Pernahkah anda rasa resepi ayam atau udang buttermilk di restoran atau mana-mana kedai makan? Jika anda pernah makan ayam atau udang buttermilk, pasti anda akan datang lagi ke kedai makan tersebut, sebab rasanya sangat sedap apabila dimakan dengan nasi. Bukan susah untuk masak resepi ayam atau udang buttermilk. Kemahiran memasak yang anda diperlukan adalah sangat minimum untuk memasak lauk ini. Disini, kami kongsikan cara memasak ayam atau udang buttermilk untuk rujukan anda pada masa akan datang.
Keunikan Resepi Ayam dan Udang Buttermilk
Ayam dan udang buttermilk adalah hidangan yang popular kerana gabungan rasa krim, lemak, dan sedikit pedas. Keunikannya terletak pada kuah buttermilk yang kaya dan berkrim, diperbuat daripada susu cair, mentega, daun kari, dan cili padi, memberikan rasa yang berlemak dengan aroma yang wangi. Hidangan ini mengimbangkan rasa manis dari mentega, pedas dari cili padi, dan kelazatan dari bahan-bahan segar seperti daun kari, menjadikannya satu sajian yang memikat selera.
Selain itu, hidangan ini menawarkan tekstur yang pelbagai, di mana ayam yang digoreng rangup di luar dan lembut di dalam, sementara udang memberikan rasa yang segar. Kuah buttermilk yang berkrim sesuai disajikan bersama nasi, mee, atau roti dan menjadikannya hidangan yang serba boleh. Di Malaysia, ayam dan udang buttermilk sangat digemari kerana gabungan elemen tempatan dan pengaruh barat, menghasilkan satu hidangan yang unik dan memuaskan.
Resepi Ayam Buttermilk
Bahan-bahan yang diperlukan untuk masak ayam buttermilk adalah seperti berikut:
- 2 ketul besar ayam, bahagian dada
- 1/2 tin susu cair
- 3 ulas bawang putih, dihiris halus
- 1/2 biji bawang besar holland atau bawang besar biasa, dipotong dadu
- 4 sudu besar mentega
- 2 tangkai daun kari
- 4 biji cili padi
Bahan-bahan untuk sediakan tepung salutan ayam:
- 2-3 sudu besar tepung gandum
- 1 sudu besar serbuk kari
- 1 biji telur
- Sedikit garam
- Air secukupnya
Cara-cara masak goreng ayam:
- Potong dadu isi ayam, bersihkan dan toskan airnya.
- Masukkan telur dan garam ke atas ayam dan gaulkan sebati.
- Masukkan tepung, serbuk kari dan sedikit air.
- Kacau supaya tepung pekat dan menyaluti ayam. Perap selama 30 minit atau lebih.
- Goreng ayam di dalam minyak panas sehingga garing.
- Angkat dan ketepikan.
Cara-cara untuk masak ayam buttermilk:
- Dalam kuali, panaskan butter sehingga cair dan tumis bawang putih, cili dan daun kari sehingga naik bau.
- Masukkan susu cair dan bawang besar. Kemudian masukkan ayam yang digoreng tadi.
- Masak sehingga kuah sedikit pekat.
- Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
- Sedia untuk dihidangkan.
- TIps: Kalau tidak mahu pedas, jangan masukkan cili. Dan kalau anda mahu cara yang mudah dan cepat untuk penyediaan ayam goreng, boleh juga gunakan tepung goreng serbaguna yang sedia ada di pasaran.
Kredit Resepi : Aida Fasyee
Resepi Udang Buttermilk
Bahan-bahan yang diperlukan untuk masak udang buttermilk:
- Udang 1/2 kg
- 1 tin Susu cair
- Bawang putih 2 ulas (dicincang)
- Bawang holland 1/4 biji (dipotong dadu)
- 6-7 helai daun kari
- 1/2 kiub ayam
- 1/2 sudu serbuk kari
- Sehelai daun pandan (pilihan)
- Cili (pilihan/hiasan)
- Sekeping cheese
- Tepung jagung
- Butter (1/4 dari seketul)
Cara-cara masak udang buttermilk adalah seperti berikut:
- Mula-mula perlu goreng terlebih dahulu udang tersebut
- Letak garam sikit secukup rasa. Gaul sebati dan simpan sekejap dalam peti sejuk selama 10 minit.
- Taburkan tepung jagung salut ratakan
- Kemudian goreng udang sampai agak-agak masak, keemas-emasan warnanya.Tidak perlu goreng lama sangat.
- Lepas itu, ketepikan udang.
Cara-cara untuk menyediakan kuah buttermilk:
- Panaskan kuali dan cairkan mentega
- Tumis bawang holland, bawang putih, daun kari, hirisan cili dan daun pandan sampai wangi dan kekuningan.
- Masuk serbuk kari dan tambah air sikit.
- Apabila mendidih, masukkan susu cair.
- Selepas itu masukkan kiub ayam, secubit garam dan setengah sudu kecil gula.
- Kemudian masukkan cheese. Kacau rata dan biarkan mendidih.
- Agak-agak kuah sudah pekat, tutup api.
- Ada yang suka masukkan udang ke dalam kuah dan gaul rata supaya udang sebati dengan kuah.
- Ataupun tuangkan sahaja kuah tadi atas udang dan siap!
Berikut yang telah dikongsikan tadi adalah resepi masak ayam dan udang buttermilk untuk rujukan para pembaca kasturihijau.com. Semoga bermanfaat.