Return to site

5 Resepi Bubur Nasi Berlauk, Bubur Lambuk dan Bubur Asyura yang Melazatkan

kasturihijau.com

· MENU VIRAL
5 Resepi Bubur Nasi Berlauk, Bubur Lambuk dan Bubur Asyura yang Melazatkan

Adakah anda penggemar bubur nasi atau bubur lambuk? Bubur nasi adalah hidangan tradisional yang sangat popular di Asia, termasuk Malaysia, China, dan Thailand. Keunikan bubur nasi terletak pada kesederhanaannya, di mana nasi dimasak dengan jumlah air yang banyak sehingga menghasilkan tekstur yang lembut dan berair, menjadikannya mudah dihadam. Bubur nasi biasanya dimakan sebagai sarapan atau hidangan ringan, dan boleh disajikan dengan pelbagai lauk seperti ayam, ikan, atau telur asin. Untuk resepi bubur nasi berlauk, ia mungkin ditambah dengan bahan-bahan seperti kacang tanah, daun bawang, atau sayur-sayuran, memberikan rasa yang lebih kompleks. Dalam artikel ini, kami kongsikan cara masak bubur nasi berlauk, bubur lambuk dan bubur asyura untuk manfaat bersama.

Manfaat Bubur Nasi Untuk Diet dan Kesihatan

Manfaat bubur nasi untuk kesihatan adalah banyak, terutama dalam konteks kesihatan pencernaan. Disebabkan teksturnya yang lembut, bubur nasi mudah dihadam dan sangat sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah pencernaan atau sedang dalam proses pemulihan dari penyakit. Bubur nasi juga rendah kalori, menjadikannya pilihan yang baik untuk mereka yang ingin mengawal berat badan. Selain itu, kerana bubur nasi biasanya dimasak dengan air atau sup, ia membantu dalam mengekalkan hidrasi tubuh, terutama bagi mereka yang menghadapi masalah dehidrasi.

 

Kandungan nutrien dalam bubur nasi bergantung pada bahan tambahan yang digunakan. Sebagai contoh, jika ditambah dengan ayam atau ikan, ia menyediakan sumber protein yang baik, yang penting untuk pembinaan dan pembaikan tisu badan. Sementara itu, penambahan sayur-sayuran seperti lobak merah atau bayam boleh meningkatkan kandungan vitamin dan mineral dalam hidangan ini.

Secara keseluruhannya, bubur nasi bukan sahaja hidangan yang mengenyangkan dan mudah disediakan, tetapi juga memberi pelbagai manfaat kesihatan. Ia adalah pilihan yang baik untuk sarapan atau makanan ringan, terutama dalam situasi di mana seseorang memerlukan hidangan yang lembut, berkhasiat, dan mudah dihadam.

Resepi 1: Bubur Nasi Berlauk

A) Cara masak bubur nasi:

  1. Satu cawan beras dibasuh bersih dan letakkan air, simpan dalam bekas tertutup, simpan dalam peti beku semalaman supaya beras jadi ais
  2. Apabila mula masak keluarkan beras daripada peti beku dan letak dalam periuk dan tambahkan air serta secubit garam.
  3. Tips tadi adalah untuk bagi beras cepat empuk dan jimat masa dan jimat gas.

B) Cara Masak Kangkung Goreng Belacan:

  1. Siang sayur kangkung dan rendam dengan air garam
  2. Blender bahan-bahan berikut bawang merah, bawang putih, cili padi, cili besar merah dan belacan
  3. Tumis bahan-bahan blender sehingga pecah minyak, letak sedikit garam dan gula
  4. Selepas itu letak kangkung.
  5. Goreng sekejap kangkung tidak perlu terlalu lama

C) Cara Masak Sotong Kering Goreng

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Sotong kering
  • Bawang merah (dimayang)
  • Bawang putih (dihiris)
  • Cili padi (dimayang)
  • Minyak masak

Cara-cara masak sotong kering goreng adalah seperti berikut:

  1. Rendam sotong sehingga lembut dan toskan.
  2. Panaskan minyak masak dan goreng sotong masukkan bawang dan cili siap.

D) Cara Masak Daging Goreng Kicap

Bahan-bahan yang diperlukan untuk masak daging goreng kicap:

  • Daging
  • Kicap
  • Bawang merah dan bawang putih yang sudah dikisar
  • Cili kisar
  • Garam
  • Gula
  • Air rebusan daging
  • Minyak masak

Cara-cara masak daging goreng kicap:

  1. Rebus daging sampai empuk.
  2. Panaskan minyak tumis bawang blender sehingga masak dan masukkan cili kisar, tumis lagi sehingga garing
  3. Masukkan kicap, gula dan garam kemudian masukkan daging dan air rebusan daging. Masak sehingga pecah minyak.

E) Cara Masak Ikan Tenggiri Goreng

Cara-cara masak:

  1. Goreng ikan tenggiri sehingga masak, letak lobak jeruk dan bawang merah yang sudah dimayang.
  2. Apabila sudah masak perah limau nipis.

Cara Hidangan: Bahan-bahan lain seperti ikan bilis, kacang tanah digoreng dan telur masin direbus. Untuk hidangan, campurkan bubur nasi dengan lauk-lauk yang sudah dimasak tadi mengikut sukatan satu mangkuk. Selamat mencuba.

Resepi: Nor Khomariah

 

 

broken image

 

Resepi Bubur Lambuk Johor

Bahan-bahan yang diperlukan untuk masak bubur lambuk Johor:

  • 2 cawan beras
  • 500 gram mixed vegetables
  • 500 gram daging lembut
  • Air rebusan daging
  • Air secukupnya
  • 4 sekawan
  • 2 sup bunjut
  • 3 senduk kecil penuh rempah bukhari (Jika tiada, guna rempah sup atau kurma atau beriani)
  • Kacang kuda atau jenis kacang yang lain
  • Kentang (pilihan)
  • Daun sup
  • Bawang goreng
  • Garam secukup rasa
  • Santan (1/2 kotak)

Bahan-bahan untuk dikisar:

  • 3 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang kecil
  • 1 inci halia

Cara-cara masak bubur lambuk Johor :

  1. Rebus daging sehingga empuk, hiris kecil daging, air rebusan daging disimpan.
  2. Tumis bahan kisar berserta rempah 4 sekawan dan rempah bukhari sehingga naik bau.
  3. Tuangkan beras ke dalam bahan tumisan, masukkan sup bunjut
  4. Masukkan air rebusan daging, masak sehingga mendidih dan pekat dan sentiasa dikacau
  5. Masukkan mixed vegetables dan hirisan daging.
  6. Kacau sampai jadi bubur, nasi sudah hancur, dan apabila pekat sentiasa tambah air.
  7. Letak kiub ayam atau daging atau garam secukup rasa.
  8. Sedia untuk dihidang, hiaskan dengan telur, daun sup, bawang goreng dan kacang goreng.

Resepi: Roselyza

broken image

 

Resepi Bubur Nasi Simple

Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:

  • 1 cawan beras
  • 4 cawan air
  • 3 hiris halia
  • Sedikit garam

Bahan-bahan untuk masak sup daging:

  • 1 kg daging
  • 5 ulas bawang merah – ditumbuk
  • 2 ulas bawang putih – ditumbuk
  • 1 inci halia – ditumbuk
  • Kulit kayu manis, buah pelaga
  • Bunga lawang, bunga cengkih
  • 1 kiub stok daging
  • Minyak masak
  • Garam
  • Air

Bahan-bahan lain yang diperlukan:

  • Sayur kangkung yang dicelur
  • Ikan bilis goreng
  • Telur masin
  • Lobak masin
  • Daun sup
  • Cili merah

Cara-cara untuk masak nasi:

  1. Cuci beras beberapa kali. Masukkan kesemua bahan dalam periuk. Panaskan di atas api yang perlahan dan kacau selalu supaya nasi tidak hangit. Jika kering, tambah sedikit air.
  2. Kacau sehingga menjadi nasi yang lembik (macam bubur tapi lebih pekat). Padamkan api apabila sudah siap.

Cara-cara masak sup daging:

  1. Panaskan minyak dalam periuk.
  2. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah ratus sehingga layu. Kemudian masukkan air.
  3. Apabila mendidih, masukkan daging, stok daging dan garam. Masak sehingga daging empuk.

Cara Hidangan Bubur:

  1. Masukkan nasi ke dalam mangkuk.
  2. Curah sup daging ke atas nasi.
  3. Masukkan sayur kangkung, ikan bilis goreng, telur masin, lobak masin, daun sup dan cili merah.
  4. Boleh dimakan dengan sambal kicap dan perahan limau nipis.
broken image

 

Resepi Bubur Asyura

Bahan-bahan yang diperlukan adalah:

  • 200 gram daging (dipotong kecil-kecil)
  • Sedikit Udang Kering (ditumbuk sehingga hancur)
  • Segenggam Lobak Masin (dihiris nipis-nipis)
  • 3 ulas Bawang Merah (dihiris)
  • 2 ulas Bawang Putih (dihiris)
  • 2cm Halia (dihiris)
  • 3 beradik (kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga)
  • 1/2 sudu teh Lada Hitam
  • Sedikit Halba
  • Santan 1/2 cawan
  • Garam secukup rasa
  • 1 genggam beras

 

Cara memasak bubur asyura:

  1. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga naik bau. Selepas itu masukkan pula lada hitam, halba dan 3 beradik (kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga)
  2. Apabila sudah garing sikit, tumis pula udang kering dan daging. Jika terlalu kering sangat, letak air sedikit
  3. Kacau sikit lepas itu masukkan lobak manis.
  4. Apabila lobak masin ini sudah masak, lobak ini tidak lagi masin.
  5. Apabila semua sudah sebati dan sudah siap masak, tambah air dalam periuk. Masukkan air 1/2 periuk duhulu. Masukkan beras. Masak macam masak nasi biasa, selepas kering, tambah air lagi, diulang-ulang.
  6. Apabila bubur sudah hampir masak, akhir sekali masukkan santan dan garam.
  7. Biar seketika dalam 5 minit, selepas itu boleh tutup api.
  8. Bubur asyura sedia untuk dihidangkan.
broken image

 

Resepi Bubur Nasi Ayam Goreng

Bahan-bahan yang diperlukan masak bubur nasi ayam goreng:

  • 1 1/2 cwn beras
  • 1 1/2 inci halia yang diketuk
  • 1 kiub pati ayam
  • Sedikit garam
  • 1 liter air
  • Ayam Goreng
  • Lada merah
  • Daun bawang dan daun sup
  • Sedikit minyak bijan (pilihan)

Cara-cara masak bubur nasi ayam goreng:

  1. Basuh beras dengan bersih.
  2. Masukkan beras dan air dalam eperiuk. Masak beras sehingga kembang, masukkan air sikit-sikit.
  3. Apabila bubur hampir masak masukkan halia, pati ayam dan sedikit garam.
  4. Bubur bolehlah dihidangkan dengan potongan ayam goreng, bawang goreng, lada merah dan daun sup.
  5. Titiskan sikit dengan minyak bijan jika ada.
  6. Siap untuk dihidangkan.

Kredit: unclenublikumz

broken image

Berikut yang dikongsikan tadi 5 resepi bubur berlauk, bubur lambuk dan bubur asyura untuk rujukan resepi para pembaca kasturihijau.com. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.