Kereta atau kenderaan bermotor kini menjadi kebergantungan utama oleh semua orang kerana ia adalah salah satu kemudahan yang utama untuk mencari rezeki dan menjalankan kehidupan. Pengalaman apabila menghadapi masalah enjin kereta yang tidak dapat dihidupkan secara tiba-tiba ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Situasi ini boleh berlaku atas beberapa sebab dan juga boleh berlaku pada bila-bila masa serta di mana sahaja anda berada sewaktu itu. Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan sebab-sebab utama enjin kereta tidak dapat dihidupkan sebagai panduan anda pada masa akan datang.
Sebab-sebab Enjin Kereta Tiba-tiba Tidak Boleh Dihidupkan
1. Bateri Kereta 'Kong' atau Lemah
Antara sebab utama kereta anda tidak boleh start adalah masalah bateri kong atau lemah. Fungsi utama bateri kereta adalah untuk membekalkan kuasa untuk menghidupkan enjin kereta. Apabila berlakunya bateri kong atau lemah, maka bateri tidak dapat membekalkan kuasa yang secukupnya untuk menghidupkan enjin kereta.
Bateri 'kong' atau lemah boleh disebabkan oleh beberapa faktor antaranya:
- Bateri telah sampai jangka hayat iaitu antara 1.5 hingga 2 tahun.
- Alternator kurang baik menyebabkan pengecasan semula bateri menjadi kurang efisien.
- Kereta yang ditinggalkan lama ( lebih daripada 3 minggu), tanpa berlaku sebarang pengecasan semula menyebabkan bateri kong.
2. Starter Kereta Telah Rosak
Fungsi starter adalah menghidupkan kereta dan menggerakkan piston. Jika starter kereta anda rosak, sistem pembakaran dalam enjin kereta tidak akan berlaku dan akan menyebabkan kereta tidak boleh dihidupkan. Waktu enjin tengah hidup dan kadang-kadang anda mungkin akan terdengar bunyi besi bergesel. Itu maknanya mungkin starter sudah mula haus.
Kredit: Mog Autowork Senawang
3. Kereta Kehabisan Minyak
Secara umum, kita mengetahui bahawa minyak petrol atau diesel digunakan untuk pembakaran di dalam enjin kenderaan. Jika kereta anda kehabisan minyak, sudah semestinya enjin anda tidak dapat melakukan pembakaran dan menyebabkan kereta yang anda tidak dapat dihidupkan. Keadaan ini biasanya terjadi apabila meter minyak kereta anda tidak lagi berfungsi atau rosak, anda disarankan untuk menggantikan dengan meter yang baru. Anda harus peka dengan aras meter minyak dan jangan bertangguh untuk mengisi minyak kereta.
4. Penapis Minyak Tersumbat
Sistem penapis minyak ini bertujuan memastikan minyak yang masuk ke ruang pembakaran di dalam enjin dalam keadaan bersih. Jika ketiadaan penapis minyak ini, jangka hayat enjin akan menjadi lebih singkat dan pembakaran di dalam enjin kereta anda akan bermasalah. Jika berlaku penapis minyak tersumbat, maka bekalan minyak ke ruang pembakaran juga akan terputus. Maka enjin kereta anda bermasalah dan tidak dapat dihidupkan. Penapis minyak tersumbat boleh disebabkan oleh minyak enjin kotor dan penutup tangki minyak tidak rapat, jadi habuk dan kekotoran senang masuk dalam tangki kereta anda.
Kredit Foto: Ford Service Sri Mutiara
5. Alternator Kereta Bermasalah
Alternator merupakan sumber utama dalam membekalkan tenaga elektrik untuk kegunaan kenderaan sebaik sahaja kenderaan berjaya dihidupkan. Alternator boleh jadi punca penyebab enjin gagal dihidupkan.
Cara mengenal pasti masalah tersebut berpunca dari alternator:
- Hidupkan kereta anda terlebih dahulu.
- Kemudian cabut kepala penyambungan wayar pada terminal bateri kereta anda.
- Jika kereta anda mati, ini bermakna alternator kereta anda sudah tidak lagi membekalkan tenaga elektrik atau tenaga elektrik yang dibekalkan tidak mencukupi.
- Lampu indikasi bateri akan kekal menyala selepas kereta anda dihidupkan.
6. Palam Pencucuh 'Spark Plug' Rosak atau Tiada Percikan Api
Pembakaran di dalam ruang enjin dibantu oleh percikan api yang dihasilkan daripada sistem percikan api. Terdapat banyak komponen di dalam sistem percikan api antaranya ialah spark plug dan ‘Ignition Coil’. Oleh itu, jika salah satu daripada komponen di dalam sistem percikan api tidak berfungsi dengan baik, kereta anda tidak lagi menghasilkan percikan api.
Tanda-tanda masalah pada sistem percikan api kereta:
- Kereta anda tidak dapat memecut dengan lancar.
- Kesukaran mendapatkan kelajuan yang konsisten.
- Kereta anda seperti tersengguk-sengguk.
Kredit Foto: NGK NTK
7. Enjin Terlalu Panas
Antara penyebab lain kereta anda tidak dapat dihidupkan adalah suhu enjin kereta terlalu panas. Tandakan aras suhu terdapat pada meter panel pada kereta anda. Pastikan aras suhu kereta anda tidak melebihi paras normal demi mengelakkan kerosakan pada struktur dalaman enjin.
Suhu enjin kereta anda meningkat mungkin disebabkan oleh:
- Kipas pada radiator tidak berfungsi
- Kebocoran pada radiator
- Radiator tersumbat
Radiator yang baik dapat melakukan pembebasan haba secara keseluruhan permukaannya. Jika luaran radiator kotor boleh mengakibatkan pembebasan haba tidak dapat dilakukan dengan berkesan.
Kredit: Root of Science & Carput.my
Secara keseluruhannya, penjagaan kereta iaitu servis kereta berkala adalah sangat penting untuk mengelakkan kereta anda rosak atau tidak dapat dihidupkan dengan tiba-tiba. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada para pembaca kasturihijau.com.