Tahukah anda telinga berdarah boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah kecemasan kerana kedudukannya berhampiran dengan otak. Pendarahan dari telinga boleh menjadi sangat membimbangkan bagi seseorang. Antara sebab yang biasa menyebabkan pendarahan daripada telinga adalah penggunaan putik kapas. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan sebab-sebab telinga berdarah dan tanda-tanda gegendang telinga pecah.
Apakah itu Telinga Berdarah?
Pendarahan telinga adalah lelehan yang keluar dari telinga yang mengandungi darah akibat daripada kecederaan ataupun jangkitan kuman.
Sebab-sebab Telinga Berdarah
Antara sebab berlakunya telinga berdarah adalah seperti berikut:
1. Kecederaan kulit di telinga
Jika berlaku trauma kecil pada kulit, seperti luka, ia boleh menyebabkan pendarahan dari telinga luar. Pesakit akan mengalami kesakitan kecil di bahagian telinga luar dan ia tidak terlalu berbahaya. Kecederaan kecil ini boleh disebabkan oleh semasa seseorang menggunakan putik kapas untuk membersihkan telinga secara agresif, dan menyebabkan pendarahan.
2. Kecederaan kepala atau trauma otak
Selain itu, kecederaan pada kepala dan gegaran pada otak juga boleh mengakibatkan pendarahan pada telinga. Jenis kecederaan ini selalunya disebabkan oleh kemalangan, kejatuhan atau kecederaan sukan. Pendarahan telinga mungkin disebabkan oleh patah tulang tengkorak, trauma teruk atau kecederaan serius pada otak memerlukan rawatan perubatan segera.
Antara gejala-gejala gegaran pada otak termasuk:
- Sakit kepala
- Berdesing di telinga
- Pening dan muntah
- Kekeliruan
- Kehilangan kesedaran sementara
- Penampilan terpinga-pinga
- Keletihan
- Mudah marah
- Susah tidur
3. Berlaku Jangkitan Kuman pada Telinga
Jangkitan telinga boleh berlaku di mana-mana bahagian telinga sama ada jangkitan telinga tengah atau luar. Antara gejala jangkitan pada telinga adalah:
- Demam
- Sakit kepala
- Kemerahan
- Bengkak
- Sakit telinga
- Perubahan pendengaran
- Sakit leher
4. Objek dalam Saluran Telinga
Pendarahan dari telinga juga boleh disebabkan oleh objek yang masuk ke dalam telinga. Sebarang objek di dalam telinga, termasuk serangga kecil, boleh menyebabkan pendarahan, jangkitan atau ketidakselesaan. Selalunya sakit telinga akan hilang apabila objek tidak lagi berada di dalam telinga.
5. Gegendang Telinga Pecah
Gegendang telinga ialah selaput nipis yang memisahkan telinga tengah dari telinga luar. Selaput ini adalah nipis dan mudah terkoyak jika terkena objek keras. Jangkitan dan kecederaan adalah punca biasa untuk gegendang telinga anda pecah. Gejala lain gegendang telinga pecah adalah termasuk:
- Sakit telinga
- Telinga berdesing
- Keluarnya cecair dan darah daripada telinga
- Telinga terasa penuh
- Rasa berpusing, dikenali sebagai vertigo
- Kehilangan pendengaran atau pekak
6. Barotrauma
Barotrauma adalah kecederaan yang lebih melampau pada telinga akibat perubahan drastik dalam tekanan dan ketinggian akibat daripada aktiviti seperti menyelam atau terbang. Gejala barotrauma bermula hampir serta-merta selepas perubahan drastik dalam ketinggian atau tekanan.
Gejala barotrauma mungkin termasuk yang berikut:
- Sakit telinga
- Tekanan pada telinga
- Hilang pendengaran
- Pening
- Berdesing di telinga
7. Kanser telinga
Kanser telinga adalah jarang berlaku dan boleh berlaku di mana-mana bahagian telinga. Namun, majoriti kes kanser telinga adalah akibat kanser kulit pada telinga luar. Bagi orang yang mengalami jangkitan telinga kronik yang berterusan atau berulang selama 10 tahun atau lebih mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser di bahagian tengah atau telinga dalam. Jika seseorang mengalami kanser telinga, antara gejala yang boleh berlaku adalah pendarahan pada telinga dan juga gejala lain iaitu:
- Hilang pendengaran
- Sakit telinga
- Nodus limfa bengkak
- Lumpuh separa muka
- Telinga berdesing
- Sakit kepala
Komplikasi Jika Dibiarkan Berlarutan
Jika punca pendarahan adalah kecil dan dirawat dengan segera, mungkin tiada komplikasi yang berkekalan. Walau bagaimanapun, sesetengah jangkitan telinga atau kecederaan yang teruk mungkin mempunyai komplikasi jangka panjang.
Komplikasi ini boleh termasuk:
- Kehilangan pendengaran yang berpanjangan
- Perubahan dalam pemprosesan maklumat
- Deringan telinga yang berpanjangan
- Sakit kepala
- Masalah keseimbangan
- Vertigo yang berpanjangan
- membawa maut
Berhenti Korek Telinga Guna Putik Kapas
Amalan mengorek telinga menggunakan putik kapas adalah sesuatu yang sangat berbahaya. Ini kerana amalan mengorek telinga menggunakan putik kapas akan menolak tahi telinga atau earwax makin jauh lebih ke dalam. malah ia juga berisiko mengakibatkan kecederaan dalaman yang serius. Apabila tahi telinga mampat ke dalam, ia akan menyebabkan gejala sakit telinga dan kurang pendengaran, lama kelamaan ia boleh meningkat risiko infeksi dan telinga berdarah.
Cara mengeluarkan tahi telinga adalah:
- Gunakan ubat titis atau
- Sengetkan kepala ke sisi
- Lapikkan tuala tebal di bawah telinga
- Pancutkan atau 'tembak' air suam dari picagari ke dalam telinga selama lima ke 15 minit
- Jika tidak berjaya, segera ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Kesimpulannya, telinga berdarah adalah disebabkan oleh pelbagai faktor dan faktor yang paling biasa adalah mengorek telinga dengan putik kapas. Semoga perkongsian ini memberi pendedahan kepada anda tentang bahaya mengorek telinga dengan putik kapas.