Return to site

17 Tips dan Panduan Menghafal Al-Quran yang Berkesan dan Praktikal

· AGAMA
17 Tips dan Panduan Menghafal Al-Quran yang Berkesan dan Praktikal

Tahukah anda orang yang menghafaz Al-Quran mendapat ganjaran yang cukup besar di dunia dan di akhirat. Antara ganjaran yang Allah berikan di dunia adalah para penghafaz al-Quran merupakan VVIP Allah S.W.T. Merujuk kepada hadis berikut;

“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Seterusnya adalah ganjaran para penghafaz Al-Quran di akhirat adalah ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.

"Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud)

Walaupun menjadi penghafaz Al-Quran adalah antara impian setiap daripada muslim, namun tidak ramai yang mampu melakukannya jika dengan usaha dan panduan yang betul. Disini kami kongsikan tips dan panduan menghafal Al-Quran untuk rujukan anda pada masa akan datang.

broken image

 

 

Tips Untuk Menghafal Al-Quran Bagi Pemula

Antara tips yang boleh diamalkan untuk mula menghafal Al-Quran adalah seperti berikut. Tips ini adalah tips dan panduan yang dikongsikan oleh Ustaz Fadhil Azman daripada lulusan Universiti Jordan. Menurut pengalaman beliau, beliau telah mula menghafal Al-Quran sejak sekolah rendah, sekolah menengah dan di Kolej Matrikulasi. Dalam waktu itu, beliau telah menghafal lebih kurang 9 juzu’ Al-Quran semasa di bangku sekolah lagi. Di sini kami kongsikan tips dan cara beliau mampu menghafaz Al-Quran semasa kecil yang kami rasa sesuai dijadikan panduan kepada anda yang berniat untuk menghafal Al-Quran.

broken image

Kredit: Ipendidikan

 

Langkah 1: Perbetulkan niat

Ini adalah poin atau kunci yang paling penting yang perlu dititik beratkan untuk mula menghafal Al-Quran. Lakukanlah dengan ikhlas kerana Allah, mengharapkan rahmat-Nya, keredhaan-Nya dan untuk memperoleh syurgaNya. Jangan ada niat untuk menunjuk-nunjuk dan riak dalam hati. Lakukakanlah semata-mata kerana Allah swt. Semoga Allah tetapkan hati kita untuk melakukannya semata-mata kerana Allah.

Langkah 2: Mulakan sekarang dan jangan bertangguh

Jika anda sudah mempunyai niat, jangan bertangguh-tangguh lagi. Tidak ada masa lagi lebih baik untuk mula menghafal melainkan sekarang. Jangan beri alasan tidak cukup masa. Cari masa untuk diri sendiri dan menghafal Al-Quran. Jika anda mempunyai niat, tetapi tidak mempunyai motivasi, cuba fikirkan tentang betapa besar faedah yang kita akan dapat. Percayalah, anda akan dapat banyak sangat kebaikan dengan membaca kalimah Allah. Pahala juga dikira hanya dengan membaca satu huruf dan selain Al-Quran adalah mukjizat yang akan menyelamatkan diri kita daripada siksa neraka kelak.

 

 

Langkah 3: Gunakan mushaf yang sama

Gunakan mushaf yang sama untuk membaca dan menghafal Al-Quran. Inilah perkara yang selalu diingatkan oleh asatizah (guru-guru). Apabila anda menggunakan mushaf yang sama, mata anda telah terbiasa dengan cara penulisan, warna dan hiasan dalamnya. Ini membuatkan minda anda terbiasa dengannya, InsyaAllah.

Langkah 4: Luangkan Masa Setiap Hari dan Konsisten

Luangkan masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk al-Quran setiap hari. Terdapat disiplin dan keindahan di situ apabila kita duduk dan memaksa diri untuk membaca sekurang-kurangnya 30 minit atau lebih. Jika anda mempunyai masa lebih, buatlah selama sejam atau lebih lama lebih baik. Namun, kuncinya adalah konsisten setiap hari.

 

Langkah 5: Tinggalkan Muzik-muzik Lain yang Melalaikan

Perkara ini mungkin susah, tetapi Allah boleh mempermudahkannya untuk anda jika anda sudah pasang niat betul-betul. Tinggalkan lagu-lagu muzik pop dan rock dan segala muzik yang tidak berunsur agama dan melalaikan. Ini kerana dua benda yang bertentangan tidak dapat wujud dalam masa yang sama.

Ada orang yang mendapat ketenangan melalui alat muzik. Namun, pilih cara mendapatkan ketenangan melalui mendengar ayat-ayat Al-Quran. Jika anda memilih muzik, adalah sukar untuk menghafal ayat-ayat Al-Quran. Ini kerana perkataan yang anda selalu dengar, kebiasaannya ia adalah perkataan atau kata-kata yang masuk ke dalam fikiran dan ingatan anda. Jadi jika anda berniat untuk menghafal ayat Al-Quran, anda perlu tinggalkan muzik-muzik lain supaya ayat Al-Quran mudah lekat dalam ingatan dan hati anda. Amalkan membaca ayat Al-Quran semasa melakukan aktiviti di rumah atau lain-lain kerja.

Langkah 6. Fahami maksud ayat Al-Quran

Adalah sangat menyeronokkan jika anda memahami apa yang anda hafal. Demi Allah, makna al-Quran sangat cantik, ia boleh membawa anda ke titik terendah dan membuka anda kepada perubahan yang lebih besar. Jika anda seorang yang mahir dalam bahasa Arab, adalah satu kelebihan besar kepada anda untuk menghafal Al-Quran. Namun, bagi anda yang tidak mahir bahasa Arab, anda perlu rajin baca tafsir setiap ayat Al-Quran yang anda ingin hafal. Fokus pada apa yang anda baca untuk memahami ayat tersebut. Jangan memikirkan hal lain ketika membacanya.

Muat turun aplikasi terjemahan / tafsir al-Quran dalam telefon anda. Kefahaman tentang ayat Al-Quran adalah sebahagian daripada penghafalan ayat tersebut.

 

 

 

Langkah 7: Semak kesalahan tajwid dan sebutan ayat

Pastikan Al-Quran dan surah yang ingin dihafal itu tidak mempunyai kesalahan tajwid dari segi salah baris atau huruf. Selain itu adalah disarankan untuk mempunyai seorang guru untuk memastikan sebutan bacaan anda tepat.

 

Langkah 8: Pembahagian halaman dan pengulangan ayat adalah asas untuk menghafal

Bahagikan setiap muka surat Al-Quran itu kepada dua atau tiga bahagian, bergantung mengikut keselesaan menghafal anda. Ini bergantung kepada berapa mudah untuk menghafal halaman tersebut. Hafal bahagian pertama sebelum meneruskan ke bahagian seterusnya.

Secara asasnya, hafal lebih kurang 4-6 halaman setiap hari. Untuk menghafal satu halaman, cuba mengambil masa lebih kurang 30 min, bergantung pada tahap kesukaran halaman tersebut. Ada halaman yang mengambil masa 20 min untuk dihafal. Yang penting jangan putus asa jika anda mengambil masa yang lebih lama.

 

broken image

 

Langkah 9: Mulakan dengan perlahan-lahan dan jangan cepat putus asa

Ambil selangkah demi selangkah, Insya Allah anda akan dapati menghafal dengan konsisten lebih mudah. Tidak bermakna jika hari ini terasa susah, esok juga akan terasa susah. Bacalah doa sebelum memulakan hafalan. Ingatlah di mana jua anda sekarang (dalam menghafal) adalah satu langkah untuk menamatkan penghafalan seuruh al-Quran. Yang penting, jangan berhenti.

Langkah 10: Berkawan dengan mereka yang turut menghafal

Cari rakan yang juga menghafal al-Quran kerana kehadiran mereka akan membuatkan anda rasa termotivasi untuk menghafal. Dengan mempunyai rakan yang turut menghafal, ia boleh membuatkan anda lebih bermotivasi untuk menghafal dan mengulang.

Langkah 11: Masa yang terbaik

Untuk menghafal al-Quran, masa terbaik adalah selepas subuh atau fajar, iaitu ketika minda masih segar. Ketenangan fajar akan memasuki minda anda. Ustaz selalu menasihatkan untuk lebih produktif pada waktu pagi. Selain itu, waktu selepas solat adalah masa yang sesuai untuk menghafal selain dari waktu antara Maghrib dan Isya’. Selain itu, pada masa-masa lain, bacalah al-Quran dalam perjalanan ke sekolah atau tempat kerja.

 

Langkah 12: Bawalah mushaf anda ke mana jua anda pergi

Al-Quran yang disamping anda akan menjadi peringatan untuk anda membacanya Insya Allah.

Langkah 13: Jagalah mata anda dan bertaubatlah

Jaga dari memandang atau melihat aurat berlainan jantina, telinga anda dari mendengar gosip, mulut anda dari berkata belakang, mengumpat dan dari semua perbuatan yang dilarang. Dan segerakan bertaubat kalau kita melakukan dosa tanpa menyedarinya. Apabila seseorang membuat dosa, dia perlulah segera bertaubat kepada Allah. Allah menerima taubat orang yang ikhlas.

Langkah 14: Minta seseorang mendengar bacaan anda, tasmii’

Carilah seorang kawan, ahli keluarga atau guru untuk tasmii’ anda. Dia mestilah seorang yang tahu membaca al-Quran dengan betul, jadi apabila berlaku kesalahan kecil, dia dapat membetulkannya.

Carilah seseorang untuk mendengar anda mengulang bacaan. Seseorang itu perlulah memperkukuhkan hafalannya dengan selalu mengulang.

Langkah 15: Makan kismis, madu dan makanan yang berkhasiat

Memakan kismis dan madu dapat mengukuhkan ingatan.

Langkah 16: Tunaikanlah solat tahajud dan berdoa untuk dipermudahkan menghafal

Lakukan solat tahajud setiap malam sekurang-kurangnya dua rakaat. InsyaAllah doalah semasa itu kerana doa semasa tahajud diibaratkan seperti busar panah yang tidak pernah tersasar dari sasarannya (Imam Syafi’ie).

Langkah 17: Buat baik kepada kedua ibubapa, rakan-rakan dan doakan kebaikan orang lain

Berbuatlah baik kepada kedua ibubapa dan minta mereka mendoakan anda untuk menghafal Al-Quran. Doakan juga kebaikan untuk orang lain yang mungkin amat memerlukan rahmat Allah.

 

Secara keseluruhan, pengalaman dan tips yang dikongsikan oleh Ustaz Fadli Azman adalah bermanfaat kepada sesiapa yang ingin mula menghafal Al-Quran. Semoga perkongsian ini bermanfaat dalam apa sudut sekali pun meskipun sedikit. Semoga Allah permudahkan bagi anda untuk menghafal dan mengulang al-Quran dan semoga Allah permudahkan segala urusan kita. Sebagai penutup, puisi Imam Syafi’ie sebagai peringatan:

Aku mengadu kepada Wakii’ (Imam Syafi’ie) mengenai ingatanku yang lemah.

Dia menasihatku untuk meninggalkan dosa

Dan dia memberitahuku bahawa ilmu adalah cahaya

Dan cahaya Allah tidak akan sampai pada pendosa

 

 

broken image

Kredit: Ustaz Fadhil Azman