Hari Arafah merupakah hari yang cukup istimewa pada umat Islam di seluruh dunia. Besar ganjaran pahala bagi sesiapa yang beribadat dan beramal pada hari Arafah. Terutamanya, jika seseorang yang tidak menunaikan haji, mereka boleh berpuasa dan berdoa pada hari Arafah sebagai menebus dosa-dosa lampau mereka. Dalam artikel ini, penulis mengumpulkan maklumat penting berkenaan puasa dan doa hari Arafah bagi yang tidak menunaikan haji dan juga fadhilat hari Arafah sebagai bacaan umum.
Mengenali Hari Arafah
Hari Arafah merupakan hari yang kesembilan dalam bulan Zulhijah. Jemaah Haji akan melakukan wukuf di padang Arafah pada ketika itu. Tarikh hari Arafah pada waktu Malaysia adalah pada tahun 2024 adalah jatuh pada 9 Zulhijjah 1444 iaitu 16 Jun 2024 (Ahad).
Umat Islam digalakkan untuk berpuasa dan berdoa pada hari tersebut kerana terdapat ganjaran yang besar bagi orang yang menunaikannya. Ganjaran terutama ialah pengampunan dosa oleh Allah SWT bagi setahun sebelum dan selepasnya (bersamaan 2 tahun).
Imam al-Nawawi menjelaskan dosa yang diampunkan ialah dosa-dosa kecil. Sekiranya mereka yang berpuasa itu tidak mempunyai dosa-dosa kecil maka akan diberikan keringanan bagi dosa-dosa besar dan sekiranya tiada dosa-dosa besar maka akan diangkat darjatnya.
Dalil Mengenai Hari Arafah
Berkenaan umat Islam digalakkan untuk berpuasa dan berdoa pada hari Arafah, telah diriwayatkan dalam sebuah hadith:
- Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
Bermaksud: Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun selepasnya (Riwayat Muslim; 1162)
- “Sesungguhnya Nabi SAW bersabda, berpuasa pada hari Arafah dihitung oleh Allah dengan meluputkan dosa setahun yang telah lalu dan dosa pada tahun akan datang.” (Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)
Telah diriwayatkan dalam beberapa hadis sahih berkenaan berdoa pada hari Arafah adalah doa yang mustajab, antaranya ialah:
- Nabi S.A.W bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah..”
Amalan Sunat Hari Arafah bagi yang Tidak Mengerjakan Haji
Antara amalan-amalan sunat hari Arafah bagi umat Islam yang tidak mengerjakan haji adalah puasa dan berdoa pada hari Arafah.
1. Puasa Hari Arafah
Berikut adalah niat puasa sunat Hari Arafah
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى
Maksudnya: “Saya berniat puasa sunat ‘Arafah kerana Allah Taala.”
2. Doa dan Zikir Hari Arafah
Doa pada hari Arafah yang boleh dibaca adalah seperti berikut:
- Ya Allah, kurniakan padaku kejayaan terbesar – selamat dari api neraka dan masuk ke Syurga Firdaus.
- Ya Allah, masukkan aku dan keluargaku dalam golongan yang beriman, yang menerima kitab amal di tangan kanan kami.
- Ya Allah, kurniakan padaku kematian yang diberkati. Izinkan aku mengucapkan syahadah sebelum aku menghembuskan nafas terakhir. Kurniakanlah padaku syafaat Rasulullah SAW.
- Ya Allah, masukkanlah aku dalam kalangan Rasulullah SAW, keluarganya dan para sahabat di Syurga Firdaus.
- Ya Allah, selamatkan rakan-rakan bukan Islamku dari neraka. Kurniakan mereka hidayah Islam.
- Ya Allah, satukan aku dalam Syurga Firdaus dengan-orang yang aku sayangi semata-mata keranaMu.
- Ya Rabb, sempurnakan agamaku dan ibadatku. Selamatkan aku daripada kejahatan dan izinkan aku menyempurnakan sebahagian daripada agamaku.
- Ya Allah, terima amalan baikku dan tingkatkan pahala dan rahmat untukku. Padamkan dosa-dosaku dan ampunkan aku sepenuhnya. Limpahi rahmatMu untukku dan selamatkan aku dari kehinaan pada hari hitungan amal.
- Ya Allah, apabila aku mati, biarkan jiwaku dan rekod amalanku menjadi amalan tertinggi
- Ya Allah, kurniakan kepadaku, ibu bapaku, keluarga dan anak-anakku bimbingan, ketabahan dan peningkatan iman.
- Ya Allah, masukkan aku dalam golongan yang Engkau lindungi, mendapat pengampunanMu dan mendapat naungan pada hari ketika tidak ada naungan selain dari ArashMu.
- Ya Tuhanku, tingkatkan keyakinan dan tawakkalku padaMu. Jangan singgahkan keraguan dalam kepercayaanku dalam keesaanMu, kehebatanMu dan kekuasaanMu.
- Ya Allah, tingkatkan kecintaanku untukMu dan NabiMu.
- Ya Allah, ampuni aku dan tingkatkan kurnian rahmat dan rezekiMu.
- Ya Allah, beri aku lebih banyak peluang untuk berbuat baik dan mendapat keredhaanMu.
- Ya Allah Ya Rabb, sucikan niatku hanya untukMu semata dan lindungi aku dari menunjuk-nunjuk atau kebanggaan palsu. Selamatkan aku dari sifat angkuh, sombong, menunjuk-nunjuk dan mengungkit ungkit nikmat.
- Wahai Penciptaku dan Tuhanku, jangan Kau biarkan aku sendirian. Berkati aku dengan pasangan yang sesuai dan anak-anak yang akan menjadi penyejuk mataku.
- Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan aku dari kalangan orang yang sabar dan patuh kepadaMu dan kepada ibu bapaku.
- Ya Allah, selamatkan aku dari fitnah Dajjal.
- Ya Allah, selamatkan aku dari azab kubur dan azab api neraka.
- Ya Allah, tingkatkan usahaku dalam kerja-kerja sadaqatul jariah.
- Ya Allah, berkati hidupku dengan kesihatan yang baik, agar aku dapat bersujud padamu dengan mudah sehingga akhir hayatku.
- Ya Allah, lindungi aku dan seluruh umat Islam dalam menentang penindas-penindas yang zalim. Selamatkan kami dari fitnah dan permudahkan bagi kami mengharungi zaman yang sukar ini.
- Tuhanku, berkati hidupku dengan yang terbaik di dunia ini, yang terbaik di akhirat nanti. Sesungguhnya aku memang memerlukan kurniaan dariMu Ya Allah.
- Ya Allah, tingkatkan kesyukuranku semata-mata kepadaMu.
- Ya Rabb, selamatkan aku dari kemunafikan.
- Ya Allah, izinkan aku dan suamiku menjadi antara jemaah menunaikan Haji sebelum kami dijemput olehMu.
- Ya Allah, lindungi kami dari syaitan, jin dan arak. Lindungi kami dari perbuatan jahat dan niat mereka.
- Ya Allah, ampuni dan berikan rahmat kepada ibu bapa kami, kerana mereka menjaga kami ketika kami masih kecil.
- Ya Allah, aku berdoa dan memohon daripadamu untuk mengurniakan bimbingan kepada pemuda dan umat Islam. Selamatkan kami semua dari kufur, putus asa, salah laku dan syirik.
- Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk melawan kemalasan dan tidur, semoga aku dapat bangun untuk tahajjud dan solat subuh setiap hari.
- Ya Allah, hapuskan Virus Covid19 di seluruh dunia dan sembuhkan mereka yang dijangkiti.
- Ya Allah, ampunkan segala dosaku, dosa kedua ibu bapaku dan ampunkan segala dosa seluruh muslimin dan muslimat di seluruh dunia.
Amin Ya Rabbal’ Alamin.
- Zikir yang boleh diamalkan pada hari Arafah adalah seperti berikut:
“لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”
Maksudnya: Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu." (Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)
Fadhilat Hari Arafah
- Hari Arafah (wuquf) adalah salah satu rukun daripada haji.
- Hari Arafah ialah hari penyempurnaan agama dan nikmat.
- Hari ‘Arafah ialah hari raya buat umat Islam.
- Hari ‘Arafah merupakan al-Syaf‘u (الشفع) dalam surah al-Fajr
- Berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa dua tahun.
- Hari ‘Arafah merupakan hari yang digalakkan untuk memperbanyakkan doa di dalamnya secara khusus
- Hari ‘Arafah ialah hari pengampunan dosa dan pelepasan azab api neraka.
Sumber: JAKIM dan MUFTI Kuala Lumpur
Kesimpulan
Kesimpulannya, sebagai umat Islam yang masih terbuka pintu taubatnya, kita digalakkan mengambil kesempatan ini untuk memperbaiki dan amalan diri untuk bertaubat dan memohon ampun kepada Allah swt. Sesungguhnya, Allah swt adalah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.
Jangan lupa subscribe www.kasturihijau.com untuk mengetahui informasi yang terbaru dari kami dengan cara memasukkan alamat emel anda, dan tekan butang subscribe berwarna hijau di bawah. Terima kasih.