
Bulan Ramadan adalah bulan penuh keberkatan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Salah satu ibadah istimewa yang disyariatkan dalam bulan ini adalah solat sunat tarawih. Walaupun solat tarawih lebih afdhal dilakukan secara berjemaah di masjid atau surau, ia tetap boleh dikerjakan secara bersendirian di rumah, terutama bagi wanita yang mungkin mempunyai kekangan untuk keluar. Artikel ini akan membincangkan hukum solat tarawih bersendirian, serta panduan lengkap bagaimana wanita boleh menunaikannya di rumah dengan sempurna. Dengan memahami kaedah pelaksanaannya, setiap individu dapat menghidupkan malam-malam Ramadan dengan lebih bermakna.
Hukum Solat Sunat Tarawih Bersendirian di Rumah
- Hukum solat sunat tarawih adalah sunat muakkad, iaitu ibadah yang sangat dituntut untuk dilakukan oleh umat Islam, baik lelaki mahupun perempuan, pada setiap malam di bulan Ramadan.
- Solat sunat tarawih boleh dilaksanakan secara bersendirian atau berjemaah, sama ada di masjid, surau, ataupun di rumah.
Hukum solat tarawih secara bersendirian diringkaskan seperti berikut:
- Pendapat Imam Al-Syafi’e dan Jumhur Ulama: Lebih afdhal menunaikan solat tarawih secara berjemaah.
- Pendapat Imam Malik, Abu Yusuf, dan sebahagian ulama Syafi’eyyah: Lebih afdhal menunaikan solat tarawih secara bersendirian di rumah.
Kesimpulan oleh Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Solat tarawih secara bersendirian adalah dibenarkan, tetapi yang paling afdhal ialah menunaikannya secara berjemaah.

Waktu Solat Sunat Tarawih
- Solat sunat tarawih dilaksanakan selepas menunaikan solat fardu Isyak dan solat sunat ba’diah Isyak dua rakaat.
- Solat sunat tarawih dilakukan seperti solat sunat biasa, iaitu dua rakaat satu salam, kemudian diulangi sehingga mencapai jumlah rakaat yang dikehendaki.
- Di Malaysia, terdapat perbezaan dalam jumlah rakaat yang didirikan di surau dan masjid. Ada yang melaksanakan sebanyak 20 rakaat, manakala ada juga yang menunaikan sekadar 8 rakaat.
- Bilangan rakaat adalah bergantung kepada kemampuan seseorang untuk mengerjakannya. Pada zaman Rasulullah SAW sembahyang Tarawih biasanya dikerjakan sebanyak 8 rakaat dan 20 rakaat.
Panduan Solat Tarawih Bersendirian di Rumah
- Baca niat solat tarawih.
- Laksanakan solat seperti biasa.
- Ulang sehingga jumlah rakaat yang diinginkan (contoh: 8, 16, atau 20 rakaat).
- Surah selepas Al-Fatihah boleh dibaca mengikut pilihan sendiri.
- Setelah selesai setiap 4 rakaat, baca doa yang disunatkan.

- Doa ini dibaca setiap kali selesai 4 rakaat.

Doa Selepas Selesai Solat Tarawih 8 Rakaat atau 20 Rakaat



Maksudnya:
Segala puji untuk Allah Tuhan sekalian alam, sebagai pujian yang menyempurnakan nikmatNya dan mencukupkan pertambahannya.
Wahai Tuhan kami, bagiMu pujian seperti yang selayakNya dan kemudian ZatMu dan kebesaran pemerintahanMu. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad dan keluarga serta sahabat-sahabatNya.
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah iman kami iman yang sempurna. Segala kewajipan zakat kami laksanakan dan segala apa yang ada di sisiMu kami pohonkan dan keampunanMu kami harapkan.
Kami berpegang dengan petunjukMu dan menjauhi perkara yang sia-sia, zuhud dengan dunia dan cinta akhirat, redha dengan ketentuanMu, bersyukur dengan nikmat-nikmatMu dan bersabar dengan bala bencana.
Kami berlindung di bawah panji-panji Nabi Muhammad pada hari kemudian, kami berkehendak kepada perlindunganMu dan dapat memasuki syurgaMu dan duduk di atas katil yang mulia (di syurga), berkahwin dengan bidadari-bidadari dan memakai perhiasan-perhiasan di syurga, memakan makanan di Syurga, minum susu dan madu yang suci dari gelas-gelas yang indah bersama mereka yang telah Engkau beri nikmat daripada golongan nabi-nabi, rasul-rasul, para syuhada dan orang soleh.
Ya Allah, jadikan kami pada malam yang mulia dan penuh keberkatan ini daripada orang yang berbahagia kerana diterima amalannya dan janganlah jadikan kami orang yang berdukacita kerana ditolak amalan kami.
Ya Tuhan kami, berikan kami keafiatan, Ya Tuhan kami, ampuni kami, ibu bapa kami, saudara-saudara kami, suami atau isteri kami dan guru-guru kami dan mereka yang kami ajarkan dan mereka yang mempunyai hak ke atas kami dan mereka yang mencintai kami dan berbuat baik kepada kami dan mereka yang membimbing kami dan yang kami bimbing kepada kebaikan dan mereka yang berwasiat kepada kami dan yang kami wasiatkan dengan doa dan seluruh muslimin dan muslimat.
Dan Ya Allah, tulislah keselamatan dan keampunan untuk kami dan ke atas hamba-hambaMu yang terdiri daripada para jemaah haji dan umrah, peniaga-peniaga, orang yang berziarah, musafir-musafir dan orang yang bermukim, di darat atau di laut daripada orang Islam.
Dan jauhkan kami daripada orang yang zalim dan bantulah kami menghadapi ke atas orang kafir, wahai Tuhan yang memperkenankan orang yang bermohon.
Dan sempurnakanlah untuk kami wahai Tuhan kami daripadaMu dengan kebaikan wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada segala yang mengasihani.
Download Panduan Solat Tarawih JAKIM
Untuk memudahkan anda membuat rujukan, anda boleh merujuk panduan solat terawih oleh JAKIM di pautan berikut: Panduan Tarawih JAKIM
Solat Sunat Witir
Selepas solat tarawih, jangan lupa menunaikan solat witir.
- Cara menunaikan solat witir:
- Solat 2 rakaat terlebih dahulu.
- Kemudian, diikuti dengan 1 rakaat.
- Solat witir boleh dilakukan dengan bacaan surah pilihan selepas Al-Fatihah.


Selamat menyambut Bulan Ramadhan dan semoga bermanfaat.