atau karang: Nanti
  82. Melangok: Duduk melepak tanpa buat apa-apa
  83. Titik, Sesah: Pukul
  84. Kosek: perbuatan membasuh beras untuk di tanak
  85. Terhempap-hempap: Terhegeh-hegeh
  86. Sama tumbas: Sama sibuk
  87. Muka tarpal: Bermuka-muka
  88. Darat: merujuk ke kawasan yang tinggi di sesebuah tempat
  89. Baruh: Merujuk kepada kawasan yang rendah di sesebuah tempat
  90. Naik: Merujuk kepada aktiviti datang atau sesuatu kawasan yang lebih atas.
  91. Turun: Merujuk kepada aktiviti pergi ke sesuatu tempat atau merujuk kepada kawasan yang lebih bawah
  92. Berjejai: Jarang sangat
  93. Memau: lebam (sayur, buah-buahan), badan berasa lemah.
  94. Berdedai-dedai: Berpusu-pusu
  95. Hujan Petus: Hujan lebat
  96. Terkonyel-konyel: Mengunyah sesuatu yang liat
  97. Stemet: Jimat
  98. Nalau: Selalu
  99. Jinjit: Piat atau Jinjing
  100. Sewal: seriau/gerun
  101. Muka tebek: muka seposen, selenga, muka kesian
  102. Enjap/Anjap: kejap
  103. Wat tang : Bawa datang ke mari

 

 

broken image

 

Contoh-contoh ayat loghat Melaka

Antara contoh-contoh ayat yang menggunakan loghat Melaka adalah seperti berikut:

  1. Moh kite pegi masjid (moh = jom)
  2. Kendian je le kite pegi (kendian = kemudian)
  3. Lambat nau kau ni. Taleh cepat ke? (nau = sangat)
  4. Asyik sangap je kau ni, tak cukup tidor ke? (sangap = menguap)
  5. Nak beli lopak baru yang ade gambau otromon (lopak = pencil box)
  6. Dak Amar pegi mana tu? (dak = panggilan untuk orang muda)
  7. Antu Leman tu dah pegi haji ke? (antu = panggilan untuk orang tua)
  8. Kau ni jangan menggigal sangat Boy (menggigal = kecoh)
  9. Kau ni kahau betul la (kahau = kasar)
  10. Mak! Kensal Amar mana? (kensal = tuala)
  11. Jom bongkau..boring le (bongkau = beredar)
  12. Kau tiak dak Majid jap (tiak = panggil)
  13. Kau ni lorat nau aku tengok le (lorat = mengada-ngada)
  14. Birah betul budak ni aku tengok (birah = miang)
  15. Kau ni himul betul la (himul = degil)
  16. Oi lahabau! Kau dah godak air ni tak? (godak = kacau)
  17. Jom gi kedai Pak Hamid membokoh asam pedas (membokoh = makan)
  18. Adek, kau jgn nak mengembuh je. Aku dah kemas ni (mengembuh = menyepah)

Mempelajari loghat Melaka mempunyai kepentingan yang tersendiri iaitu memelihara warisan budaya dan memperkukuhkan identiti tempatan. Dengan mempelajari loghat Melaka membolehkan kita memahami cara komunikasi masyarakat Melaka dengan lebih mendalam, tetapi juga membantu kita menghargai sejarah dan pengaruh budaya yang membentuk dialek tersebut. Selain itu, menguasai loghat ini boleh merapatkan hubungan antara generasi dan memudahkan interaksi dengan penduduk tempatan. Secara keseluruhannya, mempelajari loghat Melaka menyumbang kepada pemeliharaan kepelbagaian linguistik di Malaysia serta memperkaya pengetahuan budaya kita.