Return to site

Resepi Satay Minang dan Kuah Satay yang Paling Sedap

kasturihijau.com

· MENU VIRAL
resepi satay minang

Pernahkah anda cuba satay Minang selain satay tradisional Malaysia? Satay Minang, atau lebih dikenali sebagai Satay Padang, Sumatera Barat, Indonesia adalah hidangan yang terkenal dengan keunikan rasa dan rempah yang kaya. Di Malaysia, ia semakin mendapat tempat di hati pencinta makanan yang mencari sesuatu yang berbeza dari satay tradisional. Berbeza dengan satay biasa, Satay Minang menggunakan daging lembu atau organ dalaman lembu yang direbus dengan air rempah khas, lalu dibakar dan disajikan dengan kuah pekat berwarna kuning yang lazat. Dalam artikel kali ini, kami akan berkongsi resepi asli Satay Minang yang mudah supaya anda dapat mencuba masak sendiri di rumah.

Asal Usul Satay Minangkabau

Satay Minang berasal dari tradisi kulinari masyarakat Minangkabau yang terkenal dengan cita rasa yang kaya dengan rempah ratus. Minangkabau mempunyai warisan kulinari yang kuat, dengan masakan yang sering kali menggunakan pelbagai rempah tempatan yang kaya dengan rasa. Satay Minang sendiri dipercayai telah wujud sejak ratusan tahun yang lalu dan menjadi salah satu makanan penting dalam pelbagai upacara adat dan perayaan keluarga.

Keunikan Satay Minangkabau

Keunikan utama Satay Minang terletak pada rempahnya yang berbeza daripada satay biasa pada umumnya. Rempah satay Minang dibuat daripada campuran pelbagai rempah seperti kunyit, halia, lengkuas, ketumbar, dan cili, yang kemudiannya diolah menjadi sos pekat berwarna kuning atau merah. Rempah ini tidak hanya digunakan sebagai kuah rendam daging sebelum dibakar, tetapi juga disajikan sebagai kuah yang melimpah di atas satay ketika dihidangkan.

Sate Minang biasanya dibuat daripada daging lembu, walaupun ada juga yang menggunakan organ dalaman lembu seperti lidah, hati, jantung dan usus lembu. Potongan daging dipotong kecil-kecil, kemudian dicucuk menggunakan lidi satay, dan dibakar di atas arang hingga masak. Setelah dibakar, satay kemudian disiram dengan kuah rempah yang pekat dan kaya rasa.

Selain daripada rempah, cara penyajian Satay Minang juga unik. Satay ini biasanya disajikan dengan ketupat, dan sering kali disertai dengan bawang goreng yang rangup. Gabungan daging yang lembut, kuah rempah yang kaya, dan pelengkap seperti ketupat menjadikan Satay Minang sebagai salah satu makanan yang sangat digemari di seluruh Malaysia dan Indonesia, bahkan sehingga ke luar negara.

Rasa lazat, pedas, dan kaya rempah dari Satay Minang menjadikannya masakan yang tidak hanya enak, tetapi juga mewakili kekayaan budaya dan tradisi kulinari Minangkabau. Resepi satay Minang adalah seperti berikut.

 

Resepi Satay Minang

Bahan-bahan yang diperlukan untuk penyediaan satay Minang:

  • 500 gram daging lembu yang direbus dan dipotong dadu
  • 250 gram hati lembu (atau organ lain lembu) yang direbus dan dipotong dadu
  • 3 batang serai yang dihiris nipis
  • 1 helai daun kunyit yang dipotong untuk menjadi 3 bahagian
  • 4 helai daun limau nipis
  • 75 gram tepung beras yang dilarutkan dengan sedikit air
  • 1½ sudu tepung kanji yang dilarutkan dengan sedikit air
  • 500 ml air

Bahan-bahan penyediaan rempah untuk dikisar:

  • 10 biji bawang merah
  • 6 biji bawang putih
  • 6 buah cili merah besar
  • 2 buah cili api
  • 1 sudu ketumbar
  • 1 sudu jintan halus dan kasar
  • 5 cm kunyit
  • 4 cm halia
  • 2 cm lengkuas
  • Garam secukupnya
  • Serbuk lada putih secukupnya

Bahan-bahan lain:

  • Ketupat yang dipotong-potong
  • Bawang goreng

Cara-cara penyediaan satay Minang:

  1. Didihkan air, kemudian masukkan daging, dan hati lembu.
  2. Kemudian masukkan rempah yang dikisar, daun kunyit, serai dan daun limau.
  3. Masak sehingga rempah tercampur rata dan semua bahan masak.
  4. Angkat daging, dan hati serta toskan.
  5. Cucuk masing-masing 5 potongan daging per satu cucuk satay dan kemudian panggang sebentar di atas bara api.
  6. Kuah rebusan daging tadi dipanaskan kembali untuk dijadikan kuah satay Minang
  7. Kentalkan kuah dengan menambah tepung beras dan tepung kanji yang sudah dilarutkan dengan sedikit air.
  8. Masak sehingga mendidih.
  9. Sajikan satay dengan ketupat, lalu siram kuah satay Minang dan taburi dengan bawang goreng.
  10. Hidangkan selagi panas.
  11. Selamat Mencuba.

Kredit: Ibu Masak Apa Hari Ni

broken image

 

broken image
broken image

Berikut tadi dikongsikan resepi satay Minangkabau yang lazat dan mudah dimasak. Semoga resepi yang kami kongsikan ini menjadi rujukan kepada anda untuk memasak satay Minang kelak.