Return to site

Fenomena La Nina dan 10 Persiapan Penting Menghadapi Banjir

kasturihijau.com

· INFORMASI
fenomena La Nina dan persiapan banjir

Tahukah anda bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai garisan pantai yang panjang, yang merangkumi sekeliling Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur di Borneo. Malaysia memiliki 229 buah kawasan pantai. Kawasan pantai Semenanjung Malaysia adalah sekitar 2,068 kilometer dan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) lebih panjang iaitu sekitar 2,607 kilometer. Secara keseluruhan, jumlah garisan pantai di Malaysia adalah kira-kira 4,675 kilometer. Antara bandar utama yang terletak di tepi pantai adalah George Town, Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Kuantan, Pahang, Melaka, Johor Bahru, Miri, Sandakan, dan lain-lain.

 

Kenaikan Paras Air Laut

Paras air laut global kini semakin menunjukkan peningkatan, terutamanya disebabkan oleh perubahan iklim yang melibatkan pemanasan global dan pencairan ais di kutub Utara dan Selatan. Pemanasan global berlaku apabila atmosfera Bumi semakin panas, suhu lautan meningkat, menyebabkan paras air laut meningkat. Apabila glasier dan gunung ais, terutamanya di Greenland dan Antartika, mencair pada kadar yang lebih cepat disebabkan oleh peningkatan suhu global, ini akan menambahkan lebih banyak air ke lautan.

Kajian yang dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia menunjukkan bahawa purata kenaikan paras laut dari tahun 2000 hingga 2050 adalah 0.25 meter, atau sekitar lima milimeter setahun. Sementara itu, kajian yang diterbitkan oleh National Geographic pada 15 Februari 2022 meramalkan bahawa purata paras laut global akan meningkat hingga 1 kaki (0.3 meter) menjelang tahun 2050. Namun, menurut Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), paras laut dijangka meningkat sebanyak 1.1 meter (lebih dari 3 kaki) pada tahun 2100. Akibatnya, 1.1 bilion orang di seluruh dunia akan berisiko menghadapi banjir kerana peningkatan ini.

Kenaikan paras air laut memberi impak besar kepada kawasan pantai. Apabila paras air laut meningkat, kawasan pantai terdedah kepada hakisan yang lebih teruk. Kenaikan paras air laut meningkatkan risiko banjir di kawasan pantai, terutamanya semasa ribut atau air pasang surut tinggi. Banjir pesisir boleh merosakkan harta benda, infrastruktur, dan ekosistem di sepanjang pantai, seperti paya bakau dan terumbu karang. Dengan paras air laut yang semakin meningkat, infrastruktur seperti benteng, tembok laut, dan penampan pantai perlu dibina atau ditingkatkan untuk melindungi kawasan pesisir dari hakisan dan banjir.

broken image

Kenaikan aras laut dunia yang disebabkan oleh pemanasan global dan pencairan ais di kutub telah menunjukkan peningkatan dari 1995 hingga 2020 (SOTC 2018; Climate Gov)

 

Fenomena La Nina

La Nina adalah fenomena iklim yang terjadi apabila suhu permukaan laut di bahagian timur dan tengah Lautan Pasifik khatulistiwa menjadi lebih sejuk daripada biasa. Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) mengumumkan laporan kemas kini terbaharunya. Dunia dijangka akan mengalami penyejukan dalam beberapa bulan akan datang, kerana corak cuaca El Nino, yang telah menyebabkan peningkatan luar biasa suhu global dan cuaca panas melampau sejak pertengahan 2023, mula menunjukkan tanda-tanda berakhir. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fenomena La Nina, yang biasanya membawa cuaca lebih lembap, akan bermula antara Julai dan September. Fenomena La Nina meningkatkan risiko hujan lebat dan banjir.

broken image

 

Persiapan Menghadapi Banjir

Dengan perubahan musim El Nino (panas) kepada La Nina (sejuk) yang dijangka berlaku pada bulan September ini, ditambah pula dengan kenaikan paras air laut tahunan, semua masyarakat perlu mengambil langkah berhati-hati untuk menghadapi risiko berlakunya banjir di negara ini terutama penduduk yang tinggal berhampiran pantai. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku banjir di tempat tinggal anda.

  1. Simpan semua dokumen penting anda, dan barang berharga ke dalam bekas plastik yang kalis air
  2. Kumpulkan ubat-ubatan dalam satu bekas kalis air.
  3. Simpan air bersih untuk kegunaan mandi dan minum
  4. Kemaskan dan simpan barang rumah di tempat selamat
  5. Sediakan powerbank untuk kegunaan kecemasan
  6. Sediakan peralatan kecemasan yang mencukupi
  7. Jangan menyentuh mana-mana kabel elektrik
  8. Pastikan lokasi pusat pemindahan dan bantuan terdekat
  9. Bersiap sedia pindah atas arahan pihak berkuasa
  10. Kunci rumah dan tingkap sebelum meninggalkan rumah.

 

broken image

 

Penyediaan Bag Kecemasan Banjir

Untuk setiap rumah digalakkan membuat 1 beg kecemasan sekiranya berlakunya banjir. Antara barang-barang yang boleh dimasukkan dalam beg kecemasan adalah seperti berikut:

  • Pakaian, kasut dan selimut
  • Wisel
  • Wang
  • Lampu suluh dan bateri
  • Makanan tahan lama
  • Radio Mini Mudah Alih
  • Kit kecemasan, ubat-ubatan, dan tuala wanita
  • Telefon dan power bank
  • Dokumen penting
broken image

Info Banjir Terkini

Jika anda ingin mengetahui aras air sungai di kawasan tempat tinggal dan risiko berlaku banjir di tempat anda, sila layari laman web rasmi kerajaan untuk mengetahui maklumat rasmi berkenaan risiko banjir. Link: https://publicinfobanjir.water.gov.my/

broken image
broken image

Berikut tadi risiko banjir yang boleh berlaku di negara Malaysia dan langkah berwaspada harus diambil oleh semua pihak untuk menghadapi ujian ini. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada para pembaca sekalian.

Sumber: NADMA, MERCY Malaysia, MKN, Jabatan Matereologi, JPS Malaysia