Kehidupan manusia di saat ini telah berada di akhir zaman, dan sudah dekat dengan waktu hari kiamat. Rasulullah saw telah menjelaskan dalam sejumlah hadisnya tentang dekatnya kita dengan hari kiamat ini. Bagaimanapun, bila akan berlakunya hari kiamat? Ilmu itu masih dirahsiakan di sisi Allah SWT. Apakah persediaan anda menghadapi fitnah dan ujian di akhir zaman ini? Dalam artikel ini, kami kongsikan persediaan untuk menghadapi fitnah akhir zaman yang setiap muslim perlu tahu.
Baginda Rasulullah saw telah mengisyaratkan tentang dekatnya hari kiamat dalam satu hadis. Sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis:
بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ، وَيُشِيرُ بِإِصْبَعَيْهِ فَيَمُدُّ هُمَا
“Jarak diutusnya aku dan hari kiamat seperti dua (jari) ini.” Baginda memberikan isyarat dengan kedua jarinya (jari telunjuk dan jari tengah), lalu merenggangkannya (HR. Bukhari)
Tanda-tanda Kiamat Kecil
Antara tanda-tanda kiamat kecil adalah:
- Berlaku penaklukan Baitulmaqdis
- Berleluasanya zina
- Alat-alat muzik menjadi kebanggaan dan digilai
- Menghias masjid dan membanggakannya
- Munculnya kekejian, memutuskan persaudaraan dan bersikap buruk dengan jiran tetangga
- Ramainya orang Soleh meninggal dunia
- Orang yang hina mendapat kedudukan terhormat
- Mengucapkan salam kepada orang yang dikenali sahaja
- Ramai wanita berpakaian tetapi telanjang
- Bulan sabit kelihatan lebih besar
- Banyak dusta, fitnah dan berita yang tidak tepat
- Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar
- Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai
Tanda Kiamat Besar
Merujuk kepada hadis Rasulullah saw membicarakan perihal 10 tanda besar kiamat, al-Sa’ah (hari Kiamat). Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya ia (hari Kiamat) tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelum daripadanya sepuluh tanda”. “Baginda SAW menyebut (tanda-tanda tersebut): Asap, Dajjal, al-Dabah, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isa anak kepada Maryam, Ya’juj dan Ma’juj dan tiga gerhana iaitu satu gerhana di Timur, satu gerhana di Barat dan satu lagi gerhana di rantau atau jazirah Arab. Seterusnya, yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menghalau manusia ke Mahsyar mereka”. [Riwayat Muslim (2901)]
5 Persiapan Menghadapi Fitnah Akhir Zaman
1. Mencari dan mendalami ilmu agama dengan baik
- Untuk menjadi muslim sejati yang mempraktikkan agama Islam dengan sempurna, seseorang itu perlulah berilmu pengetahuan dan mendalami ilmu agama dengan baik. Telah diturunkan kitab suci Al-Quran kepada semua manusia sebagai panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan di dunia dan di akhirat. Hadis pula dijadikan panduan oleh para ulama' untuk memahami dengan lebih jelas isi kandungan Al-Quran dan sumber hadis ini menjadi penyokong dan penguat kepada Al-Quran. Justeru, al-Quran dan hadis adalah sumber rujukan utama bagi manusia pada masa kini.
- Rasulullah SAW telah berpesan kepada semua manusia akan pentingnya berpegang kukuh kepada kitab Allah ini sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW: "Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Al Quran dan sunnahku.”
- Justeru pentingnya mendalami ilmu al-Quran dan hadis dengan baik kerana keduanya mampu menjadi benteng terkuat kita daripada menghadapi fitnah di akhir zaman.
2. Bersiap sedia menghadapi kehidupan selepas kematian
- Al-Qur’an ada menceritakan kisah seorang Nabi yang mengajarkan 'masa depan' kepada anaknya, yaitu Nabi Ya’qub ‘Alaihis Salam. Ketika beliau sedang dalam keadaan dekat kepada kematian, iaitu sakaratul maut, maka dikumpulkan kesemua anaknya. Ketika itu baginda menceritakan tentang masa depan. 'Masa depan' yang Baginda maksudkan adalah kehidupan selepas kematian.
- Sebaiknya dan seharusnya kesemua nikmat dan kurniaan Allah swt kepada kita semasa di dunia, samada nikmat sihat, masa, wang, harta, ilmu, darjat dan sebagainya perlu dijadikan jambatan atau kenderaan kita ke syurga. Dengan nikmat-nikmat dan kurniaan tadi kita seharusnya dapat memperbanyakkan pahala dan amalan kebajikan sebanyak mungkin, supaya apabila kita menghadapi kehidupan selepas kematian kelak, pahala daripada amalan tersebut dapat menjadi kenderaan atau jambatan kita menuju syurga Allah swt.
3. Istiqamah dalam melakukan amal kebaikan
- Sebagai seorang muslim, kita diwajibkan melakukan perkara fardhu (wajib) seperti menjaga solat, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji jika berkemampuan. Bagaimanapun, kita sebagai manusia yang sering terlupa dan alpa, pasti sentiasa melakukan dosa dan kesalahan semasa melakukan amalan fardhu, samada sedar atau tidak. Jadi, adalah amat digalakkan untuk seorang muslim mengamalkan amalan sunat bagi menampung kekurangan pada solat fardu. Adapun Rasulullah saw pernah berpesan; “Wahai sekalian manusia, beramallah sekadar kemampuan kamu, bahawasanya, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kalian merasa jemu. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dikerjakan secara berkekalan (istiqamah) walaupun sedikit.” (HR Bukhari No: 5413)
4. Berkata benar dan jangan mengambil hak orang lain
- Adalah satu tanggungjawab muslim untuk 'Amar makruf dan nahi mungkar (Arab: الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر ) yang bermaksud "mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran". Sebagai muslim yang mengamalkan akhlak seperti yang diperintahkan dalam al-Quran, berkata benar, mencegah kemungkaran dan tidak mengambil hak orang hukumnya adalah wajib.
- Tatkala di akhir zaman, banyak perkara kezaliman, keganasan, kecurian, kehancuran dan penipuan akan muncul. Seperti yang pernah disabda oleh Rasulullah saw; "Sesungguhnya menjelang datangnya hari kiamat (terjadi) banyak fitnah, bagaikan bahagian malam yang gelap gelita. Seseorang yang di pagi hari dalam keadaan beriman dan di petang harinya menjadi kafir. (Ada) yang di petang harinya dalam keadaan beriman, dan di pagi harinya menjadi kafir. Orang yang duduk di saat itu lebih baik daripada orang yang berdiri, orang yang berdiri di saat itu lebih baik daripada orang yang berjalan, dan orang yang berjalan saat itu lebih baik daripada orang yang berlari. Maka, patahkanlah busur-busur kalian, putuskanlah tali-tali busur kalian, dan pukulkanlah pedang-pedang kalian ke batu. Jika (rumah) salah seorang dari kalian dimasuki (fitnah), maka jadilah seperti yang terbaik dari kedua anak Adam (Habil)." (HR Imam Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah, dan al Hakim).
- Rasulullah saw juga pernah bersabda bahawa:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَان
“Apabila kamu melihat kemungkaran, maka cegahlah dengan tanganmu (kekuasaanmu), kalau tidak mampu maka dengan lisanmu, kalau tidak mampu maka dengan cara engkau tidak menyetujuinya (benci dalam hatimu), dan itu adalah bahagian yang lemah dari iman kita.” (HR. Muslim).
5. Bersedia dengan seruan jihad menentang musuh Allah swt
- Pada akhir zaman, pastinya akan berlaku fitnah paling dahsyat yang telah disebut oleh Rasulullah saw iaitu fitnah dajjal. Jika ditakdirkan oleh Allah swt untuk kita hidup di waktu tersebut, pastinya kita tidak boleh duduk berpeluk tubuh dan berdiam diri tanpa mempedulikan jika fitnah berleluasa, dan sanggupkah kita biarkan agama Islam dihina, dan akidah orang Islam dirosakkan tanpa melakukan apa-apa tindakan. Dengan jalan berjihad seseorang mampu memasuki syurga tanpa hisab. Justeru, setiap muslim yang ada di dunia ini perlu mempunyai semangat jihad dalam diri untuk menegakkan agama Islam dan bersedia untuk menjadi tentera fisabilillah dan pengikut Imam Mahdi jika diperlukan kelak. Namun, apakah ciri-ciri tentera Imam Mahdi yang perlu ada jika anda ingin berjihad di jalan Allah swt?
Ciri-ciri golongan yang layak menjadi tentera Imam Mahdi:
1. Ahli Solat. Mereka sering melakukan solat sunat lebih-lebih lagi solat tahajud pada malam semestinya amalan khusus yang tidak boleh ditinggalkan.
2. Ahli Al-Qur'an. Mereka adalah orang-orang yang mencintai Al-Qur'an, para hafiz, para hafal hadis dan pembaca Al-Qur'an yang senantiasa menghabiskan waktunya untuk Al-Qur'an.
3. Ahli Dakwah. Orang-orang yang senantiasa berdakwah di jalan Allah. Mereka siang malam menghabiskan waktunya, meninggalkan isteri dan keluarganya untuk mengajarkan agama Allah ke berbagai penjuru daerah.
4. Ahli Zikir. Orang-orang yang siang dan malam selalu berzikir mengingat dan membesarkan nama Allah swt.
Justeru, setiap daripada kita perlu bermuhasabah diri, jika kita masih mengamalkan gaya hidup bermalas-malasan dan cuai dalam beribadah, adakah kita layak menjadi tentera fisabilillah kelak.
Kandungan Khutbah Terakhir Rasulullah SAW Sebelum Wafat
Khutbah terakhir Baginda ini telah disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah. Khutbah ini menerangkan pesanan terakhir Rasulullah kepada sekalian manusia di muka bumi untuk berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah sehingga ke akhir zaman supaya tidak sesat. Ketika Rasulullah SAW berada di Arafah, Allah SWT telah menurunkan ayat al-Quran:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ
Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Maidah: 3)
- Teks ucapan khutbah terakhir Baginda dalam bahasa Arab dan terjemahan adalah seperti berikut:
أيّهَا النّاس، اسْمَعُوا منّي أُبّينْ لَكُمْ، فَإنّيَ لاَ أَدْرِي، لعَليّ لاَ أَلْقَاكُمْ بَعْدَ عَامي هَذَا، في مَوْقِفي هذا، أَيُهَا النَّاس، إنّ دِمَاءَكُمْ وَأمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ عَليكُمْ حَرَامٌ إلى أنْ تَلْقَوْا رَبَّكُمْ، كَحُرمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا في شَهْرِ كُمْ هَذَا في بَلَدِكُم هَذَا وإنكم ستلقون ربكم فيسألكم عن أعمالكم وقد بلغت ، فَمَنْ كَانَتْ عِنْدَهُ أَمَانةٌ فليؤُدِّها إلى مَنْ ائْتمَنَهُ عَلَيها، وإن كل ربا موضوع ولكن لكم رءوس أموالكم لا تظلمون ولا تظلمون ، و قضى الله أنه لا ربا ، وإن ربا عمي العباس بن عبد المطلب موضوع كله وأن كل دم كان في الجاهلية موضوع وإن أول دمائكم أضع دم عامر ابن ربيعة بن الحارث بن عبد المطلب ، فهو أول ما أبدأ به من دماء الجاهلية ، وإن مآثر الجاهلية موضوعة غير السدانة والسقاية والعمد قَوَدٌ ، وشبه العمد ما قتل بالعصا والحجر وفيه مائة بعير فمن ازداد فهو من الجاهلية. أما بعد أيها الناس فإن الشيطان قد يئس من أن يعبد بأرضكم هذه أبدا ولكنه إن يطع فيما سوى ذلك فقد رضي به بما تحقرون من أعمالكم فاحذروه على دينكم أيها الناس ﴿ إِنَّمَا النَّسِيءُ زِيَادَةٌ فِي الْكُفْرِ يُضَلُّ بِهِ الَّذِينَ كَفَرُوا يُحِلُّونَهُ عَاماً وَيُحَرِّمُونَهُ عَاماً لِيُوَاطِئُوا عِدَّةَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فَيُحِلُّوا مَا حَرَّمَ اللَّهُ ﴾ إن الزمان قد استدار كهيئته يوم خلق الله السموات والأرض و﴿ إِنَ عِدَّةَ الشهور عند اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْراً ﴾ منها أربعة حرم ثلاثة متوالية ورجب مضر ، الذي بين جمادى وشعبان.
أما بعد أيها الناس ، إن لِنسَائِكُمْ عَلَيْكُمْ حقاً، ولَكُمْ عَلَيْهِنّ حقّ، لَكُمْ عَليِنّ ألا يُوطْئنَ فُرُشَكُمْ غيرَكم وَلا يُدْخِلْنَ أحَداً تكرَهُونَهُ بيوتَكُمْ، ولا يأتينَ بِفَاحِشَة فإن فعلن فإن الله قد أذن لكم أن تهجروهن في المضاجع وتضربوهن ضربا غير مبرح فإن انتهين فلهن رزقهن وكسوتهن بالمعروف واستوصوا بالنساء خيرا ، فإنهن عندكم عوان لا يملكن لأنفسهن شيئا ، وإنكم إنما أخذتموهن بأمانة الله واستحللتم فروجهن بكلمات الله فاعقلوا أيها الناس قولي ، أَيهَا النّاسُ، إنّما المُؤمِنُونَ إخْوةٌ ، فَلاَ يَحِلُّ لامْرِىءٍ مَالُ أَخيهِ إلاّ عَنْ طيبِ نفْسٍ منهُ، أَلاَ هَلْ بلّغْتُ، اللّهُم اشْهَدْ، فلا تَرْجِعُنّ بَعْدِي كُفاراً يَضرِبُ بَعْضُكُمْ رقابَ بَعْض فَإنّي قَدْ تَركْتُ فِيكُمْ مَا إنْ أخَذتمْ بِهِ لَمْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ، كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّة نَبيّه ، أَلاَ هَلْ بلّغتُ، اللّهمّ اشْهَدْ. أيها النّاسُ إن رَبَّكُمْ وَاحِدٌ، وإنّ أَبَاكُمْ واحِدٌ ، كُلكُّمْ لآدمَ وآدمُ من تُراب، إن أَكرمُكُمْ عندَ اللهِ أتْقَاكُمْ وليس لعربيّ فَضْلٌ على عجميّ إلاّ بالتّقْوىَ، أَلاَ هَلْ بلَّغْتُ، اللّهُمّ اشهد” قَالُوا: نَعَمْ قَال: فلْيُبَلِّغِ الشاهدُ الغائبَ والسلامُ عليكم ورحمة الله!
Maksudnya:
“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarkanlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kata ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap Muslim sebagai amanah suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.
Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, mulai saat ini segala urusan yang melibatkan riba hendaklah dibatalkan.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatn agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.
Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh mengizin masuk orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan mereka dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah baik-baik kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali atas dasar taqwa dan amal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah sampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh akan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar dariku secara langsug. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah atau sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMu.”
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, JAKIM
Secara kesimpulannya, sebagai seorang muslim kita perlulah sentiasa memperbaiki diri daripada segi ibadah dan amal kebajikan, mengajak kepada kebaikan, dan mencegah kemungkaran. Jika ditakdirkan seruan berjihad telah tiba untuk mempertahankan agama Islam, kita perlulah berada dalam keadaan bersedia secara fizikal dan spiritual untuk bersama-sama menegakkan agama Islam ini. Golongan yang mati berjihad di jalan Allah swt adalah termasuk sebagai mati syahid, dan dipersembahkan syurga kepadanya tanpa hisab. InsyaAllah. Berikut tadi adalah perkongsian mengenai persiapan menghadapi hari kiamat. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk para pembaca kasturihijau.com.