Return to site

Cara Kenalpasti Logo Halal JAKIM dan Semak Status Halal Guna Apps 'Verify Halal'

kasturihijau.com

· INFORMASI
Cara Kenalpasti Logo Halal JAKIM dan Semak Status Halal Guna Apps 'Verify Halal'

Isu status halal haram adalah salah satu isu besar di Malaysia, terutamanya status halal yang melibatkan produk makanan dan minuman. Bagaimanapun isu ini dapat dikawal dengan baik kerana Malaysia mempunyai satu badan pensijilan halal JAKIM yang sangat berkredibiliti dan antara badan pensijilan halal yang terbaik di dunia. Dalam artikel ini, kami kongsikan cara mengenalpasti logo halal JAKIM yang sahih, dan juga cara penggunaan apps 'Verify Halal' yang masih ramai tidak tahu iaitu apps ini boleh membantu rakyat Malaysia mengenalpasti produk halal atau tidak.

Apakah itu Status Halal JAKIM?

  • Halal memberi maksud “dibenarkan” dalam bahasa Arab. Dalam istilah syariah, makanan halal bermaksud makanan yang mematuhi undang-undang dalam Islam, seperti yang sudah dinyatakan di dalam Al-Quran.
  • Konsep Halalan Toyyibban adalah suatu konsep yang sangat penting bagi umat Islam. Ini kerana konsep Halal ini juga diutamakan pada peringkat antarabangsa apabila pengeluar produk dari luar negara turut mementingkan logo atau pengesahan halal Malaysia di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
  • Status Halal JAKIM merujuk kepada pengiktirafan atau pensijilan bahawa sesuatu produk, perkhidmatan, atau proses mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syariat Islam.
  • Di dalam Malaysia, pensijilan halal HANYA dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pensijilan ini adalah untuk memastikan produk makanan dan minuman menepati konsep “Halalan Toyyiban”.
  • Pensijilan Halal Malaysia (yang seringkali disebut sebagai Halal JAKIM) dikatakan antara merupakan pensijilan halal terbaik di dunia dan menjadi rujukan bagi badan pensijilan halal lain di negara luar.
  • Mempunyai sijil Halal Jakim ialah sama dengan kelulusan piawaian pengurusan yang baik seperti ISO. Mempunyai pensijilan halal bermaksud produk anda berkualiti.

 

Cara Kenalpasti Logo Halal JAKIM

  • Di pasaran kini, banyak produk makanan dan minuman memaparkan logo Halal JAKIM yang palsu.
  • Ada juga produk yang memaparkan logo halal luar negara, tetapi logo halal luar negara itu tidak mendapat mengiktirafan JAKIM.
  • Logo-logo Halal yang ditandakan sebagai palsu itu sama ada dikeluarkan oleh syarikat swasta, buatan sendiri, tidak memenuhi spesifikasi, dan tidak diiktiraf.
  • Ciri-ciri logo Halal JAKIM yang boleh diperhatikan bagi mengelakkan kekeliruan adalah seperti berikut:
  1. Perkataan ‘MALAYSIA’ dalam bulatan.
  2. Bintang berbucu lapan di tengah bulatan.
  3. Perkataan Arab “حلآل” di tengah bintang.
  4. Dua bintang kecil berbucu 5, bagi memisahkan tulisan rumi dan Arab.
  5. Tulisan ‘HALAL’ di tengah.
  6. Tulisan ‘MALAYSIA’ ماليزيا dalam bahasa Arab.
  7. Contoh nombor MS 1500
  8. Nombor pendaftaran syarikat.

 

broken image

Untuk mengenalpasti logo-logo Halal bagi produk import dari badan-badan Islam Luar Negara yang diiktiraf JAKIM, boleh rujuk gambar berikut ataupun laman web JAKIM.

broken image
  • Terdapat beberapa kepentingan mengetahui logo-logo halal luar negara yang diiktiraf JAKIM.
  • Antaranya, pengguna boleh mengenalpasti logo-logo halal luar negara pada produk import yang dijual di pasaran.
  • Pengimport mudah mengenalpasti produk yang ingin diimport masuk ke Malaysia mempunyai sijil halal yang diiktiraf, bagi mengelakkan kerugian dan keraguan.
  • Rakyat Malaysia yang ingin melancong ke luar negara boleh terlebih dahulu menyimpan di telefon pintar gambar logo-logo halal diiktiraf di negara yang akan dikunjungi.
  • Pengguna juga boleh menyimpan senarai Logo Halal Luar Negara diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) daripada 46 buah negara, 84 Badan Pensijilan/ Logo Halal Luar Negara Diiktiraf (Kemaskini: setakat 01 Disember 2020)

 

Sebab-sebab Perlu Semak Status Halal

Antara sebab utama mengapa semakan status halal perlu dilakukan sebelum membeli atau menggunakan, atau makan sesuatu makanan atau minuman adalah:

1. Wajib Mematuhi Hukum Syariah Islam

Menurut tuntutan agama Islam, umat Islam wajib memilih dan menggunakan produk yang halal (dibenarkan) dan toyyib (bersih dan suci) dalam kehidupan seharian. Ini adalah untuk memenuhi tuntutan agama yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan hadis.

2. Menjamin Keselamatan dan Kesihatan

Produk makanan atau minuman yang telah melalui pensijilan Halal semestinya adalah produk berkualiti, bersih, suci, halal dan selamat. Justeru, demi menjamin keselamatan dan kesihatan pengguna, wajib memilih produk makanan dan minuman yang melepasi sijil halal.

3. Menambah Keyakinan Pengguna

Jika sesuatu produk makanan atau minuman itu telah melepasi sijil Halal, maka sudah tentu para pengguna bertambah yakin untuk menggunakan produk tersebut. Semakan status halal dapat mengurangkan keraguan dan kebimbangan dalam kalangan umat Islam.

4. Menjamin Kualiti dan Kebersihan Produk

Produk halal biasanya melalui proses pemeriksaan yang ketat, justeru ada keterjaminan dari segi kebersihan dan kualiti pemprosesan.

5. Mengelakkan Syubhah (Keraguan)

Dengan membuat semakan status halal, kita boleh memastikan produk yang digunakan tidak menimbulkan sebarang keraguan dari segi halal atau haramnya.

6. Sokongan Ekonomi Halal

Dengan menyokong produk dan perkhidmatan yang mempunyai sijil halal, sebagai muslim kita mampu menyokong dan membantu mengembangkan industri halal untuk meningkatkan ekonomi umat Islam dan ciri-ciri produk yang menerapkan nilai Islam.

 

Cara Menggunakan Apps 'Verify Halal'

  • Aplikasi Verify Halal diwujudkan bertujuan untuk membolehkan pengguna untuk menyemak status halal sesuatu produk.
  • Melalui aplikasi ini yang didaftar pada telefon bimbit, anda hanya perlu mengimbas barkod untuk sesuatu produk, dan ia akan menyemak data daripada sekitar 60 badan persijilan peringkat global.
  • Anda juga boleh semak senarai produk, premis dan rumah sembelihan serta badan pensijilan Halal dari luar negara.
broken image
broken image

 

Langkah-langkah Semak Halal JAKIM Menggunakan Apps Verify Halal

1. Download percuma aplikasi Verify Halal di telefon bimbit anda. Berikut adalah pautan untuk anda memuat turun (percuma) aplikasi Verify Halal:

2. Log masuk ke aplikasi Verify Halal.

3. Pada Home Screen, klik pada butang hijau di tengah skrin untuk scan barcode produk yang anda ingin buat semakan Halal.

4. Senarai maklumat berkaitan status Halal produk akan terpapar di skrin anda.

5. Dalam apps ini, anda juga boleh menyemak Waktu solat, Arah kiblat, Hab Halal JAKIM, lokasi masjid, kalender hijrah dan kiraan tasbih dan banyak lagi.

 

Berikut yang dikongsikan tadi mengenai kepentingan mengetahui maklumat sijil Halal JAKIM dan sijil halal luar negara yang diiktiraf JAKIM. Dengan maklumat yang dikongsikan ini, diharap semoga para pengguna dapat menilai kualiti produk sebelum dibeli, dan juga menghilangkan keraguan ke atas produk makanan dan minuman yang memang sah diiktiraf Halal JAKIM. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua para pembaca kasturihijau.com.

Sumber Utama dan Kredit: Halal JAKIM