Return to site

Resepi Nasi Dagang Terengganu Sedap Tidak Terkata

kasturihijau.com

· MENU VIRAL
resepi nasi dagang terengganu

Adakah anda meminati masakan nasi dagang dengan kari ikan tongkol? Nasi dagang dan kari ikan tongkol adalah masakan yang berasal daripada negeri-negeri pantai Timur, iaitu Terengganu dan Kelantan. Sebagai penggemar nasi dagang, penulis terpanggil untuk kongsikan resepi nasi dagang ala Terengganu ini untuk para pembaca sekalian.

Asal Usul Nasi Dagang

Nasi dagang adalah hidangan tradisional yang berasal dari pantai timur Semenanjung Malaysia, khususnya dari negeri Terengganu dan Kelantan. Walaupun kedua-dua negeri ini memiliki versi berlainan, nasi dagang Terengganu mempunyai keunikan tersendiri yang membezakannya daripada versi Kelantan. Asal usul nasi dagang di Terengganu dipercayai berkaitan dengan pedagang dari negara-negara Asia Tenggara yang sering berdagang di pesisir pantai timur Malaysia. Hidangan ini dinamakan "dagang" kerana dulunya sering dijadikan bekal kepada para pedagang yang melakukan perjalanan jauh.

Keunikan Nasi Dagang

  • Keunikan nasi dagang Terengganu terletak pada penggunaan berasnya yang khas, iaitu campuran antara beras biasa dan beras pulut. Beras ini dimasak dengan santan kelapa, halia, bawang merah, dan beberapa rempah lain yang memberikan rasa lemak dan aroma wangi yang memikat. Proses memasaknya juga memerlukan teknik yang betul agar nasi tidak terlalu lembik atau keras dan menciptakan tekstur yang sempurna.
  • Salah satu lauk yang paling terkenal untuk makan dengan nasi dagang di Terengganu adalah kari ikan tongkol. Kari ini menggunakan ikan tongkol sebagai bahan utama dalam lauk. Ikan tongkol dipilih kerana teksturnya yang lembut dan kemampuannya menyerap rempah dengan baik. Kuah kari ikan tongkol Terengganu adalah pekat dan pedas, dengan campuran rempah seperti kunyit, cili, halia, dan bawang putih yang ditumis sehingga naik bau. Santan juga ditambah untuk memberikan rasa dan keseimbangan pedas serta lemak.
  • Selain dari rasanya yang lazat, nasi dagang dan kari ikan tongkol Terengganu juga mempunyai nilai budaya yang tinggi. Hidangan ini sering dihidangkan pada acara-acara istimewa seperti perayaan, majlis perkahwinan, dan kenduri. Resepi ini melambangkan masyarakat Terengganu yang ramah tamah dan gemar menyajikan hidangan terbaik kepada tetamu. Nasi dagang dan kari ikan tongkol bukan sahaja menjadi lambang identiti kulinari Terengganu, tetapi juga manifestasi warisan budaya yang diwariskan dari generasi ke generasi.
  • Dengan cita rasa yang kaya dan keunikan penyediaannya, nasi dagang dan kari ikan tongkol Terengganu terus mendapat tempat di hati pencinta makanan tempatan dan pelancong dari negari jiran.

 

broken image

Resepi Masak Nasi Dagang Terengganu

A) Bahan-bahan yang diperlukan untuk masak nasi dagang adalah seperti berikut:

  • 3 cawan beras biasa, 1 cawan beras pulut yang direndam, dicuci dan ditoskan
  • 4 cawan santan
  • 2 sudu teh halba
  • 1 inci halia yang dihiris nipis
  • 10 ulas bawang merah yang dihiris nipis
  • 2 sudu teh gula
  • 1 sudu teh garam

Cara-cara masak nasi dagang adalah seperti berikut:

  1. Masukkan beras yang dicuci bersih ke dalam pengukus yang telah dipanaskan. Kukus beras tersebut selama 30 minit.
  2. Pindahkan nasi ke dalam mangkuk besar, masukkan santan dan gaulkan semula. Kemudian dikukus lagi selama 30 minit.
  3. Pindahkan lagi ke dalam mangkuk dan tambah halba, halia, bawang, gula serta garam. Teruskan lagi mengukus selama 20 minit.
  4. Apabila sudah masak barulah diangkat untuk dihidangkan.

B) Cara-cara masak kari ikan tongkol adalah seperti berikut:

  • 4 sudu minyak masak
  • 3 cawan santan
  • 2 keping asam gelugur
  • 350 gram ikan tongkol yang dipotong-potong
  • 1 tangkai cili hijau yang dibelah dua
  • 1 tangkai cili merah yang dibelah dua
  • garam secukup rasa
  • gula secukup rasa
  • 2 sudu serbuk kari babas

Bahan-bahan buat pes rempah kari:

  • 10 ulas bawang merah
  • 1 inci kunyit
  • 1 inci lengkuas
  • 3 sudu besar cili kisar
  • 2 sudu serbuk kari babas

Cara-caranya adalah seperti berikut:

  1. Kisar bahan-bahan pes rempah sehingga halus.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali, tumiskan bahan rempah sehingga wangi. Tambah santan serta asam gelugur dan renehkan sebentar.
  3. Masukkan ikan dan biarkan sekejap dan perasakan garam serta gula.
  4. Tambah cili dan renehkan selama 5 minit atau sehingga masak.

C) Bahan-bahan penyediaan acar timun adalah seperti berikut:

  • 100 gram timun
  • 100 gram lobak merah
  • 100 gram cili merah dan cili hijau
  • 50 gram bawang besar
  • 60 ml cuka
  • gula secukup rasa
  • garam secukup rasa

Cara-cara masak acar timun adalah seperti berikut:

  1. Timun dipotong 2 inci dan dubuang biji di tengah. Mayang halus seperti batang mancis.
  2. Lobak merah, cili merah serta cili hijau dihiris seperti timun juga.
  3. Bawang besar dibelah 2 dan dihiris halus.
  4. Rendamkan bahan hirisan tersebut ke dalam air kapur selama 30 minit.
  5. Kemudian cuci bersih dan toskan. Biarkan sehingga kering.
  6. Gaulkan, gula, garam dan cuka sehingga sebati.
  7. Kemudian hidangkan bersama nasi, telur rebus dan kari ikan tongkol.

 

Kredit: Owner Resepi dan Atie Jumaat

broken image

Berikut yang dikongsikan tadi adalah cara masak nasi dagang, kari ikan tongkol dan acar timun. Kongsikan resepi ini dengan kawan-kawan yang teringin masak nasi dagang di rumah. Selamat mencuba.