Jika anda penggemar mangga, anda mesti suka kepada jenis-jenis mangga tempatan seperti mangga harumanis, Chok Anan, MAHA 65, Nam Dok Mai, dan mangga Golek. Namun mangga varieti tempatan warna kulitnya hijau kekuningan. Pernahkah anda menjumpai mangga yang berwarna merah ungu? Artikel ini menerangkan latar belakang mangga berwarna ungu yang berasal daripada Jepun.
Apakah Mangga Termahal di Dunia?
Mangga paling mahal di Malaysia adalah mangga harumanis, mungkin sekitar harga RM40 sekilogram. Harga mangga harumanis ini yang boleh mencecah RM40 sekilogram atau lebih disebabkan proses penjagaannya yang rumit dan sukar serta ia pokoknya berbuah sekali setahun sahaja. Mangga harumanis yang ada di Malaysia adalah berkualiti kerana mendapat pensijilan myGAP untuk menghasilkan buah mangga yang bergred premium, berkualiti dan selamat.
Bagaimanapun, jika dibandingkan harga di dunia, harga mangga harumanis tidak dapat dibandingkan dengan spesis mangga berwarna ungu, dan sangat manis yang berasal daripada negeri Jepun ini. Mangga ini dinamakan sebagai mangga miyazaki atau 'Telur matahari' kerana warnanya yang cerah dan bentuknya seperti telur. Mangga ini mampu mencecah harga RM18,000 sekilogram. Berasal dari kawasan indah Kyushu di Jepun, mangga Miyazaki telah mendapat pengiktirafan antarabangsa bukan sahaja kerana rasanya, tetapi juga kerana harganya yang tinggi.
Negara Penanaman Mangga Miyazaki
Negara asal mangga ini adalah dari kawasan indah Kyushu di Jepun. Wilayah tersebut memang dikenal dengan pengeluaran buahnya yang banyak, hal ini disebabkan wilayah tersebut mempunyai cuaca yang panas dengan kombinasi jumlah hujan yang seimbang.
Mangga Miyazaki mempunyai ciri-ciri atau keunikan yang berbeza dari mangga dengan kulit berwarna hijau atau kuning. Warna kulit mangga Miyazaki adalah merah ke ungu dengan isi warna kuning yang pekat. Rasanya begitu manis dan lazat. Mangga ini ditanam dengan penjagaan yang teliti. Bangladesh kini menjadi rumah kepada penanaman mangga ini. Musim tahun 2023 hingga 2024 menyaksikan rekod penghasilan 25 tan mangga Miyazaki telah dituai.
Pakar menunjukkan perbezaan utama terletak pada kaedah penanaman buah miyazaki berbanding mangga lain. Penanamannya adalah sangat teliti di Jepun, yang melibatkan rumah hijau khas dan penjagaan yang terkawal. Mangga itu biasanya mempunyai berat lebih dari 350 gram dan mengandungi kandungan gula 15 peratus atau lebih tinggi.
Keunikan Mangga Miyazaki
- Sejenis buah premium dengan penjagaan yang rapi
- Warna buahnya adalah merah delima hingga ungu
- Mengandungi kandungan gula yang tinggi iaitu 15% ke atas
- Kulit mangga menjadi warna merah kerana terdedah kepada pendedahan cahaya matahari yang mencukupi. Sesetengah penanam juga menggantung cermin di dalam rumah hijau mereka untuk memantulkan cahaya secara langsung ke arah buah bagi menggelapkan warnanya. Mangga Miyazaki dijual dalam keadaan sudah ranum dan siap untuk dimakan.
- Digemari kerana isinya yang berwarna kuning, manis, dan lembut, serta lazimnya dimakan sebagai pencuci mulut.
- Mangga ini merupakan sumber kalium untuk mengimbangi tahap cecair dalam badan, serat untuk mengatur saluran pencernaan, dan kalsium untuk membina tulang dan gigi yang kuat.
- Ia juga menyediakan vitamin C untuk menguatkan sistem imun, vitamin K untuk membantu penyembuhan luka yang lebih cepat, magnesium untuk mengawal fungsi saraf yang optimum, dan nutrien lain termasuk zat besi, vitamin E, folat, dan vitamin B.
Buah ini, mempunyai khasiat yang tinggi seiring dengan keunikan kulitnya yang berwarna merah ungu, dan penjagaannya yang amat teliti menjadikan mangga ini buah yang sangat unik, premium, berkhasiat dan mangga termahal di dunia.
Kredit gambar: Arafat’s rooftop garden
Jangan lupa subscribe free www.kasturihijau.com untuk mengetahui informasi yang terbaru dari kami dengan memasukkan alamat emel anda di bawah, dan tekan butang subscribe berwarna hijau di bawah. Terima kasih