
Malam Nisfu Syaaban merupakan salah satu malam yang istimewa dalam Islam, di mana umat Muslim diberikan peluang untuk memperbanyakkan doa, ibadah, dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Pada tahun 2025, Nisfu Syaaban jatuh pada 14 Februari (Jumaat), bermakna umat Islam akan menyambut malam Nisfu Syaaban pada 13 Februari 2025 (Khamis), selepas Maghrib. Malam ini sering dikaitkan dengan limpahan rahmat, penghapusan dosa, dan catatan amal yang diperbaharui bagi setiap hamba-Nya. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan kelebihan malam Nisfu Sya'ban dan doa Nisfu Sya'ban.
Apakah itu Malam Nisfu Sya'ban?
Bulan Sya'ban merupakan salah satu bulan yang mulia dalam syarak. Rasulullah SAW banyak beribadah pada bulan ini, dan kita juga disunatkan untuk meningkatkan amalan sebagaimana disebut dalam hadith sahih. Selain itu, terdapat beberapa hadith yang menyebut keutamaan malam Nisfu Sya'ban. Terdapat beberapa hadis berkaitan malam nisfu Sya'ban. Antaranya adalah daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur iaitu Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.
Hadis Berkaitan Malam Nisfu Sya'ban
Beberapa matan hadis yang berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban. Antaranya:
- Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184].
- Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ اللهَ تعالى يَنْزِلُ ليلةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا ، فيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كلبٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]
- Daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ اطَّلَعَ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِ، وَيُمْلِي لِلْكَافِرِينَ، وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدَعُوهُ
Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”. [Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551] Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560]
- Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَطَّلِعُ اللهُ عزَّ وجلَّ إلى خَلْقِهِ ليلَةَ النِّصفِ مِنْ شَعْبَانَ ، فيَغْفِرُ لِعبادِهِ إِلَّا لِاثْنَيْنِ مُشَاحِنٍ ، وقَاتِلِ نَفْسٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]
- Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]

Kelebihan Malam Nisfu Sya'ban
Beberapa kelebihan malam Nisfu Sya'ban dalam hadis dan pandangan ulama antaranya:
- Pengampunan dari Allah swt: Allah swt memberikan keampunan sebanyak bulu domba yang dimiliki oleh Suku Kalb (HR. Tirmidzi & Ibnu Majah)
- Anjuran memperbanyak ibadah: Umat Islam digalakkan untuk memperbanyak ibadah pada malam Nisfu Syaaban dan berpuasa pada siangnya (HR. Ibnu Majah)
- Rasulullah SAW banyak berpuasa dalam bulan Syaaban: Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak dalam bulan Syaaban berbanding bulan-bulan lain (HR. Nasa’i)
- Malam dilaporkannya amalan manusia: Amal perbuatan manusia sepanjang tahun dilaporkan kepada Allah pada malam ini (HR. Nasa’i)
- Waktu mustajab untuk berdoa: Malam Nisfu Syaaban adalah waktu yang mustajab untuk berdoa, sebagaimana disebut oleh Imam Syafi’i.

Tarikh Malam Nisfu Sya'ban Tahun 1446H/ 2025M
Pada tahun 2025, 15 Syaaban (Nisfu Syaaban) jatuh pada 14 Februari (Jumaat). Ini bermakna, malam Nisfu Syaaban akan bermula pada malam 13 Februari 2025 (Khamis), selepas masuk waktu Maghrib, mengikut kalendar Islam yang bermula dari terbenamnya matahari.
Doa dan Amalan Malam Nisfu Sya'ban
Umat Islam dianjurkan membaca yassin sebanyak 3 kali pada malam Nisfu Sya'ban. Kaifiat berkaitan dengan bacaan Surah Yasin sebanyak tiga kali adalah seperti berikut. Setiap kali selesai bacaan Surah Yasin, doa dibacakan dengan niat yang berbeza.
- Bacaan pertama – Dengan niat memohon dipanjangkan umur dalam ketaatan kepada Allah.
- Bacaan kedua – Dengan niat memohon dijauhkan dari bala dan musibah.
- Bacaan ketiga – Dengan niat memohon diberikan kecukupan rezeki dan tidak bergantung kepada manusia.

Lafaz doa malam nisfu Syaaban yang masyhur adalah seperti berikut:
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَـيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، اَللَّهُمَّ يَا ذَاالمَنِّ وَلَا يَمُنُّ عَلَيْهِ يَا ذَاالجَلَالِ وَالإِكْرَامِ، يَا ذَاالطَّوْلِ وَالإِنْعَامِ، لَا اِلَـهَ إِلَّا أَنْتَ ظَهْرَ اللَّاجِينَ وَجَارَ المُسْـتَجِيرِينَ وَمَأْمَنَ الخَائِفِينَ، اَللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ كَتَبْـتَنِي عِنْدَكَ فِى أُمِّ الكِتَابِ شَقِيًّا أَوْ مَحْرُومًا أَوْ مَطْرُودًا أَوْ مُقْـتَرًّا عَلَيَّ فِى الرِزْقِ فَامْحُ اللَّهُمَّ بِفَضْلِكَ شَقَاوَتِي وَحِرْمَانِي وَطَرْدِي وَاقْتِتَارِ رِزْقِي وَأَثْبِتْـنِي عِنْدَكَ فِى أُمِّ الكِتَابِ سَعِيدًا مَرْزُوقًا مُوَفَّقًا لِلْخَيْرَاتِ فَإِنَّكَ قُلْتَ وَقَوْلُكَ الحَقُّ المُنَزَّلُ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّكَ المُرْسَلِ يَمْحُوا اللهُ مَا يَشَاءُ وَيُثَبِّتُ وَعِنْدَهُ أُمُّ الكِتَابِ اِلَهِي بِالتَّجَلِّى الأَعْظَمِ فِى لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ المُكَرَّمِ الَّتِى يُفْرَقُ فِيهَا كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ وَيُبْرَمُ، أَسْـأَلُكَ أَنْ تَكْشِفَ عَنَّا مِنَ البَلَاءِ مَا نَعْلَمُ وَمَا لَا نَعْلَمُ وَمَا أَنَتَ بِهِ أَعْلَمُ إِنَّكَ الأَعَزُّ الأَكْرَمُ، وَصَلَّى اللهُ تَعَالَى سَـيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.
Jangan lepaskan peluang memohon keampunan daripada Allah swt Tuhan sekalian alam pada malam Nisfu Sya'aban nanti. Sesungguhnya rahmat Allah swt begitu luas kepada semua makhluk ciptaanNYA.
Sumber: JAKIM & Mufti WP