Pernahkah anda melawat negeri Thailand? Selain kecantikan tempat perlancongan, makanan dan barangan yang murah-murah, anda pastinya perasan bahawa orang-orang Siam ini cantik dan kacak belaka. Kami sendiri memang tidak dapat menafikan perkara ini, kerana apabila singgah di Thailand, bukan sahaja makanan, tempat peranginan, dan juga barangan yang murah, tapi kami juga terpaku dengan kecantikan wanita Siam. Masyarakat Siam banyak mengamalkan petua-petua alami untuk dalaman dan luaran agar kekal awet muda supaya tidak dimamah usia. Apakah rahsia mereka sehingga kekal menawan walaupun sudah berusia?
Petua Kecantikan Orang Siam Secara Alami
1. Mengambil Makanan yang Kaya dengan Herba dan Rempah ratus
Herba dan rempah ratus mempunyai khasiatnya yang tersendiri untuk kecantikan kulit dan kesihatan dalaman manusia. Masyarakt Siam sering menggunakan herba dan rempah ratus dalam masakan mereka. Antara herba dan rempah-ratus yang sering digunakan seperti kunyit, serai, asam jawa, rempah kari, halia, kulit kayu manis, buah pelaga, daun kesum dan daun pudina.
Antara khasiat herba dan rempah-ratus adalah berkesan untuk kesihatan dalaman kerana mampu melancarkan peredaran darah, melawaskan sistem pencernaan dan meningkatkan kadar metabolisme tubuh. Tambahan lagi, bahan-bahan ini juga merupakan sumber semula jadi pelbagai vitamin seperti vitamin A dan C yang baik untuk kecantikan kulit dan rambut.
2. Sering Mengambil Minuman Ala ‘Detox’
Minuman ala ‘detox’ pula cukup sinonim dalam kalangan wanita Thai. Selain menghilangkan dahaga, ia juga berfungsi menyingkirkan toksik dan lemak daripada badan. Salah satu jus ‘detox’ yang terkenal dalam kalangan masyarakat Thai ialah jus serai.
Jus detox ini diperbuat daripada campuran serai dan limau nipis. Cara-cara untuk membuang lemak dan angin dalam badan:
- Ambil tiga batang serai dan rebus bersama dua cawan air.
- Biarkan ia mendidih sehingga tinggal satu cawan air.
- Kemudian, minumlah semasa masih panas.
- Amalkannya selalu agar badan terasa lebih ringan.
3. Sering Melakukan Amalan Berurut
Amalan berurut juga menjadi simbolik kepada masyarakat Thailand. Golongan wanita di sana lebih senang menjadikan amalan berurut sebagai rutin kecantikan mereka. Ini kerana berurut dapat melancarkan peredaran darah, merehatkan badan dan mampu menenangkan fikiran. Cara penyediaan minyak urut Siam dengan ramuan berikut:
- Minyak kelapa (dibuat menggunakan santan daripada sebijik kelapa yang dimasak sehingga menjadi minyak)
- Tumbuk kasar halia, kunyit hidup, bawang putih dan bawang merah. Kemudian, masak bersama halba dan minyak kelapa sehingga panas. Sejukkan dan simpan di dalam bekas kering agar tahan lama. Sapukan minyak ini pada seluruh tubuh ketika kamu berurut.
4. Kerap Memakai Santan Kelapa untuk Rambut
Satu lagi rahsia cantik wanita Thai adalah rambut mereka yang sihat, hitam dan lebat. Ini kerana mereka lebih selesa menggunakan sumber asli untuk mendapatkan rambut yang sihat dan cantik secara semula jadi. Caranya adalah seperti berikut:
- Lembapkan rambut dengan santan pekat selama 30 minit, kemudian bilas.
- Hasilnya, rambut kelihatan hitam, bersinar dan lebat.
5. Menggunakan Limau Nipis Untuk Kulit Kepala
Limau nipis juga banyak digunakan dalam masakan dan minuman Thai. Kaya dengan kandungan vitamin C, limau nipis juga berupaya mengharumkan rambut. Caranya menggunakan limau nipis adalah:
- Ambil beberapa biji limau nipis dan hiris, kemudian gosokkan ke seluruh kulit kepala.
- Biarkan beberapa minit, selepas itu cuci sehingga bersih.
- Selain mewangikan rambut, limau nipis juga boleh meredakan pening dan menyejukkan kepala.
6. Mengamalkan Rawatan Haba (bertungku)
Rawatan haba pula menjadi satu kemestian bagi kebanyakan wanita Thai. Amalan seperti bertungku menggunakan herba, stim wajah, sauna dan penggunaan batu sungai yang dipanaskan menjadi sebahagian daripada ritual cantik untuk memiliki tubuh yang langsing. Amalan ini juga dipercayai dapat membantu melancarkan sistem peredaran darah, memecahkan lemak, menaikkan seri wajah serta menyingkirkan toksik melalui peluh. Tubuh terasa lebih ringan dan segar jika amalan rawatan haba dilakukan secara teratur.
7. Menggunakan Kunyit Pada Muka
Jika wanita India dan Thailand sering menggunakan kunyit untuk menyerikan wajah. Kunyit sering digunakan dalam penghasilan produk kecantikan seperti skrub dan sabun di Thailand. Sifat kunyit yang mengandungi antiseptik berupaya menghilangkan jerawat malah membantu mencerahkan kulit. Cara untuk melicinkan dan mencerahkan kulit wajah menggunakan kunyit:
- Ambil 1cm kunyit hidup, setengah camca asam jawa dan bedak sejuk.
- Campurkan semua bahan dan sapukan pada wajah setiap hari sebelum tidur.
- InsyaAllah kulit wajah lebih licin.
8. Sering Melakukan Amalan Lulur
Satu lagi kemestian dalam ritual cantik wanita Thai adalah amalan berlulur. Mereka melakukannya untuk memiliki kulit yang licin dan lembut. Selain kunyit, wanita Thai juga menggunakan beras, bunga-bungaan, halia, asam jawa serta buah-buahan sebagai bahan lulur. Antara kelebihan lulur badan adalah:
- Kulit tubuh lebih halus, cerah dan gebu.
- Menanggalkan sel-sel kulit mati.
- Memudar dan menghilangkan kesan parut.
- Melancarkan peredaran darah.
9. Mengamalkan Gel Lidah Buaya pada Kulit
Khasiat gel daripada daunnya berkesan menghilangkan jerawat. Maka tidak hairanlah mengapa daun lidah buaya sering digunakan dalam penghasilan produk kecantikan. Gel lidah buaya juga sesuai untuk menegangkan kulit wajah yang kendur sekali gus mengurangkan kedutan. Ia juga dapat dijadikan sebagai bahan pelembap untuk kulit dan rambut. Cara-cara menggunakan lidah buaya dan timun:
- Sagat timun sehingga habis. Kemudian asingkan air timun tu dengan hampas timun.
- Amik air timun, campur dengan alovera.
- Masukkan dalam bekas. Simpan dalam peti ais sebelum guna.
- Gel timun ni boleh bertahan 2 minggu kalau simpan dalam peti.
- Pakai sekali pagi dan sekali sebelah malam sebelum tidur.
10. Menggunakan Masker Betik
Wanita Thai gemar menggunakan masker betik kerana ia kaya dengan Vitamin A yang menggalakkan pertumbuhan sel kulit baru. Betik adalah sumber antipenuaan serta bahan pencerahan semula jadi yang dapat merawat kulit kendur. Cara-cara menggunakan masker betik:
- Campurkan tiga camca besar betik masak yang dikisar, 1/3 cawan oat dan satu camca besar madu.
- Sapu pada muka dan biarkan selama lima hingga 10 minit
- Kemudian bilas dengan air suam. Insya Allah kulit wajah beransur tegang.
11. Mengamalkan Masker Beras Pulut
Masker beras pulut ini dapat membantu menghilangkan jerawat, mencerahkan kulit, dan menggebukan kulit. Cara-cara menggunakannya adalah:
- Kisar kering 4 sudu besar beras pulut
- Kisar kering sudu besar rose bud
- Sudu besar susu tepung
- Kisar kering semua bahan satu persatu. Kisar sampai jadi halus.
- Kemudian bancuh ketiga-tiga bahan ini ikut keperluan yang anda guna.
- Kemudian, baru titikkan air mawar mengikut tahap kepekatan. Paling penting senang nak sapu pada muka nanti.
- Sapu pada seluruh wajah dan boleh juga digunakan pada seluruh badan.
- Biarkan kering, sekurang-kurangnya 30 minit.
- Sebelum bilas dengan air bersih, basahkan mask dan lulurkan dahulu sebentar.
- Sental kulit muka dengan perlahan-lahan.
- Basuh kulit muka dengan air suam sehingga bersih.
Bagi yang ingin menjadi cantik seperti orang Thai, boleh cuba petua-petua yang telah kami kongsikan tadi. Petua-petua ini adalah petua yang diamalkan secara alami dan bahan-bahan yang digunakan adalah mudah diperolehi. Untuk kekal cantik, anda harus konsisten amalkan petua-petua tadi. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk para pembaca kasturihijau.com.