Tahukah anda mengapa orang dulu-dulu kelihatan kuat, sihat dan panjang usianya. Ini kerana orang-orang lama mengamalkan petua tradisional turun-temurun yang mempunyai 1001 khasiat untuk kesihatan dan kecantikan. Dalam artikel ini, kami akan membawa anda menyelami 15 petua tradisional Melayu yang telah diwarisi turun-temurun untuk membantu meningkatkan kesihatan, kecantikan, serta menyerlahkan pesona diri. Daripada sumber ramuan semulajadi untuk merawat kulit sehingga amalan harian yang menyegarkan tubuh, petua-petua ini bukan sahaja mudah diikuti, tetapi juga berkesan dalam menjaga kesejahteraan secara holistik. Dengan mengamalkan petua-petua ini, anda bukan sahaja dapat mengekalkan kesihatan yang optimum, tetapi juga tampil lebih cantik, berseri, dan menawan dengan cara yang semulajadi.
Petua Tradisional Melayu
Petua 1. Cara Menurunkan Berat Badan
Jika anda mengalami berat badan yang berlebihan, gunakan air limau nipis dalam diet anda untuk turunkan berat badan anda.
Caranya :
- Sediakan dua biji limau nipis atau limau kasturi
- Perah airnya ke dalam gelas yang berisi dengan air sejuk atau masukkan ke dalam peti sejuk.
- Jadikan air mnuman setiap kali selepas anda makan tengah hari dan makan malam.
- Lakukan senaman ringan
- Amalkan meminumnya selama sebulan dan lihat kesannya.
Petua 2. Cara Ringankan Sakit Dada
Caranya:
- Ambil beberapa ulas halia.
- Tumbuk hingga lumat dan perahkan airnya.
- Ambil satu biji telur ayam kampung.
- Keluarkan kuningnya sahaja.
- Campurkan bersama air halia, dan madu lebah asli.
- Kacau rata-rata dan minum setiap pagi sebelum sarapan.
Petua 3. Cara Menghilangkan Kulit Berkedut
Semakin berusia, kulit muka kita akan semakin berkedut. Bagaimanapun ada petua turun-temurun untuk melambatkan muka berkedut.
Caranya:
- Ambillah sebiji lobak merah.
- Parut sehingga hancur.
- Kemudian ambil satu sudu tepung jagung dan sebiji kuning telur.
- Campurkan semua ramuan itu dan kacau hingga sebati.
- Sapukan di tempat yang berkedut itu.
- Biarkan selama 20 minit, dan basuh dengan air bersih.
- Lakukan selalu, InsyaAllah wajah anda kelihatan berseri dan kedut-kedut yang mula bertapak itu akan menghilang.
Petua 4. Cara Menaikkan Seri Muka
Ada petua yang boleh dilakukan supaya muka akan sentiasa kelihatan berseri.
Caranya:
- Cuci muka setiap pagi dengan daun teh yang sudah direndam.
- Sapukan ke seluruh muka, sepuluh minit kemudian basuhlah dengan air bersih.
- Ataupun, sapukan muka dengan putih telur.
- Biarkan selama sepuluh minit.
- Kemudian bersihkan dengan air.
- Lakukan begitu seminggu sekali dan lihat keberkesanannya.
Petua 5. Cara Hilangkan Urat Timbul di Kaki
Ibu-ibu yang mengandung sering mengalami masalah urat timbul di kaki dan ia berlarutan hingga bersalin. Ada petua untuk kurangkan masalah urat timbul.
Caranya:
- Ketika tidur anda mesti meletakkan kaki lebih tinggi dari kepala.
- Atau ambil sebesen air suam, rendamkan kaki anda selama 15 hingga 20 minit setiap hari.
- Lakukan hingga anda memperolehi hasil yang memuaskan.
- Atau, anda boleh mengurut kaki perlahan-lahan dengan menggunakan minyak urut.
Petua 6. Menghindarkan Sakit Gigi
Petua ini elok dilakukan bagi menghindar dari terkena sakit gigi.
Caranya:
- Campurkan sedikit garam halus pada ubat gigi apabila hendak menggosok gigi setiap pagi.
- Jika ini diamalkan, anda bukan sahaja dapat menghindarkan diri dari sakit gigi dan mulut, malah gigi anda juga akan menjadi lebih putih dan berseri.
Petua 7. Mengurangkan Mulut Berbau
Mulut berbau tentu tidak menyenangakan apabila hendak bercakap dengan seseorang. Untuk mengatasinya, cuba ikut petua ini.
Caranya:
- Ambil tujuh helai daun sirih.
- Racik halus, kemudian diramas dengan semangkuk air suam.
- Campurkan sedikit garam, kumurlah setiap hari dengan air itu.
- InsyaAllah masalah mulut berbau akan berkurangan.
Petua 8. Menghilangkan Masalah Tumit Kaki Pecah
Caranya:
- Ambil sebiji buah betik yang masih muda.
- Hiriskan di bahagian hujungnya agar mengeluarkan getah.
- Sapukan getah betik tersebut ke bahagian tumit yang pecah.
- Lakukan berulang kali beberapa hari jika ingin mendapat hasil yang memuaskan.
Petua 9. Cara Mengawal Darah Tinggi
Caranya:
- Ambillah daun kucai kira-kira seikat.
- Bersihkan dan tumbuk dengan sedikit garam.
- Perah ambil airnya, bubuh dalam mangkuk dan embunkan.
- Minumlah pagi-pagi sebelum makan apa-apa.
- Kalau sekali minum tidak sembuh, cuba lagi. Selalunya penyakit tidak akan sembuh dengan sekali berubat. Cubalah amalkan banyak kali, bersabar dan bertawakal.
Petua 10. Cara Kurangkan Cirit Birit
Kalau terkena sakit perut, cirit-birit, kembung, memulas dan masuk angin, boleh amalkan daun jambu batu.
Caranya:
- Ambil beberapa helai daun jambu batu yang masih muda (pucuknya).
- Mamah daun jambu batu itu dengan garam lalu airnya ditelan.
- Atau daun jambu biasa yang masih muda dimamah halus dan ditelan.
- InsyaAllah mujarab dan sakit perut anda akan hilang dengan sendirinya.
Petua 11. Cara Menghilangkan Kutu
Satu lagi petua mudah untuk menghilangkan kutu kepala dengan minyak kelapa.
Caranya:
- Melumurkan sedikit minyak kelapa di serata kepala.
- Kemudian balut kepala dengan kain lembab.
- Biarkan selama dua atau tiga jam.
- Anda akan lihat kemudiannya kutu-kutu melekat pada tuala itu dan kepala anda bebas daripadanya.
Petua 12. Cara Menghitam dan Mengilatkan Rambut
Percayakah kayu arang dari batang getah boleh menghitam dan mengilatkan rambut.
Caranya:
- Keringkan arang itu beberapa hari kemudian tumbuk sehingga lumat.
- Selepas itu, campurkan dengan minyak kelapa.
- Lumurkan ramuan itu pada rambut setiap hari dan cucilah.
- Lakukan sekerap yang boleh.
Petua 13. Cara Merawat Bisul, dan Beguk
Caranya:
- Ambil segenggam daun sengkuri.
- Petik daun muda dan keringkan sebentar, kemudian baru digiling dengan tujuh biji mata kunyit serta sedikit melukut.
- Kemudian calitkan sedikit kapur sirih dan sapukan daun yang digiling tadi di atasnya.
- Sementara untuk menghilangkan bengkak bisul, sapukan juga cuka dan nila.
Petua 14. Cara Menghilangkan Parut
Caranya:
- Jika terdapat bekas luka ataupun parut yang tidak mahu hilang, cubalah gunakan putih telur ayam kampung.
- Setiap kali hendak tidur, sapukan putih telur tersebut pada parut luka itu.
- Lakukan secara terus-menerus sehingga parut luka anda akan hilang.
Petua 15. Cara Menghilangkan Gatal-gatal
Ada cara mudah untuk menghilangkan kegatalan akibat peluh yang mengancam seluruh tubuh kita. Caranya:
- Ambil sesudu makan tepung sagu dan campurkan dengan sedikit air.
- Titiskan cuka sebanyak empat titis.
- Setelah dikacau, sapukan bahan itu pada bahagian yang gatal.
- Lakukan setiap hari sehingga bintik-bintik gatal akibat peluh itu hilang dari tubuh anda.
Kesimpulannya, petua tradisional Melayu lama merupakan khazanah yang amat berharga, penuh dengan pengetahuan dan kearifan yang diwariskan dari generasi ke generasi. Ia menggabungkan penggunaan bahan-bahan semulajadi dan amalan harian yang bukan sahaja memberi manfaat kepada tubuh, tetapi juga minda dan jiwa. Dengan mengamalkan petua-petua ini, kita dapat menjaga kesihatan, kecantikan, dan kesejahteraan secara holistik, sambil menghargai dan melestarikan budaya serta warisan nenek moyang. Diharap perkongsian ini bermanfaat untuk anda.