Return to site

Resepi Mee Goreng Ayam Style Mamak Terlajak Lazat

www.kasturihijau.com

· MENU VIRAL
resepi mee goreng mamak

Adakah anda peminat masakan style mamak? Jika begitu, anda tidak keseorangan kerana penulis juga merupakan peminat tegar masakan style mamak. Di Malaysia, kedai mamak muslim memang ada di merata-rata, daripada Perlis sehingga Johor, termasuk Sabah dan Sarawak. Mesti ramai antara anda suka lepak di kedai-kedai mamak, bukan? Keunikan kedai mamak adalah masakannya dihidangkan cepat, sedap dan masakannya panas. Memang sedap dimakan waktu makanan masih panas kerana rasanya lebih menyelerakan. Oleh itu, kami ingin kongsikan menu yang selalu dipesan di kedai mamak iaitu mee goreng mamak dan ayam goreng mamak.

Keunikan Mee Goreng Mamak

Mee goreng mamak adalah hidangan yang ikonik dalam masakan India Muslim di Malaysia. Makanan ini juga terkenal di kalangan orang Melayu. Ciri khas mee goreng mamak adalah gabungan rasa pedas, manis, dan lazat yang dihasilkan dari campuran rempah-rempah, kicap, dan sambal. Mee goreng ini biasanya dibuat dengan mi kuning yang dimasak bersama dengan taugeh, tauhu, ayam, atau daging, dan telur, dan digoreng dengan bahan-bahan seperti bawang merah, bawang putih, dan cili.

Keunikan lain mee goreng mamak adalah gaya memasaknya yang cepat di atas kuali besar dengan api yang kuat, menghasilkan tekstur mee yang lembut. Kadang-kadang, mee goreng mamak juga disajikan dengan sedikit limau dan acar, memberikan rasa segar yang seimbang dengan kepekatan rasa rempahnya. Hidangan ini bukan hanya sekadar makanan, tetapi juga memberi cerminan dari keaneka ragaman budaya Malaysia yang kaya, dengan pengaruh dari masakan India dan Melayu. Mee goreng mamak sering menjadi pilihan utama di gerai-gerai mamak dan restoran, menawarkan cita rasa yang memikat hati pelbagai golongan.

Keunikan Ayam Goreng Mamak

Ayam goreng mamak memiliki keunikan tersendiri dalam masakan Malaysia. Ciri khasnya terletak pada penggunaan rempah-rempah seperti kunyit, serbuk kari, cili, jintan manis, dan ketumbar, yang memberikan rasa kaya dan warna kuning keemasan. Proses perapan yang lama memastikan rempah meresap sempurna ke dalam daging ayam, menghasilkan rasa yang mendalam. Ayam ini digoreng hingga kulitnya garing dan rangup, sementara dagingnya tetap lembut dan juicy. Hidangan ini sering disajikan dengan nasi putih, nasi kandar, atau roti canai, dan dilengkapi dengan sambal atau acar. Ayam goreng mamak mencerminkan pengaruh budaya India Muslim di Malaysia, menggabungkan rempah kuat dengan cara penyajian yang sederhana namun melazatkan.

Resepi Mee Goreng Mamak

Berikut adalah bahan-bahan dan cara-cara penyediaan mee goreng mamak.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk masak mee goreng mamak adalah seperti berikut:

  • Mee kuning 1 bungkus
  • Udang sederhana dibuangkan kulit
  • Bawang putih yang dihiris
  • Bawang merah yang dihiris
  • Kicap cair dan kicap pekat
  • Sos cili
  • Sos tiram
  • Cili boh
  • Tauhu yang digoreng dahulu
  • Kentang dipotong dadu dan digoreng
  • Taugeh
  • Daun Kubis
  • Tomato
  • 3 biji telur yang dipecah dan dikacau
  • Fish cake dihiris
  • Cili dihiris
  • Serbuk perasa Knorr atau Maggi

Cara Memasak Mee Goreng Mamak

  1. Mula-mula, tumis bawang putih, bawang merah, dan cili boh sehingga naik minyak.
  2. Kemudian, tambah sos cili, sos tiram, kicap pekat dan biarkan masak sekejap.
  3. Seterusnya, masukkan udang, fish cake, tauhu, kentang, dan daun kubis.
  4. Tolakkan bahan ke tepi sedikit dalam kuali, dan masukkan telur yg dikacau dan gaul sehingga telur masak sedikit dan kemudian masukkan mee, gaul sebati dengan semua bahan tadi.
  5. Masukkan tomato, taugeh, cili.
  6. Perasakan dengan serbuk perasa dan kicap cair jika perlu.
  7. Hidang bersama perahan limau kasturi dan bawang goreng
  8. Sedia dihidangkan. Mee goreng mamak ini lebih sedap dimakan bersama ayam goreng mamak.
broken image

 

Resepi Ayam Goreng Mamak

Bahan-bahan yang diperlukan untuk masak ayam goreng mamak:

  • 1 ekor ayam
  • 6 sudu makan tepung jagung
  • 6 sudu makan tepung beras
  • 3 tangkai daun kari

Bahan- bahan untuk dikisar:

  • 6 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 5 tangkai cili kering
  • 2 sudu makan rempah kari
  • 1 biji telur
  • Garam secukup rasa
  • 1 sudu makan serbuk lada sulah

Cara-cara masak ayam goreng mamak:

  1. Perap ayam dengan bahan yang dikisar, tepung jagung, tepung beras dan daun kari selama 1 jam.
  2. Perap lagi lama lagi sedap.
  3. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga masak.
  4. Mee goreng mamak sedap dimakan bersama-sama ayam goreng mamak.
  5. Sedia untuk dihidangkan.

 

broken image

 

Selamat mencuba. Semoga perkongsian resepi ini bermanfaat untuk para penggemar masakan mamak.