Return to site

Nama Malaikat dan Hukum Menamakan Anak Dengan Nama Malaikat

kasturihijau.com

· AGAMA
Nama Malaikat dan Hukum Menamakan Anak Dengan Nama Malaikat

Beriman kepada para malaikat adalah rukun iman yang kedua. Jika seseorang tidak mempercayai kewujudan malaikat, maka rosaklah keimanannya dan keislamannya. Bagaimanapun, ada antara masyarakat kita suka menggunakan nama malaikat untuk digunakan sebagai nama anak. Apakah hukum menggunakan nama malaikat untuk nama anak? Disini kami kongsikan bahan bacaan yang kami baca berkaitan penggunaan nama malaikat untuk anak baru lahir.

Beriman Kepada Malaikat dan Perkara Ghaib

  • Selaku muslim, kita wajib beriman kepada malaikat. Allah swt yang menciptakan alam ini. Dialah yang mengurus serta mentadbirkan segala hal ehwal alam ini dengan undang-undang dan peraturan ciptaanNya bagi tiap-tiap satunya.
  • Allah dengan kehendak-Nya menjadikan kakitangan dan bala tentera-Nya iaitu Malaikat. Dengan penciptaan Malaikat menunjukkan maha disiplinnya Allah dalam menguruskan alam ini walaupun Dia mampu melakukan sesuatu tanpa Malaikat.
  • Malaikat itu dijadikan dari Nur iaitu cahaya, dan mereka sejenis makhluk yang ghaib yang tidak dapat diketahui keadaan mereka dengan pancaindera lahiriah kecuali apakala mereka menjelma atau menyamar sebagai makhluk yang lahir. Beriman kepada Malaikat adalah salah satu daripada beriman kepada perkara-perkara yang ghaib.
  • Di dalam al-Quran ada dinyatakan sifat-sifat orang bertakwa, antaranya ialah beriman kepada perkara-perkara ghaib. Firman Allah:

ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (al-Baqarah: 3)

 

  • Mengenai Malaikat, Said bin al-Musaiyab berkata bahawa mereka itu bukan lelaki dan bukan perempuan, mereka tidak makan, tidak minum dan tidak tidur serta tidak akan pernah menderhaka kepada Allah sekali-sekali.

Firman Allah:

لا يعصون الله ما أمرهم ويفعلون ما يؤمرون

Maksudnya: “Mereka (Malaikat) tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (al-Tahrim: 6)

 

  • Mengenai bilangan para Malaikat, ia amat banyak sehingga tidak diketahui jumlahnya melainkan Allah. Tiap-tiap seseorang mukallaf diwajibkan beriman kepada Malaikat dengan cara ijmal atau umum tanpa perlu memperincikan bilangannya.

Sabda Nabi SAW:

إِنِّي أَرَى مَا لَا تَرَوْنَ، وَأَسْمَعُ مَا لَا تَسْمَعُونَ أَطَّتِ السَّمَاءُ، وَحُقَّ لَهَا أَنْ تَئِطَّ مَا فِيهَا مَوْضِعُ أَرْبَعِ أَصَابِعَ إِلَّا

وَمَلَكٌ وَاضِعٌ جَبْهَتَهُ سَاجِدًا لِلَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku melihat apa yang tidak kalian lihat, aku mendengar sesuatu yang tidak kalian dengar. Langit merintih dan layak baginya untuk merintih. Tidak ada satu ruang selebar 4 jari, kecuali di sana ada malaikat yang sedang meletakkan dahinya, bersujud kepada Allah.”

 

 

Ciri-ciri Malaikat

Ciri-ciri malaikat menurut Syeikh Abd al-Rahman Hasan Habannakah al-Maidani:

  1. Makhluk dijadikan daripada cahaya.
  2. Malaikat bersama kita tetapi kita tidak dapat melihat mereka.
  3. Malaikat mampu menyerupai segala sesuatu dan berubah bentuk.
  4. Kekuatan dan kemampuan mereka luar biasa seperti memikul Arasy dan meniup sangkakala.
  5. Mempunyai sayap dua pasang, tiga pasang dan empat pasang.
  6. Taat hanya kepada Allah SWT
  7. Hampir kepada Allah SWT dan dimuliakan-Nya.
  8. Sebagai utusan kepada para Nabi.
  9. Mampu naik dan turun daripada langit ke bumi tanpa sebarang masalah.
  10. Takut hanya kepada-Nya.
  11. Makhluk sebelum terciptanya manusia.

 

 

Nama dan Tugas-tugas Malaikat

Sebagai muslim kita wajib mengetahui 10 nama malaikat dan tugasnya:

  1. Malaikat Jibril – Malaikat Jibril adalah malaikat yang pernah solat bersama Rasullulah SAW. Malaikat Jibril ditugaskan untuk menyampaikan wahyu.
  2. Malaikat Mikail – Menerima tugas daripada Allah SWT untuk menurunkan hujan (rezeki). Kita perlu merasa bersyukur apabila Allah menurunkan hujan melalui malaikat Mikail. Antara waktu mustajab berdoa adalah ketika turunnya hujan.
  3. Malaikat Israfil – Malaikat Israfil telah ditugaskan untuk meniup sangkakala. Tiba masanya Allah SWT memerintahkan Malaikat Israfil untuk menjalankan tugasnya maka terjadilah kehancuran dunia. Malaikat Israfil juga yang pertama akan dibangunkan Allah di akhirat nanti dan akan meniup sangkakali kali kedua untuk menghidupkan semua mahkluk semula.
  4. Malaikat Izrail – Malaikat Izrail menerima tugas untuk mencabut nyawa dari setiap makhluk hidup, terutama manusia. Sesungguhnya setiap yang hidup akan mati untuk menemui pencipta-Nya.
  5. Malaikat Munkar – Tugas yang disandang oleh Malaikat Munkar adalah memberikan pertanyaan kepada manusia yang telah meninggal dunia ketika di alam kubur.
  6. Malaikat Nakir – Tugas yang disandang oleh Malaikat Nakir adalah bersamaan dengan tugas Malaikat Munkar iaitu memberikan pertanyaan kepada manusia yang telah meninggal dunia ketika di alam kubur.
  7. Malaikat Raqib – Tugas Malaikat Raqib adalah mencatat segala amalan baik yang dilakukan oleh manusia walaupun kebaikan yang dibuat adalah sekecil hama.
  8. Malaikat Atid – Tugas Malaikat Atid adalah berlawanan dengan Malaikat Raqib. Malaikat Atid akan mencatat segala perbuatan amalan buruk manusia. Sekecil apapun dosa yang kita lakukan, pasti akan dicatatkan oleh Malaikat Atid. Perlu untuk kita sentiasa beringat sebelum melakukan kejahatan mahupun dosa.
  9. Malaikat Malik – Tugas Malaikat Malik adalah sebagai penjaga neraka.
  10. Malaikat Ridwan – Tugas Malaikat Ridwan adalah sebagai penjaga syurga.
broken image

 

 

Hukum Menamakan Anak Dengan Nama Malaikat

  • Hukum menamakan anak dengan nama malaikat adalah harus, menurut mazhab Syafi’e dan jumhur ulama dan tiada larangan yang tsabit daripada Nabi SAW berkenaan perkara ini. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 8/417).
  • Mazhab Hanbali juga sependapat dengan mazhab Syafi’e yang menafikan kemakruhan menamakan anak dengan nama malaikat. (Rujuk Kasyaf al-Qina’ 3/27)
  • Bagaimanapun, Imam Malik yang memakruhkan penggunaan nama Jibril.
  • Imam Ibn al-Qayyim pula memakruhkan penggunaan semua nama malaikat, dengan berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Jarrad R.A:

صحبني رجل من مزينة فَأتى النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم وَأَنا مَعَه فَقَالَ يَا رَسُول الله ولد لي مَوْلُود فَمَا خير الْأَسْمَاء قَالَ إِن خير الْأَسْمَاء لكم الْحَارِث وَهَمَّام وَنعم الِاسْم عبد الله وَعبد الرَّحْمَن وتسموا بأسماء الْأَنْبِيَاء وَلَا تسموا بأسماء الْمَلَائِكَة قَالَ وباسمك قَالَ وباسمي وَلَا تكنوا بكنيتي

Maksudnya: Seorang lelaki dari Mazinah bersamaku, dan Nabi SAW datang sedang aku bersama rakanku itu, lalu dia bertanya kepada Rasulullah SAW “apakah sebaik-baik nama?” Nabi SAW menjawab “sebaik-baik nama bagi kalian ialah al-Harith dan Hammam, dan dan seelok-elok nama ialah Abdullah dan Abdurrahman. Namakanlah anak-anak dengan nama para anbiyaa’, dan jangan namakan mereka dengan nama para malaikat. Kawanku bertanya lagi “bolehkah kami menggunakan nama kamu (wahai Rasulullah)? Nabi SAW menjawab “ya, kalian boleh menggunakan namaku, namun jangan kamu menggunakan kuniyah aku.”

  • Imam al-Munawi turut menggunakan hadith ini dalam menyokong pandangan yang memakruhkan penamaan anak dengan nama malaikat. (Rujuk Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir 4/113)

Jadi, menurut pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, menamakan anak dengan nama para malaikat hukumnya adalah harus, kecuali nama-nama yang sinonim dengan nama Malaikat, iaitu Jibril, Mikail, Izra’il dan Israfil.

broken image

 

Semoga perkongsian maklumat ini bermanfaat kepada para pembaca kasturihijau.com.

Rujukan dan Sumber: Mufti WP dan Mufti Terengganu