Return to site

Niat Puasa Asyura dan Tasu'a dalam Bulan Muharram dan Kelebihannya

www.kasturihijau.com

· AGAMA
PUASA ASYURA

Dalam Islam, selepas bulan Ramadhan dan Zulhijjah, hari asyura adalah digalakkan berpuasa menurut hadis nabi, kerana ganjaran berpuasa pada hari asyura adalah dosa setahun yang lalu dihapuskan oleh Allah swt. Di kalangan orang Arab, bulan muharram membawa maksud 'bulan terlarang' yang dianggap suci dalam kalendar mereka, dan dilarang melakukan sebarang peperangan, pembunuhan dan kekasaran di dalamnya. Artikel ini bertujuan untuk berkongsi maksud hari asyura, dan tasua, niat berpuasa hari asyura dan tasu'a serta kelebihannya.

puasa asyura

 

Apakah itu Hari Asyura?

  • Perkataan 'Asyura' berasal daripada perkataan Arab ‘asyara’ yang bermaksud sepuluh. Ini bermaksud hari asyura adalah hari kesepuluh dalam bulan Muharram.
  • Berdasarkan hadis Nabi, Rasulullah saw sangat menggalakkan berpuasa dalam bulan Muharram. Sabda Rasulullah:

أفضلُ الصِيامِ بعد شهرِ رمضان صِيامُ شهرِ اللهِ المُحرمِ

Maksudnya: "Sebaik-baik puasa setelah Ramadan adalah puasa di bulan Allah, bulan Muharram." [HR Muslim 1163]

  • Berdasarkan al-Sahihain dari Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا، يَعْنِي عَاشُورَاءَ، فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ، وَهْوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى، وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ، فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ‏.‏ فَقَالَ ‏ "‏ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ ‏"‏‏.‏ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ‏.‏

Maksudnya : Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka : Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW : Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.

  • Ganjaran berpuasa pada hari asyura adalah Allah swt menghapuskan dosa setahun yang lalu. Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: “Puasa Asyura aku memohon kepada Allah agar dapat menghapus dosa setahun yang lalu.” (HR Muslim).
puasa asyura

 

Apakah itu Hari Tasu'a?

  • Hari Tasu’a (تاسوعا) bermaksud hari kesembilan dalam bulan Muharram iaitu sehari sebelum hari asyura yang disarankan berpuasa oleh Rasulullah.
  • Sesiapa yang berpuasa pada hari tasu’a dan hari asyura dijanjikan dengan ganjaran pahala yang besar.
  • Umat Islam digalakkan bermula berpuasa pada hari tasu’a agar tidak menyerupai amalan orang Yahudi, yang hanya berpuasa pada hari Asyura sahaja.

Tarikh-tarikh Puasa Sunat dalam Bulan Muharram

Tarikh-tarikh penting puasa pada tahun 2024 dalam bulan Muharram adalah seperti berikut:

  • AWAL MUHARRAM: 1 Muharram = 7 Julai 2024
  • PUASA TASU’A : 9 Muharram = 15 Julai 2024
  • PUASA ASYURA : 10 Muharam = 16 Julai 2024
  • PUASA HARI PUTIH: 13, 14, 15 Muharram = 19, 20, 21 Julai 2024
puasa asyura

 

Niat Puasa Tasu'a dan Asyura

  • Berikut adalah niat puasa hari Tasu’a (9 Muharram):

نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى

Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat Tasu’a kerana Allah Ta’ala

  • Berikut adalah niat puasa hari Asyura (10 Muharram):

نويت صوم عشر سنة لله تعالى

Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat Asyura kerana Allah Ta’ala

  • Berikut adalah niat puasa hari putih (13, 14, dan 15 Muharram):

نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.

Kelebihan Puasa Asyura dan Tasu'a

  1. Puasa asyura dan tasu'a menunjukkan rasa syukur kepada Allah SW yang telah menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang beriman dari kejahatan orang-orang kafir, iaitu hari nabi Musa AS diselamatkan manakala firaun dan pengikutnya telah ditenggelamkan.
  2. Ibadah ini sebagai tanda meneladani Nabi Musa dan Nabi Harun dan Nabi Muhammad SAW yang berpuasa pada hari asyura.
  3. Seterusnya, puasa asyura adalah untuk meneladani para sahabat yang melakukan puasa asyura, bahkan melatih anak-anak mereka untuk melakukan puasa Asyura.
  4. Puasa pada hari tasua dan asyura ini boleh menghapus dosa setahun yang lalu.

Umat Islam digalakkan berpuasa pada hari asyura dan tasu'a dalam bulan Muharram ini kerana banyak kelebihannya dan pahala yang bakal diperolehi. Lebih baik lagi, jika kita melanjutkan lagi berpuasa pada hari-hari putih iaitu 13, 14, dan 15 dalam bulan Muharram. Semoga ibadat puasa kita diterima Allah swt.

 

puasa asyura

Sumber: Mufti KL dan JAKIM

Jangan lupa subscribe free www.kasturihijau.com untuk mengetahui informasi yang terbaru dari kami dengan memasukkan alamat emel anda di bawah, dan tekan butang subscribe berwarna hijau di bawah. Terima kasih