Return to site

Pelbagai Resepi Lauk Ikan Tongkol yang Memikat Selera Anda

kasturihijau.com

· MENU VIRAL
Resepi lauk ikan tongkol

Semasa musim cuti sekolah ini adalah antara masa terbaik untuk mencuba resepi baru untuk dijamu kepada ahli keluarga dan tetamu yang hadir ke rumah. Disini kami akan kongsikan resepi ikan tongkol yang mudah dimasak, berkhasiat dan mampu memikat selera anda.

Khasiat Ikan Tongkol

Ikan tongkol memiliki pelbagai khasiat bermanfaat untuk kesihatan, antaranya sebagai sumber protein yang tinggi untuk membantu pembinaan otot dan pemulihan tisu. Ikan tongkol juga kaya dengan asid lemak omega-3 yang berperanan dalam menjaga kesihatan jantung, mengurangkan risiko penyakit jantung, serta menurunkan aras kolesterol. Selain itu, ikan ini mengandungi vitamin B12, D, serta mineral seperti zat besi dan selenium yang penting untuk kesihatan tulang, darah, dan sistem imun. Kandungan antioksidannya membantu melawan radikal bebas, melindungi sel tubuh daripada kerosakan, dan asid lemak omega-3 juga menyokong fungsi otak serta meningkatkan daya ingatan. Keseluruhannya, ikan tongkol adalah pilihan makanan yang baik untuk diet seimbang.

 

 

Keunikan Masakan Ikan Tongkol

  • Masakan ikan tongkol di Malaysia mempunyai keunikan tersendiri. Salah satu makanan yang terkenal menggunakan ikan tongkol adalah nasi dagang dari Pantai Timur, terutamanya di Terengganu dan Kelantan. Ikan tongkol biasanya dimasak dalam kuah gulai kari berempah yang menggunakan santan, serai, halia, dan rempah kari, memberikan rasa yang kaya dan lemak.
  • Selain itu, ada beberapa negeri,menggunakan ikan tongkol untuk masak asam pedas, masak pindang, masak lemak dan macam-macam lagi masakan berlauk. Lauk ikan tongkol sesuai dimakan dengan nasi putih, nasi dagang atau nasi minyak. Masakan menggunakan ikan tongkol sememangnya terkenal di Malaysia. Antara resepi ikan tongkol yang akan kami kongsikan dalam artikel kali ini adalah: rendang ikan tongkol, gulai kuning ikan tongkol, rendang asam ikan tongkol, ikan tongkol masak kicap, resepi sambal ikan tongkol, dan resepi asam pedas nyonya ikan tongkol.

Resepi Rendang Ikan Tongkol

A. Bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi rendang ikan tongkol:

  • 2 ekor ikan tongkol, asingkan bahagian kepala
  • 3 cawan santan dari sebiji kelapa
  • 2 sudu makan kerisik
  • 3 keping asam gelugur
  • 2 helai daun kunyit yang dihiris halus
  • 3 helai daun limau purut yang dikoyak
  • 1/2 cawan minyak masak
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit gula

B. Bahan-bahan yang diperlukan untuk dikisar:

  • 15 tangkai cili kering (atau 30 biji cili padi hijau)
  • 5 biji cili api
  • 8 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 3 batang serai
  • 2 inci kunyit hidup
  • 1 sudu teh serbuk ketumbar (pilihan)
  • 1 sudu teh serbuk jintan manis (pilihan)

Cara-cara masak rendang ikan tongkol:

  1. Potong ikan dan bersihkan.
  2. Panaskan minyak dan tumis Bahan B. Kacau sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan ikan tongkol, santan, kerisik, daun limau purut, garam dan asam gelugur.
  4. Masak sehingga pecah minyak dan pekat.
  5. Masukkan daun kunyit. Kacau sehingga rata dan angkat.
  6. Sedia untuk dihidangkan.

Kredit: Zulfa Loves Cooking

broken image

 

Gulai Kuning Ikan Tongkol

Bahan-bahan untuk rebus ikan tongkol:

  • Ikan tongkol dibersih dan dipotong
  • Garam
  • Gula Melaka
  • Asam gelugur

Bahan-bahan untuk masak gulai ikan:

  • 2-3 ulas bawang merah
  • 1-2 ulas bawang putih
  • 1 hiris lengkuas
  • 1-2 inci kunyit hidup
  • 5-6 tangkai lada kering @ cili kering
  • Santan secukupnya
  • Sedikit serbuk cili
  • 1-2 keping asam gelugur
  • Gula melaka secukupnya
  • Garam secukup rasa, jika perlu
  • Lada hijau solok atau cili hijau
  • Timun dihiris

Cara-cara Memasak Gulai Kuning Ikan Tongkol:

  1. Untuk merebus ikan, bersihkan ikan dan susun dalam periuk. Masukkan garam, gula melaka dan asam keping.
  2. Masak guna api kecil dan perlahan sehingga ikan mengeluarkan airnya sendiri. Biarkan ikan masak dan ketepikan.
  3. Untuk kuah gulai, kisar bawang merah, bawang putih, lengkuas, kunyit hidup dan cili kering sehingga lumat.
  4. Panaskan santan dalam periuk kemudian masukkan bahan-bahan yang dikisar tadi. Kacau sentiasa supaya santan tidak berketul-ketul.
  5. Tambahkan sedikit serbuk cili untuk menjadikan warna gulai menjadi cantik dan sedikit pedas.
  6. Bila kuah sudah mendidih, masukkan ikan tongkol yang sudah direbus.
  7. Akhir sekali, masukkan asam gelugur, gula melaka, lada hijau solok atau cili hijau dan hirisan timun.
  8. Kecilkan api, masak sampai santan pecah minyak. Rasa dulu kuahnya, tambah garam jika perlu.
  9. Gulai kuning ikan tongkol siap untuk dihidang.

Info Memasak:

Ikan rebus jika makin lama disimpan dalam peti sejuk, makin bertambah sedap. Dalam resepi ini, ikan tongkol yang digunakan sudah seminggu rebus, dan disimpan dalam peti sejuk. Rasanya makin sedap kerana isinya sudah sebati dengan rasa masam, masin dan manis.

Kredit resipi dan Foto : Ben Ameer Nour Ismail

broken image

 

Resepi Singgang Ikan Tongkol

Bahan-bahan yang diperlukan untuk masak singgang ikan tongkol:

  • 5 ketul ikan tongkol yang dibersihkan
  • 2 inci kunyit hidup
  • 2 inci halia
  • 2 inci lengkuas
  • 1 biji bawang besar
  • 3 biji bawang putih
  • 2 batang serai yang dititik
  • 3 keping asam keping
  • 8 biji cili api yang dibelah dua, boleh kurangkan.
  • 1 liter air
  • Garam secukup rasa

Cara-cara masak singgang ikan tongkol:

  1. Hiris nipis bawang besar, bawang putih lengkuas, halia dan kunyit hidup. Panaskan air dalam periuk sampai air menggelegak.
  2. Apabila air sudah menggelegak, masukkan bahan-bahan yang dihiris dan juga serai, masukkan juga sesudu garam, biarkan sampai bawang agak layu.
  3. Apabila bawang sudah agak layu, masukkan asam keping dan tunggu kuah menggelegak balik baru letakkan ikan dan kacau perlahan-perlahan.
  4. Tutup sebentar sementara menunggu ikan masak. Apabila ikan sudah masak, masukkan cili api dan perasakan dengan garam, kacau sebati perlahan-lahan supaya ikan tidak hancur.
  5. Jika ada tomato, boleh masukkan tomato dalam kuah.
  6. Apabila rasa kuah singgang sudah sebati, dan secukup rasa, tutup api dan siap untuk dihidangkan.
broken image

Resepi Rendang Asam Ikan Tongkol 

A) Bahan-bahan yang diperlukan untuk masak rendang asam ikan tongkol:

  • Ikan tongkol (dalam seekor)
  • Garam
  • Kunyit
  • Minyak masak

B) Bahan-bahan yang diperlukan untuk masak rendang asam ikan tongkol:

  • Serai 2 batang
  • Halia sebesar ibu jari
  • Cili padi 10 biji (terpulang nak pedas, boleh lebihkan)
  • Kunyit hidup sebesar jari kelingking
  • Bawang putih 4 ulas
  • Bawang merah 2 biji

C) Bahan-bahan lain yang diperlukan:

  • Air asam jawa

Cara-cara adalah seperti berikut:

  1. Ikan dicuci bersih dan dilumurkan garam dan kunyit
  2. Goreng sekejap tetapi jangan terlalu garing
  3. Sementara ikan digoreng, bahan-bahan B dikisar kasar (atau ditumbuk)
  4. Angkat ikan dan kurangkan sedikit minyak dalam kuali tadi dan tumis bahan-bahan kisar tadi.
  5. Masukkan air asam jawa ke dalam kuali tadi dan kacau sampai pecah minyak.
  6. Last masukkan ikan dan kacau-kacau sekejap, dan tutup api.

Sumber: Zaimah Zakaria

.

broken image

 

 

 

Resepi Ikan Tongkol Masak Kicap

Bahan-bahan yang diperlukan adalah:

  • 2 ekor ikan tongkol (digaul sedikit garam dan kunyit kemudian goreng, angkat dan toskan)
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 1 keping asam keping
  • Sedikit kicap manis (brand kipas udang)
  • Sedikit kicap masin
  • 2 cawan air (untuk kuah)
  • 1 sudu teh gula pasir (pilihan)
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 batang serai diketuk (pilihan)
  • 3 senduk minyak
  • Sedikit bahan perasa

Bahan-bahan untuk dikisar:

  • 2 biji bawang besar
  • 4- 5 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1/2 sudu besar jintan manis
  • 10-15 tangkai cili kering
  • Kisar semua bahan ini dengan 1/2 cawan air
  • 1 biji bawang besar potong bulat (hiasan)
  • 10 biji cili padi (hiasan)
  • 1 biji cili besar merah (hiasan)

Cara-cara untuk masak resepi ini:

  1. Panaskan minyak, masukkan bunga lawang dan serai.
  2. Apabila serai sudah layu, masukan bahan kisar, gula, garam, asam keping dan sedikit bahan perasa.
  3. Tumiskan sehingga betul-betul naik minyak dan garing
  4. Masukkan kicap manis, lebihkan, dan sedikit kicap masin, dan teruskan menggaul.
  5. Masukkan air, apabila kuah sudah mendidih masukkan ikan, dan biarkan mendidih.
  6. Apabila kuah mula pekat, bolehlah masukkan bawang dan cili padi.
  7. Sesuaikan rasa, kalau kurang masin tambahkan sikit kicap masin.
  8. Sedia untuk dihidang.

Kredit : Mariana Zainal

broken image

 

 

Resepi Sambal Ikan Tongkol

Bahan-bahan yang digunakan untuk rebusan ikan:

  • Ikan tongkol
  • Garam
  • Nisan/Gula Melaka
  • Asam Keping

Cara-cara rebusan ikan:

  1. Ikan tongkol direbus terlebih dahulu dengan semua bahan-bahan di atas.
  2. Apabila ikan sudah masak, angkat dan toskan
  3. Simpan air rebusan
  4. Kemudian goreng ikan tongkol sekejap, angkat dan ketepikan.

Bahan-bahan untuk menyediakan sambal:

  • Bawang besar
  • Cili dikisar
  • Bawang merah dikisar
  • Bawang putih dikisar
  • Sedikit halia dikisar
  • Air asam Jawa
  • Air rebusan ikan
  • Sedikit belacan
  • Sedikit kicap manis

Cara-cara memasak resepi ini:

  1. Tumis hirisan bawang besar dan masukkan semua bahan kisar sehingga pecah minyak.
  2. Masukkan air rebusan ikan dan air asam jawa.
  3. Akhir sekali, masukkan ikan tongkol yang telah digoreng awal tadi.
  4. Tambahkan kicap dan perasakan dengan garam gula secukup rasa.
  5. Gaulkan sebati dan biarkan mereneh sehingga kuahnya pekat dan ikan mesra bersama sambal.
  6. Siap dan selamat mencuba.

Kredit: @kak_t68

broken image

Resepi Asam Pedas Nyonya Ikan Tongkol

Bahan-bahan yang diperlukan untuk masak resepi ini:

  • 4 keping ikan tongkol
  • 1 kuntum bunga kantan dibelah dua
  • Sedikit daun kesum
  • Air asam jawa secukupnya
  • 1 kiub ikan bilis
  • 8 biji kacang bendi
  • 1 biji buah tomato yang dibelah empat
  • Minyak untuk menumis
  • Garam dan gula atau perasa

Bahan-bahan untuk dikisar:

  • 5 sudu besar cili kisar
  • 8 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 biji buah keras
  • 2 batang serai ambil bahagian lembutnya sahaja
  • 2 cm lengkuas
  • 2 cm halia
  • 2 cm kunyit hidup
  • Sedikit belacan

Cara-cara memasak resepi ini:

  1. Panaskan minyak, tumiskan bahan kisar sehingga naik minyak dan bertukar warna dari kuning menjadi pes berwarna merah menyala. Langkah ini mengambil masa yang agak lama, gunakan api perlahan dan sentiasa kacau supaya tidak hangit di bawahnya.
  2. Kacau sekejap masukkan bunga kantan.
  3. Apabila sudah naik bau masukkan air asam jawa, kiub ikan bilis, ikan tongkol dan air secukupnya.
  4. Renehkan sebentar sehingga kuah agak pekat.
  5. Rasakan garam, apabila ikan hampir masak boleh masukkan kacang bendi, daun kesum dan tomato.
  6. Didihkan 2-3 minit dan boleh diangkat.

Kredit: Zulkifli Mat

 

broken image

Berikut yang dikongsikan tadi adalah resepi-resepi sedap ikan tongkol yang anda boleh cuba di rumah semasa musim cuti-cuti sekolah ini. Selamat mencuba dan jangan lupa subscribe FREE website ini iaitu dengan masukkan email anda di bawah ini, bagi mendapatkan info tentang lain-lain resepi yang lebih menarik.