Seseorang anak yang masih mempunyai ibubapa yang uzur, anda adalah sangat bertuah. Jika anda memelihara dan menjaga ibubapa anda ketika sudah uzur, sesungguhnya Allah swt telah berfirman dalam surah al-Nisa' (36);
وَاعْبُدُوا اللَّـهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa”.
- Berbuat baik kepada kedua ibubapa adalah perintah kedua selepas beribadat dan tidak mensekutukan Allah swt. Betapa besarnya pahala anak yang berbakti kepada kedua ibubapa yang sudah uzur, ibarat menempah kunci syurga untuk diri.
- Bagaimanapun, betapa banyak kes ibubapa dan warga emas yang terabai yang berlaku pada masa kini. Keadaan ini adalah sangat menyedihkan disebabkan tiada penjagaan dan pengabaian yang serius.
- Berdasarkan Data Banci Penduduk dan Perumahan 2020, peratus penduduk Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas telah meningkat daripada dua juta pada 2010 kepada 3.4 juta pada 2020. Dan purata jangka hayat umur rakyat Malaysia adalah 75 tahun pada tahun 2020.
Siapakan Kategori Golongan Orang Tua atau Warga Emas?
Warga emas dapat didefinisikan sebagai individu yang berumur 60 tahun dan ke atas (World Assembly on Aging di Vienna, 1982, Dasar Warga Tua Negara dan Ketetapan ASEAN). Warga emas juga lazimnya mempunyai ciri-ciri fizikal seperti beruban, bongkok, kulit berkedut dan tidak mempunyai gigi yang lengkap atau memakai gigi palsu. Pergerakan badan juga akan menjadi perlahan serta mata juga semakin rabun.
Tiga peringkat warga emas adalah seperti berikut:
- Peringkat pertama: merupakan peringkat tua muda iaitu golongan warga emas yang berumur 60 sehingga 74 tahun.
- Peringkat kedua: merupakan peringkat pertengahan tua yang berumur 75 sehingga 84 tahun.
- Peringkat ketiga (tahap akhir): terdiri daripada warga emas yang berusia 85 tahun ke atas.
Ciri-ciri Orang Tua yang Uzur dan Nyanyuk
Nyanyuk sering dikaitkan dengan mereka yang sudah berusia 60 tahun ke atas atau pada usia emas dan ada yang mengalami nyanyuk seawal 40 an.
Gejala-gejala nyanyuk adalah seperti berikut:
1. Gangguan daya ingatan
- sering lupa pada perkara yang baru berlaku atau memori jangka pendek
- cenderung mengulang-ulang cerita yang sama dalam suatu percakapan dan mereka sendiri tidak menyedarinya.
2. Sukar berfikir
- mereka tidak dapat berfikir dengan baik.
- disebabkan kemerosotan otak bahagian frontal lobe yang terletak belakang mata, untuk mengawal fokus, berfikir dan merancang.
- mudah tertekan kerana perlu berfikir.
3. Sukar bercakap dengan jelas dan lancar
- sukar untuk memilih perkataan yang sesuai.
- kurang lancar bercakap dan tergagap atau mengulang perkataan sama
4. Masalah mengenali wajah atau gambar
- sukar mengingati wajah, nama dan gambar
- sukar mengingati tempat dan masa
- tidak dapat mengingati wajah orang yang pernah mereka temui
5. Perubahan personaliti
- perubahan personaliti seperti daripada seorang pemalu kepada peramah.
- Penyabar kepada pemarah dan mudah terasa.
6. Tekanan perasaan
- sukar mengawal emosi dan mudah tertekan
7. Pergerakan semakin merosot
- melakukan pergerakan seperti mana penyakit Parkinson dan Lewy Body.
- pergerakan yang selalunya mudah menjadi semakin sukar.
8. Terlupa meletak barang
- terlupa di mana mereka meletakkan sesuatu barang.
- menuduh orang lain mencuri atau menyembunyikan barang tersebut
9. Salah membuat keputusan
- membuat keputusan misalnya memakai sarung kaki warna berbeza
- memberikan bayaran berlebihan ketika membeli barang.
10. Tidak suka bergaul
- Hilang semangat untuk melakukan aktiviti atau hobi yang biasa dilakukan
- suka menyendiri
- tidak mahu bertemu orang lain
Hukum Menjaga Orang Tua Ketika Uzur
- Hukum berbakti kepada ibubapa adalah wajib ke atas semua yang bergelar anak walaupun ibubapa itu adalah bukan Islam. Berbakti kepada kedua ibubapa terutama yang uzur adalah sama seperti pahala jihad fisabilillah.
Perintah supaya melakukan kebaikan terhadap ibubapa juga dapat dilihat dalam firman Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
- Rasulullah SAW juga telah menyebut berkenaan kelebihan dan keutamaan dalam menjaga dan berbakti kepada kedua orang tua. Daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata:
سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ " الصَّلاَةُ لِوَقْتِهَا " قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ " بِرُّ الْوَالِدَيْنِ " قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ " الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ "
Maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan amalan apakah yang paling afdhal, lalu Baginda menjawab: “Solat pada waktunya.” Kemudian aku bertanya lagi, apakah amalan yang seterusnya? Jawab Baginda: “Berbakti kepada kedua ibubapa.” Kemudian aku bertanya, apakah lagi seterusnya? Jawab Baginda: “Berjihad di jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari:85)
Panduan Menjaga Orang Tua Uzur dan Nyanyuk
Sebagai anak atau penjaga warga emas, anda haruslah mempunyai kesabaran yang tinggi dan sikap bertimbang rasa kerana tugasan ini adalah sangat mencabar dari segi emosi dan mental. Berikut adalah panduan membantu anda untuk menjaga ibubapa atau orang tua:
1. Terima perubahan peranan dan redha dengan takdir Allah swt
Sebagaimana ibu bapa anda menerima peranan baru mereka sewaktu anda dilahirkan, anda juga harus belajar menerima kenyataan bahawa peranan anda bersama orang tua anda telah berubah. Kini anda adalah penjaga dan perlu menggalas tanggungjawab tersebut.
2. Jangan mengharapkan balasan emosi
Jangan mengharapkan ibu bapa anda memberikan balasan emosi atas apa yang anda lakukan dan penjagaan yang anda lakukan. Lebih baik untuk tidak mempunyai jangkaan agar tidak kecewa, tetapi hargailah apabila mereka menzahirkan kasih sayang. Pada waktu ini, anda hanya perlu memberi, dan jangan mengharapkan apa-apa daripada mereka.
3. Bersabar dengan amarah mereka
Semalam merekalah ketua keluarga yang membuat keputusan untuk anak-anak tetapi hari ini peranan mereka telah berkurang menjadi penerima, bukan lagi pemberi. Anda patut lebih memahami jika rasa geram mereka dizahirkan dengan amarah terhadap diri anda. Tahap kesabaran anda akan diuji pada waktu ini, bagaimanapun jangan mengeluh, Allah telah menjanjikan syurga bagi anak-anak soleh.
4. Berikan mereka autonomi
Berikan autonomi atau hak kebebasan memilih bagi orang tua anda. Berikan mereka pilihan, bukan arahan. Bantu mereka membuat keputusan berkaitan keadaaan dan penjagaan mereka.
5. Minta nasihat mereka
Cara terbaik untuk menunjukkan kasih sayang dan rasa hormat anda, serta menunjukkan mereka masih bernilai dalam hidup anda adalah dengan bertanyakan nasihat kepada mereka tentang hal yang anda hadapi dalam hidup anda.
6. Kenalpasti kemerosotan kesihatan mereka
Dalam perbualan seharian anda dengan orang tua anda, cuba untuk bezakan antara masalah emosi dan kognitif mereka. Masalah emosi mereka yang kadangkala tidak menentu perlu diperhatikan dengan teliti.
7. Dapatkan bantuan orang lain
Anda mungkin mendapati ibu bapa anda lebih selesa bercakap dengan orang lain berbanding dengan anda. Jangan mudah terasa, dan biarkannya. Selain itu, bincang dengan baik bersama adik-beradik anda yang lain untuk membahagikan tugas.
8. Hargai mereka yang membantu anda
Berterima kasih kepada doktor, jiran, jururawat, ahli terapi atau ahli keluarga anda. Tunjukkan rasa pengharagaan dengan bersikap baik atau pemberian tanda terima kasih.
Kesimpulannya, menjaga dan memelihara ibubapa ketika tua bukan sahaja dituntut oleh orang Islam, malah orang bukan Islam juga menyarankan untuk menjaga orang tua. Bagi orang Islam, pahala menjaga orang tua ketika uzur adalah sangat-sangat besar sehingga Allah swt telah menjanjikan syurga untuk mereka. Walaupun besar pengorbanan anda kepada mereka, jasa ibubapa anda tidak akan dapat dibalas walau sedikit pun.
Jangan lupa subscribe www.kasturihijau.com untuk mengetahui informasi yang terbaru dari kami dengan memasukkan alamat emel anda di bawah, dan tekan butang subscribe berwarna hijau di bawah. Terima kasih.