Permohonan Fasa 1 untuk Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sesi 2025/2026 kini dibuka mulai 1 Disember 2024. Menurut kenyataan KPM, permohonan ini terbuka kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 dan akan berlangsung selama tiga bulan sehingga 28 Februari 2025.
Pelajar boleh menyemak dan mengemukakan permohonan secara percuma melalui pautan dalam talian yang disediakan. Berikut adalah maklumat lanjut mengenai cara permohonan, kelebihan program, dan panduan membuat rayuan bagi calon yang tidak berjaya.
Apakah Program Matrikulasi KPM?
- Program Matrikulasi KPM bertujuan memastikan pembangunan potensi pelajar, khususnya pelajar bumiputera, melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti. Program ini dirangka untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara, terutamanya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik (STEM), serta bidang profesional lain yang berpotensi tinggi.
- Sebagai pengiktirafan terhadap standard dan kualiti program ini, semua lulusan Program Matrikulasi KPM dianugerahkan Sijil Matrikulasi KPM, yang diiktiraf untuk kemasukan ke Perkhidmatan Awam Malaysia mulai tahun 2017. Selain itu, program ini turut membuka peluang yang lebih luas untuk pelajar menyertai pelbagai bidang pekerjaan serta melanjutkan pelajaran di universiti ternama di dalam dan luar negara.
- Program ini juga menitikberatkan nilai integriti, kecemerlangan akademik, serta pembangunan sahsiah, bertujuan melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik dan nilai-nilai kepimpinan.
Senarai Jurusan Program Matrikulasi KPM
Program Matrikulasi KPM ini mempunyai 5 jurusan antaranya adalah:
- Jurusan Sains
- Jurusan Kejuruteraan
- Jurusan Perakaunan
- Jurusan Perakaunan Profesional
- Jurusan Sains Komputer
Mulai sesi 2025/2026, pelajar berpeluang untuk memohon mengikuti Jurusan Sains Komputer di Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Penawaran jurusan ini adalah sejajar dengan keperluan era digital yang menekankan penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sekali gus mempersiapkan pelajar untuk memenuhi permintaan tinggi dalam bidang teknologi, pengaturcaraan, dan kecerdasan buatan (AI).
Bagi pelajar tahfiz yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, mata pelajaran Hifz al-Quran akan diperkenalkan dalam kurikulum Program Matrikulasi bermula sesi 2025. Inisiatif ini bertujuan mengiktiraf kemahiran hafazan al-Quran dalam sistem pendidikan arus perdana, di samping memperkasakan pelajar tahfiz dengan ilmu akademik dan profesional.
Dengan tambahan ini, Program Matrikulasi KPM terus komited menyediakan laluan pendidikan yang holistik dan inklusif, membolehkan pelajar dari pelbagai latar belakang mencapai potensi mereka dalam pelbagai bidang akademik dan kerjaya.
Permohonan Kemasukan Program Matrikulasi Sesi 2025/2026
- Permohonan Fasa 1 untuk Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sesi 2025/2026 kini dibuka kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
- Permohonan boleh dilakukan secara dalam talian bermula 1 Disember 2024 hingga 28 Februari 2025 melalui laman sesawang rasmi yang disediakan.
- Bagi pelajar yang terlepas permohonan Fasa 1 atau ingin mengemas kini maklumat, Permohonan Fasa 2 dan pengemaskinian data pelajar akan dibuka selama 5 hari selepas keputusan SPM diumumkan. Tempoh ini memberikan peluang tambahan kepada calon untuk memastikan maklumat mereka terkini dan lengkap.
Cara Permohonan
- Permohonan mestilah dilakukan melalui laman sesawang Matrikulasi KPM. Pautan permohonan adalah : https://matrikulasi.moe.gov.my
- Tarikh permohonan Fasa 1 : 1 Disember- 28 Februari 2025
- Tarikh permohonan Fasa 2 & kemaskini : 5 hari selepas keputusan SPM diumumkan
Senarai Kolej Matrikulasi di Malaysia
Berikut adalah senarai lengkap kolej matrikulasi yang terdapat di Malaysia, di bawah kelolaan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM):
- Kolej Matrikulasi Kedah
- Kolej Matrikulasi Perlis
- Kolej Matrikulasi Pulau Pinang
- Kolej Matrikulasi Perak
- Kolej Matrikulasi Selangor
- Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan
- Kolej Matrikulasi Melaka
- Kolej Matrikulasi Johor
- Kolej Matrikulasi Kelantan
- Kolej Matrikulasi Pahang
- Kolej Matrikulasi Labuan
- Kolej Matrikulasi Sarawak
- Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah
- Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor
- Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang
- Kolej MARA Kulim
- Kolej MARA Kuala Nerang
Keputusan Permohonan Program Matrikulasi Sesi 2024/2026
- Keputusan permohonan akan diumumkan oleh Bahagian Matrikulasi KPM melalui laman sesawang rasmi dalam tempoh 21 hari bekerja selepas keputusan SPM 2024 dikeluarkan. Pelajar disarankan untuk memantau pengumuman terkini melalui saluran rasmi KPM bagi memastikan mereka tidak terlepas sebarang maklumat penting berkaitan proses permohonan.
- Bagi pelajar yang tidak berjaya, panduan membuat permohonan rayuan juga akan disediakan untuk membantu mereka mendapatkan peluang kedua memasuki program ini.
Pertanyaan Lanjut
- Ikuti media sosial PMKPM untuk hebahan dan maklumat terkini. FB/X/Youtube - Program Matrikulasi KPM, IG/TikTok - matrikulasikpm.
- Sebarang pertanyaan berkaitan emel kepada mohon.matrik@moe.gov.my atau hubungi 03-8884 4083/4042/4098 atau Apps Telegram: https://t.me/jommasukmatrikulasikpm