Return to site

Gabung Puasa Qada' dan Puasa 6 Syawal: Apa Hukumnya?

kasturihijau.com

· AGAMA
Gabung Puasa Qada' dan Puasa 6 Syawal: Apa Hukumnya?

Selepas berlalunya bulan Ramadan, umat Islam digalakkan untuk meneruskan ibadah puasa dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Dalam masa yang sama, ada juga yang masih perlu mengqada puasa Ramadan yang tertinggal disebabkan haid, sakit, musafir, atau sebab-sebab lain. Justeru, timbul persoalan penting sama ada bolehkah kita gabungkan puasa qada Ramadan dengan puasa enam hari di bulan Syawal? Apakah hukumnya? Dalam artikel ini, kami kongsikan pandangan Ulama' berkenaan hukum gabung puasa qada' dengan puasa sunat 6 syawal.

Apakah itu Puasa 6 Syawal?

Puasa enam hari di bulan Syawal merupakan amalan sunat yang sangat digalakkan dalam Islam. Ia bukan sahaja melengkapkan pahala puasa Ramadan, tetapi juga merupakan cara untuk menghidupkan sunnah Nabi SAW serta melatih jiwa untuk terus taat beribadah selepas Ramadan.

Hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari r.a. menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa sepanjang tahun.”(Riwayat Muslim)

Niat Puasa 6 Syawal

Hukum puasa enam syawal adalah sunat. Berikut adalah niat puasa 6 syawal.

نَوَيتُ صَوْمَ غَدٍ عَن سِنَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ سُنَّةً لِلَّهِ تعَالى

Nawaitu souma ghodin ‘an sittatin min syawwalin sunnatan lillahi taala

Maksudnya: “Sahaja aku berniat puasa esok hari enam hari Syawal kerana Allah Ta’ala”

broken image

Apakah itu Puasa Ganti atau Qada' Puasa?

Puasa ganti ialah ibadah puasa yang dilakukan bagi menggantikan hari-hari yang ditinggalkan oleh seorang Muslim sepanjang bulan Ramadan yang lalu, disebabkan oleh keuzuran yang dibenarkan oleh syarak seperti haid, sakit, musafir, atau sebab-sebab lain yang sah.

Hukum Puasa Ganti

Hukum menggantikan puasa Ramadan adalah wajib. Oleh itu, seseorang tidak boleh meninggalkannya tanpa sebab yang dibenarkan, apatah lagi membatalkannya dengan sengaja. Perbuatan tersebut dikira berdosa besar. Kewajipan ini mesti ditunaikan sehingga selesai, melainkan terdapat halangan yang dibenarkan syarak seperti sakit, haid, atau musafir.

broken image

Lafaz Niat Puasa Ganti

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءٍ فَرْضَ رَمَضَانً ِللهِ تَعَالَى

Lafaz rumi: Nawaitu sauma ghodin an’ qada’e fardhu ramadhona lillahi taala
Maksudnya: Aku niat puasa esok hari karena mengganti fardhu Ramadhan karena Allah Ta’ala.

Hukum Menggabungkan Di Antara Puasa Qada dan Puasa 6 Syawal

Terdapat dua pandangan utama dalam kalangan para ulama':

1. Harus Menggabungkan (Dibenarkan)

Sebahagian ulama termasuk Imam Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh Muhammad Ramli, Imam al-Barizi, Syeikhul Islam Syeikh Zakaria al-Ansari dan kebanyakan ulama muta’akhirin (terkemudian), mereka berpendapat bahawa seseorang boleh menggabungkan niat puasa Qada dan puasa 6 Syawal, dan ia tetap sah bagi kedua-duanya. Dalam pandangan ini, seseorang yang berpuasa dengan niat qada, tetapi juga berharap mendapat pahala puasa enam Syawal, tetap akan memperoleh ganjaran kedua-duanya.

2. Afdal Tidak Menggabungkan (Lebih Utama Asingkan)

Pandangan kedua, dan ini yang lebih kuat dan disarankan oleh ramai ulama ialah melakukan kedua-dua puasa secara berasingan. Puasa qada dilakukan terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan puasa enam Syawal. Ini berdasarkan hadis sahih:

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari dari Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." (Riwayat Muslim)

Menurut pandangan ini, seseorang perlu menyempurnakan puasa Ramadan dahulu, barulah sah untuk mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal.

broken image

Kesimpulan

Puasa ganti Ramadan adalah kewajipan, manakala puasa enam Syawal adalah sunnah yang sangat dianjurkan. Kedua-duanya membawa pahala besar jika dilakukan dengan ikhlas dan mengikut syarak. Bagi mereka yang masih ada puasa yang perlu diganti, disarankan untuk menyelesaikannya dahulu, kemudian barulah meneruskan dengan puasa enam Syawal agar tidak terlepas peluang keemasan ganjaran sepanjang tahun.

Namun, sekiranya waktu sempit dan tidak sempat menunaikan kedua-duanya secara berasingan, dibolehkan untuk menggabungkan niat, dengan syarat niat qada diutamakan. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita dan menjadikan kita hamba-Nya yang sentiasa istiqamah dalam beribadah, bukan hanya di bulan Ramadan, tetapi sepanjang tahun.

Sumber: JAKIM & sistemguruonline.my