Return to site

Aneka Resepi Puding dan Agar-agar Berwarna-warni yang Melazatkan

kasturihijau.com

· MENU VIRAL
resepi puding dan agar-agar

 

Puding dan agar-agar adalah antara pencuci mulut yang paling digemari ramai, terutama di kalangan masyarakat Malaysia. Dengan tekstur yang unik dan pelbagai rasa yang menyelerakan, kedua-dua hidangan ini sering menjadi pilihan untuk dinikmati selepas makan atau sebagai snek di waktu santai. Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan 5 resepi puding dan agar-agar yang pasti anda suka dan berminat untuk cuba sendiri, iaitu resepi puding tiramisu, resepi agar-agar tembikai, resepi puding marble, resepi puding coklat dan resepi agar-agar pandan santan.

Kenali Puding dan Agar-agar

Puding dan agar-agar adalah dua jenis makanan penutup yang menawarkan pengalaman rasa dan tekstur yang unik, masing-masing dengan ciri-ciri dengan kelazatan yang tersendiri. Puding memiliki tekstur yang lembut, creamy, dan terbuat dari campuran susu, gula, dan bahan pengental seperti tepung maizena atau gelatin. Variasi rasa pada puding sangat beragam, dari coklat, vanila, hingga karamel. Puding sering disajikan dingin dan menjadi pilihan yang nyaman sebagai pencuci mulut.

Agar-agar pula seakan-akan puding tetapi sedikit berbeza dengan memiliki tekstur yang lebih padat dan kenyal. Agar-agar lebih cepat mengeras dan biasanya digunakan untuk membuat jelly yang berwarna-warni dan transparen. Kelebihan agar-agar adalah kemampuannya untuk tetap padat dan lebih tahan lama dibandingkan puding. Selain itu, agar-agar juga rendah kalori dan tinggi serat, menjadikannya pilihan yang lebih sihat sebagai makanan penutup.

 

Resepi Puding Tiramisu

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat resepi puding tiramisu:

  • 3 tin susu cair
  • 1 tin susu pekat
  • 12 sudu makan tepung kastard
  • 1 cawan air
  • 1 paket biskut Cream Cracker
  • Secubit garam
  • Serbuk koko atau milo
  • Chocolate rice

Cara-cara membuat puding tiramisu:

  1. Satukan semua susu cair dan tepung kastard dalam periuk. Kacau sehingga rata.
  2. Masukkan susu pekat, jika mahu manis habiskan satu tin susu. Campur air dan kacau.
  3. Tabur secubit garam kemudian barulah diletakkan di atas dapur. Masak menggunakan api yang perlahan.
  4. Masak bancuhan tadi sampai likat. Ketepikan.
  5. Sementara itu hancurkan biskut dan letak dalam bekas atau loyang.
  6. Tuang bancuhan yang dimasak tadi di atasnya kemudian tabur serbuk koko atau Milo.
  7. Ulang proses tadi sehingga jadi dua lapisan.
  8. Lapisan atas sekali bolehlah dihiaskan dengan buah jika suka.
  9. Sejukkan di dalam peti ais sebelum dihidang.

Kredit: Buku Resepi & Sweetqisbake

broken image

 

Resepi Agar-agar Tembikai

Bahan bahan yang diperlukan untuk resepi agar-agar tembikai adalah seperti berikut:

  • 1 paket serbuk agar-agar (10 gram)
  • 4 cawan air (1 cawan = 190ml)
  • 3/4 cawan gula pasir
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • 3 biji telur gred A (asingkan kuning dan putih telur )
  • Pewarna merah, kuning dan hijau
  • Sedikit kismis

Cara cara penyediaan agar-agar tembikai adalah seperti berikut:

  1. Masak agar-agar bersama air dan gula sehingga gula hancur. Masukkan esen vanilla. Tutup api. Sejukkan adunan agar-agar sehingga suam (anggaran 15-20 minit).
  2. Pukul putih telur sehingga betul-betul kembang (jika terbalikkan bekas, adunan tidak tumpah), kemudian masukkan kuning telur satu persatu, pukul lagi sehingga kembang dan gebu.
  3. Tuang 1 senduk adunan agar-agar dalam satu masa (yang dah suam-suam tadi) ke dalam bekas adunan telur sedikit demi sedikit sehingga suam dan rata.
  4. Pukul lagi sehingga sebati dan adunan menjadi agak sejuk. Ulang sehingga habis. Jangan masukkan adunan agar-agar suam sekali gus kerana ianya akan menyebabkan lapisan terapung dan terpisah dari agar-agar.
  5. Tuangkan ke dalam bekas yang telah dibasahkan, masukkan 2 sudu kecil pewarna di bahagian tengah adunan dan kacau dengan menggunakan lidi atau chopstik.
  6. Kacau dengan berhati-hati supaya warna tidak terkena dasar bekas.
  7. Letakkan kismis di permukaan agar-agar (sebagai biji buah tembikai). Sejukkan ke dalam peti sejuk.
  8. Apabila agar-agar sudah beku, keluarkan agar-agar dari bekas dan dengan menggunakan berus, warnakan bahagian luar dengan warna hijau sebagai kulit tembikai.
  9. Biarkan pewarna mengering sebelum disimpan di dalam peti sejuk dan dihidangkan.

Kredit: Azie Kitchen

broken image

 

 

Resepi Puding Marble

Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat resepi puding marble:

  • 37 gm agar-agar tali (1 tahil)
  • 6 gelas air (1300 ml)
  • 2 1/2 gelas gula pasir ( 470gm)
  • 4 biji telur
  • 1/2 cawan tepung jagung
  • 1 1/2 tin susu cair
  • 2 sudu besar marjerin
  • 1/2 cawan serbuk koko (bancuh dengan sedikit air)
  • 1 sudu teh esen vanilla

Cara-cara penyediaan resepi puding marble:

  1. Masak agar-agar dengan air.
  2. Pukul telur sampai kembang, masukkan tepung jagung ke dalam telur, pukul lagi sehingga sebati.
  3. Masukkan susu cair dan esen vanilla, pukul sebati.
  4. Apabila agar-agar tadi sudah hancur masukkan gula. Bila hancur tapiskan ke dalam periuk. Kemudian jerang balik ke atas dapur sehingga mendidih. Masukkan adunan telur tadi (tapis dahulu adunan telur sewaktu menuang ke dalam agar-agar)
  5. Kemudian kacau sehingga mendidih dua tiga kali. Masuk marjerin dan kacau lagi.
  6. Angkat dan bahagikan kepada dua bahagian. Satu masukkan koko dan kacau di atas api, satu bahagian lagi warna asal vanilla.
  7. Apabila angkat tuang berselang seli di dalam loyang.
  8. Boleh disimpan sejuk dalam peti sejuk

 

broken image

 

Resepi Puding Coklat

Bahan-bahan diperlukan untuk penyediaan resepi puding coklat:

  • 1 paket serbuk agar-agar (10 g)
  • 1 liter air
  • 1 cawan gula kastor
  • 1 sudu makan serbuk koko
  • ½ cawan air ( Dibancuh bersama serbuk koko)
  • 1 kotak susu coklat (1 liter)
  • 1 tin koktel buah (Diasingkan airnya)

Cara menyediakan dan memasak resepi puding coklat:

  1. Masakkan serbuk agar-agar dan air sehingga mendidih.
  2. Masukkan gula dan bancuhan koko.
  3. Masakkan sehingga mendidih seketika. Tutup api.
  4. Masukkan susu coklat dan kacau rata.
  5. Tuangkan adunan ke dalam acuan dan sejukkan di dalam peti sejuk.
  6. Semasa menghidang taburkan koktel buah-buahan.

 

broken image

 

Resepi Agar-agar Pandan Santan

Bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan agar-agar pandan santan:

  • 25 gram agar-agar bertali
  • 1500 ml air
  • 1 cawan gula pasir
  • 2 -3 ketul gula batu, sebesar ibu jari tangan
  • 1 cawan air daun pandan dikisar 5 helai daun pandan dengan 1 cawan air dan tapis
  • 1 cawan santan, gunakan 1/2 biji kelapa parut
  • 1 biji telur gred A
  • Sedikit pewarna hijau

Cara-cara penyediaan agar-agar pandan santan:

  1. Masak agar-agar dengan air sehingga hancur. Setelah agar-agar hancur, masukkan gula dan gula batu. Kacau lagi sehingga gula hancur.
  2. Masukkan kelapa parut, daun pandan dan telur ke dalam blender dengan 1 1/2 cawan air. Setelah dikisar hancur, diperah dan ambil santan sebanyak 2 cawan. Masukkan sedikit pewarna hijau.
  3. Tuang santan ke dalam periuk agar-agar. Kacau rata sehingga ianya mendidih. Setelah mendidih dan masak sekata, angkat dan tuang ke dalam loyang atau acuan yang disukai.
  4. Setelah hampir mengeras, pindahkan ke dalam peti sejuk. Setelah keras, bolehlah dipotong dan dihidangkan sejuk sejuk, memang sedap.
  5. Guna gula batu supaya agar-agar tidak berair ketika dipotong.

Kredit: Azie Kitchen

broken image

Berikut tadi adalah senarai resepi puding dan agar-agar yang anda boleh cuba di rumah sebagai makanan pencuci mulut bersama seisi keluarga. Semoga perkongsian ini bermanfaat.